KELANTAN memiliki kelebihan pada aksi separuh akhir Piala Malaysia 2013.
Ini kerana, perlawanan kedua menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan berlangsung di gelanggang keramat, Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.
Selepas berjaya mempamerkan aksi yang memukau ketika memadam kelebihan dua gol yang di bawa Johor Darul Takzim (JDT) pada aksi suku akhir kedua lalu, ramai pemerhati menganggap Kelantan sekali lagi akan mengisi slot final Piala Malaysia musim 2013.
Bagaimanapun, pengendali Kelantan, Bojan Hodak berkata, pertukaran venue bagi pasukan ATM daripada Stadium Selayang ke Stadium Shah Alam sudah memberikan kelebihan kepada pasukan itu kerana ia mampu memuatkan lebih ramai penyokong dan permukaan padang yang lebih baik.
"Saya tidak kisah untuk bermain di mana sekalipun. Penyokong kami sentiasa bersama kemana sahaja kami pergi. Stadium Shah Alam mungkin lebih besar dan penyokong kami juga dapat datang lebih ramai untuk membantu menaikkan semangat para pemain.
"Namun, kami perlu lebih berwaspada dengan ATM kerana mereka juga mempunyai kekuatan hampir sama dengan Kelantan. Pemain yang mereka ada juga seperti kami, tidak mempunyai masalah sama ada beraksi di tempat sendiri atau gelanggang lawan.
Tambahnya, aksi Liga Super membuktikan bahawa ATM juga sebuah pasukan yang selesa untuk beraksi di mana sahaja termasuk meleburkan rekod tanpa kalah Kelantan sejak hampir dua tahun alu dengan mencatat kemenangan di Stadium Sultan Muhammad IV.
Mengulas mengenai persiapan Kelantan, Hodak berkata, pasukannya akan mengadakan perlawanan persahabatan pada 13 Oktober ini menentang kelab daripada Thailand sebelum mereka memulakan kempen separuh akhir Piala Malaysia lima hari kemudian menentang ATM.
"Itu sahaja masa yang kami ada dan perlawanan persahabatan tersebut amat penting untuk saya membuat penilaian terhadap semua pemain. Saya fikir perlawanan lebih memberikan impak berbanding latihan untuk saya menguji para pemain.
"Kami akan turunkan pemain yang benar-benar memberikan komitmen. Ini perlawanan penting, saya tidak mahu ada kesilapan. Saya fikir memenangi perlawanan di tempat lawan mungkin akan memudahkan kerja di gelanggang sendiri nanti," ujarnya.
Bagaimanapun, persiapan Kelantan sedikit tergendala apabila empat pemainnya dipanggil menjalani latihan bersama skuad kebangsaan sementara dua lagi pemain tonggaknya, Shakir Shaari dan Nik Shahrul Azim Abdul Halim dibelenggu masalah kecederaan.