Nuffnang Ads

Thursday, November 29, 2012

Abg Jib bangga Harimau Malaya kembali memburu


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bangga kebangkitan yang dipamerkan oleh anak buah Datuk K.Rajagobal selepas berjaya menundukkan Laos 4-1 dalam saingan kedua Piala AFF Suzuki di Stadium Bukit Jalil, malam tadi.

Najib Tun Razak - Harimau Malaya
 
"Bangga dengan kemenangan Harimau Malaya semalam.
 
"Para pemain negara telah tunjukkan satu semangat juang yang cukup tinggi demi Malaysia," katanya menerusi laman sosial Twitter sejurus selepas perlawanan kedua itu.

Piala AFF: Najib bangga Harimau Malaya hidupkan peluang
 
Malaysia menundukkan Laos 4-1, sekali gus menghidupkan peluang mencari tiket ke separuh akhir.

 
Sabtu ini, Malaysia akan menentang Indonesia bagi slot terakhir Kumpulan B di Stadium yang sama bagi menentukan pasukan yang layak ke separuh akhir. 
 
Indonesia sebelum ini mencatat kemenangan tipis 1-0 ketika menentang Singapura dan kini mengungguli kedudukan teratas Kumpulan dengan meraih empat mata.

Harima kembali mengaum!


Harimau Malaya akhirnya mempamerkan watak juara bertahan apabila membaham Laos dengan penuh bernafsu dengan kemenangan bergaya 4-1 di hadapan 15,000 penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.


Pungutan tiga mata berharga itu sekali gus membuka peluang Malaysia ke peringkat separuh akhir menjelang pertemuan getir berdepan seteru utama, Indonesia pada perlawanan terakhir Kumpulan B, Sabtu ini.

Selepas dikritik hebat apabila kalah 0-3 kepada Singapura, Ahad lalu, ketua pasukan, Safiq Rahim ternyata menunaikan janjinya kepada peminat apabila membuka tirai jaringan skuad negara pada minit ke-15 tetapi dapat disamakan oleh Laos menerusi Khonesavanh Sihavong pada minit ke-38 sebelum menutup tirai separuh masa kedua.


Bagaimanapun, semangat Harimau Malaya ternyata seolah-olah berbeza pada separuh masa kedua dengan rakus melakukan kebangkitan apabila berjaya mendapat tiga gol melalui Safee Sali pada minit ke-67, Wan Zack Haikal Wan Nor minit ke-75 sebelum empat minit kemudian, Khyril Muhymeen Zambri memastikan kemenangan besar skuad negara dengan gol keempat Malaysia.

Rajagobal menepati janjinya membuat rombakan dalam kesebelasan utama apabila menurunkan empat muka berbeza daripada perlawanan menentang Singapura tempoh hari dengan memberi peluang kepada Mohd. Farizal Marlias sebagai penjaga gol utama selain Mahalli Jasuli, Shakir Shaari dan Wan Zack Haikal Wan Nor.

Paling mengejutkan, Norshahrul Idlan Talaha yang dikhabarkan mungkin direhatkan kerana mendapat rawatan di hospital kerana mendapat jangkitan di telinga diturunkan oleh Rajagobal, malahan menampilkan aksi penuh bertenaga di bahagian serangan dengan banyak mengkucar-kacirkan pertahanan Laos.


Corak permainan yang disajikan oleh Harimau Malaya cukup mengagumkan dengan banyak larian-larian pantas di bahagian sayap daripada S. Kunanlan dan Wan Zack berjaya merobohkan kekentalan kubu pertahanan Laos yang bagaikan terpukau melihat kehebatan Harimau Malaya.

Ternyata percaturan baharu pengendali berusia 56 tahun itu cukup menjadi dengan perubahan ketara boleh diperhatikan di bahagian tengah melalui gandingan Safiq Rahim dan Shakir yang menggantikan tempat Amar Rohidan berjaya mengawal tempo permainan di samping sering bertindak pantas membendung sebarang gerakan berbahaya lawan.


Tidak menghampakan, Mahalli Jasuli yang beraksi di bek kanan sering kali membantu melakukan gerakan pantas dan hantaran-hantaran berkualiti ke dalam kotak penalti lawan di samping turut dibantu Wan Zack Haikal.

Namun, persembahan Safee mendapat sedikit kritikan kerana banyak melepaskan peluang mendapatkan jaringan apabila mensia-siakan sekurang-kurangnya enam percubaan di hadapan pintu gol sebelum terpaksa dibawa keluar dan digantikan dengan Khyril pada minit ke-77.

Gol pembukaan Malaysia diperolehi melalui jaringan menarik pakar sepakan percuma negara, Safiq selepas 15 minit permainan bermula yang melencong ke arah kiri pintu gol lawan.

Namun, ketua pasukan negara itu menjadi punca kepada jaringan penyamaan Laos, 23 minit kemudian apabila kesilapan hantarannya membuka ruang kepada Khonesavanh melepaskan rembatan yang mengenai kaki Aidil Zafuan lantas mengelirukan Farizal sebelum bola melantun masuk ke dalam pintu gol.

Semangat perjuangan Harimau Malaya akhirnya menjelma pada babak kedua walaupun berdepan situasi cemas seketika apabila melihatkan Safee gagal menterjemahkan sekurang-kurangnya tiga peluang terbuka pada minit ke-47, 58 dan 63 sebelum menemui sasaran melalui jaringan mudah pada minit ke-67 hantaran Wan Zack.


Gol itu ternyata membunuh semangat Laos dan Wan Zack yang layak dianggap antara pemain terbaik pada perlawanan semalam menanduk masuk gol ketiga pada minit ke-75 hasil hantaran Kunanlan dan Khyril yang masuk selaku pemain gantian melakukan gerakan solo menarik bagi merakamkan jaringan keempat Harimau Malaya.

Wednesday, November 28, 2012

Ketiadaan Mat Yo petanda kurang baik?



Bagai jatuh, ditimpa tangga.Sudahlah bakal berdepan perlawanan hidup mati dengan Laos pada malam ini yang akan menentukan sejauh mana peluang Harimau Malaya mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF yang dimenangi dua tahun lalu, mereka perlu melakukannya tanpa khidmat penyerang prolifik, Norshahrul Idlan Talaha.


Disahkan mengalami masalah kesihatan dan sedang menjalani rawatan, kelibatnya langsung tidak kelihatan pada sesi latihan terakhir di Wisma FAM petang semalam, sekali gus mengesahkan yang bakal pemain Johor itu hampir pasti tidak akan beraksi pada perlawanan malam ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Diketahui merupakan gandingan paling ideal kepada penyerang Arema Pelita, Safee Sali, ketiadaan Norshahrul mungkin memaksa jurulatih negara, Datuk K. Rajagobal melakukan rombakan di bahagian depan dengan Ahmad Hazwan Bakri sebagai pilihan utama.

Walaupun masih muda, Hazwan diketahui antara penyerang muda paling berbakat di negara ini selain Rozaimi Abdul Rahman dan aksi hatriknya semasa 'cap' pertama dengan Harimau Malaya ketika membelasah Sri Lanka 6-0 dalam perlawanan persahabatan masih tidak dilupakan.

Justeru, khidmat pemain yang berasal dari Labuan ini dijangka ditagih oleh Rajagobal bagi mencari kemenangan pertama Harimau Malaya di Piala Suzuki AFF 2012 selain memperlihatkan alternatif-alternatif lain seperti menyenaraikan Khyril Muhymeen atau Ahmad Fakri Saarani di barisan serangan.

Ketika ditemui, Hazwan Bakri berkata dia cukup bersedia memikul tugasan diberikan jika mendapat kepercayaan jurulatih untuk diturunkan dalam perlawanan berdepan Laos.


Walaupun mengakui masih mentah jika dibandingkan dengan pemain-pemain yang lain, dia sanggup belajar dan berusaha untuk membantu Harimau Malaya untuk bangkit menebus maruah yang tercalar selepas kalah dengan cara memalukan di tangan Singapura.

Sementara itu, Safee berasakan ketiadaan Norshahrul memang bukan satu petanda yang baik tetapi bersedia jika digandingkan dengan sesiapa sahaja asalkan dapat membantu skuad negara meraih tiga mata penting.


"Itu merupakan satu khabar yang kurang baik bagi perlawanan esok (hari ini), namun semua pemain bersedia walaupun tanpa kehadiran Norshahrul dan saya boleh bermain dengan mana-mana penyerang lain. Saya berharap aksi kami ketika berdepan Laos akan lebih baik," katanya.


Tuesday, November 27, 2012

‘Tiada kaitan dengan perkahwinan saya’ : Apex


Penjaga gol No. 1 negara, Khairul Fahmi Che Mat menepis dakwaan bahawa tumpuannya terjejas ekoran persiapan perkahwinan yang bakal berlangsung pada penghujung Disember depan.
Namun pada masa sama, pemain berusia 23 tahun itu tanpa berselindung mengakui dirinya menjadi punca utama kekalahan 0-3 skuad Harimau Malaya kepada Singapura pada aksi pembuka tirai peringkat Kumpulan B Kejohanan Bola Sepak Piala Suzuki AFF 2012 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam kelmarin.
Dalam perlawanan itu, Khairul Fahmi yang juga dikenali sebagai Apek didakwa membuat kesilapan mudah apabila gagal mengeluarkan bola pada minit ke-37 hasil sepakan percuma Shahdan Sulaiman sebelum disambar Shahril Ishak untuk gol kedua Singapura pada perlawanan tersebut.
Persembahan goyah Apek dalam pertemuan itu telah mengundang resah peminat biarpun penjaga gol utama Harimau Malaya itu kembali fokus pada separuh masa kedua.
“Saya bertanggungjawab atas kekalahan Malaysia kepada Singapura. Begitupun, ia tiada kena mengena dengan persiapan perkahwinan saya.
“Sekali lagi, saya memohon maaf kepada seluruh rakyat kerana gagal membantu skuad negara mencatatkan kemenangan ketika menentang Singapura dan berjanji akan kembali bangkit selepas ini,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan malam kelmarin.
Untuk rekod, Apek, 23, yang merupakan penjaga gol utama Kelantan bakal menamatkan zaman bujangnya bersama pemilik butik pengantin, Nur Eilunie Natasha Nazri, 21, atau mesra dengan panggilan Leuniey pada 28 Disember ini.
Sementara itu, bekas penjaga gol kebangsaan, Mohd. Sharbinee Allawee Ramli tampil mempertahankan prestasi Apek sambil menyifatkan wira Piala Suzuki AFF 2010 itu bakal mengulangi persembahan hebat pada perlawanan kedua ketika menentang Laos malam esok.
“Inilah bola sepak. Kadang-kadang kita menonjol, kadang-kadang tidak.
“Tekanan amat dirasai memandangkan kita tampil sebagai juara bertahan, tambahan pula menjadi tuan rumah kejohanan.
“Jadi, kita sebagai peminat haruslah memberikan semangat bukan sekadar mengkritik tak kena pada tempatnya.
“Jangan mudah menghukum Apek hanya disebabkan satu kesilapan sedangkan sebelum ini dia banyak membantu skuad negara,” ujar Sharbinee yang pernah menjadi mangsa kecaman peminat akibat beberapa kesilapan mudah yang dilakukan.

Mat Yo bebas kontrak dengan Kafa - FAM


Kemelut antara Norshahrul Idlan Talaha dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) akhirnya menemui jalan penyelesaian apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini memutuskan bahawa pemain paling bernilai itu kini 'bebas' daripada sebarang kontrak dengan Kafa.

Ini diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Status FAM, Datuk Takiyuddin Hassan di Wisma FAM, hari ini.

"Setelah mendengar dan meniliti dokumen yang dikemukakan, maka jawatankuasa yang bersidang memutuskan bahawa kontrak Norshahrul atau dikenali Mat Yo tamat dan berkuat kuasa hari ini.

"Hari ini juga secara rasminya, wakil Kafa yang hadir di hadapan Jawatankuasa Status turut mengesahkan bahawa pihak mereka tidak akan mendaftar nama Mat Yo bagi mewakili Kelantan pada tahun 2013.


Nor Shahrul Idlan Talaha (mat yo/shah) 9

"Jadi,  Mat Yo kini bebas dan boleh beraksi dalam mana-mana pasukan lain musim depan," katanya.

Menurut Takiyuddin, setelah kontrak tersebut ditamatkan, maka dari segi undang-undang, pemain tersebut boleh didaftarkan oleh mana-mana pasukan yang berminat untuk mengambilnya dalam liga Malaysia musim depan.

"Apabila diumumkan telah bebas, maka dia sudah tidak terikat dengan Kafa. Jadi mana-mana pasukan boleh mendaftarnya untuk musim depan.

"Begitu pun, pihak terbabit perlulah mematuhi setiap syarat yang ditetapkan," ujarnya lagi.


Dalam pada itu, Takiyuddin turut menjelaskan bahawa pemain yang menamatkan kontraknya secara sebelah pihak, perlu membayar baki bayaran kontraknya kepada pasukan asal.

"Mengikut perkara 8.5 kontrak pemain -  pemain yang menamatkan kontrak sebelah pihak perlu mmbayar baki kontraknya kepada pasukan asal.

"Dan kami dimaklumkan kontrak Mat Yo dengan Kafa masih berbaki setahun, jadi, Mat Yo perlu membayarnya. 

"Jumlah bayaran tersebut bagaimanapun tidak dapat dijelaskan hari ini," kata beliau.

Tambah Takiyudin, "Mat Yo perlu membuat secara afidavit mengenai jumlah bayaran yang perlu dibayar kepada Kelantan, seperti mana yang diminta oleh Kafa."


"Dan Kelantan akan menjawab dalam bentuk affidavit jawapan.

"Apabila ada afidavit dan jawapan, barulah FAM akan memanggil untuk mendengar isu berkaitan tebusan kontrak dan lain-lain.

"Selepas itu, baru kami akan putuskan mengenai jumlah bayaran tersebut," jelasnya lagi.