Nuffnang Ads

Friday, October 11, 2013

The Red Wariors miliki kelebihan


KELANTAN memiliki kelebihan pada aksi separuh akhir Piala Malaysia 2013.
Ini kerana, perlawanan kedua menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan berlangsung di gelanggang keramat, Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.
Selepas berjaya mempamerkan aksi yang memukau ketika memadam kelebihan dua gol yang di bawa Johor Darul Takzim (JDT) pada aksi suku akhir kedua lalu, ramai pemerhati menganggap Kelantan sekali lagi akan mengisi slot final Piala Malaysia musim 2013.
Bagaimanapun, pengendali Kelantan, Bojan Hodak berkata, pertukaran venue bagi pasukan ATM daripada Stadium Selayang ke Stadium Shah Alam sudah memberikan kelebihan kepada pasukan itu kerana ia mampu memuatkan lebih ramai penyokong dan permukaan padang yang lebih baik.
"Saya tidak kisah untuk bermain di mana sekalipun. Penyokong kami sentiasa bersama kemana sahaja kami pergi. Stadium Shah Alam mungkin lebih besar dan penyokong kami juga dapat datang lebih ramai untuk membantu menaikkan semangat para pemain.
"Namun, kami perlu lebih berwaspada dengan ATM kerana mereka juga mempunyai kekuatan hampir sama dengan Kelantan. Pemain yang mereka ada juga seperti kami, tidak mempunyai masalah sama ada beraksi di tempat sendiri atau gelanggang lawan.

Tambahnya, aksi Liga Super membuktikan bahawa ATM juga sebuah pasukan yang selesa untuk beraksi di mana sahaja termasuk meleburkan rekod tanpa kalah Kelantan sejak hampir dua tahun alu dengan mencatat kemenangan di Stadium Sultan Muhammad IV.
Mengulas mengenai persiapan Kelantan, Hodak berkata, pasukannya akan mengadakan perlawanan persahabatan pada 13 Oktober ini menentang kelab daripada Thailand sebelum mereka memulakan kempen separuh akhir Piala Malaysia lima hari kemudian menentang ATM.
"Itu sahaja masa yang kami ada dan perlawanan persahabatan tersebut amat penting untuk saya membuat penilaian terhadap semua pemain. Saya fikir perlawanan lebih memberikan impak berbanding latihan untuk saya menguji para pemain.
"Kami akan turunkan pemain yang benar-benar memberikan komitmen. Ini perlawanan penting, saya tidak mahu ada kesilapan. Saya fikir memenangi perlawanan di tempat lawan mungkin akan memudahkan kerja di gelanggang sendiri nanti," ujarnya.
Bagaimanapun, persiapan Kelantan sedikit tergendala apabila empat pemainnya dipanggil menjalani latihan bersama skuad kebangsaan sementara dua lagi pemain tonggaknya, Shakir Shaari dan Nik Shahrul Azim Abdul Halim dibelenggu masalah kecederaan. 

Wednesday, October 9, 2013

Indra lega kes tersiku Matyo terlucut

“Syukur...Alhamdulillah!” kata penyerang Kelantan, Indra Putra Mahayuddin sebaik dimaklumkan yang dia tidak akan didakwa selepas tiada laporan diterima Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) daripada pegawai perlawanan susulan dakwaan dia menyiku penyerang Johor Darul Takzim (DT) Norshahrul Idlan Talaha pada suku akhir Piala Malaysia, Sabtu lalu.

 

 Indra berkata, berita gembira itu membuatkan dia lega kerana sejak dari awal mengetahui memang tidak bersalah dalam insiden terbabit. 

 

“Selepas ini, saya akan menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap pusingan pertama separuh akhir,” katanya merujuk kepada pertemuan menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Shah Alam, pada 18 Oktober ini.

Perlawanan itu dianggap penting buat The Red Warriors (TRW) kerana bakal menentukan ‘hidup mati’ Kelantan sama ada layak ke final Piala Malaysia atau sebaliknya memandangkan ATM pasukan ‘liat’ serta sukar untuk ditewaskan kerana dibarisi ramai pemain ternama seperti Marlon Alex James, Hairuddin Omar dan Bruno Martelotto.

“Kita perlu cari bekalan selesa untuk dibawa pulang ke Kota Bharu,” katanya. Aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Muhammad IV diadakan pada 25 Oktober ini.

Pemain paling ‘otai’ dalam skuad Kelantan itu meminta rakan sepasukan menumpukan perhatian kepada kedua-dua perlawanan itu jika mahu layak ke final.
“Saya harap rakan sepasukan dapat memberi persembahan terbaik seperti ketika bertemu Johor DT ketika menentang ATM. Pemain seperti Marlon dan Hairuddin perlu dikawal ketat kerana mereka begitu berbahaya di depan gol,” katanya.

Berhubung pemindahan lokasi perlawanan separuh akhir pertama dari Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) ke Stadium Shah Alam seperti diputuskan FAM, kelmarin, Indra menyambut baik keputusan itu kerana Stadium Shah Alam turut dianggap penyokong Kelantan sebagai `stadium keramat kedua TRW selepas Stadium di Kota Bharu.

“Justeru, kami harap penyokong membanjiri stadium bagi meniup semangat pemain kerana ATM dijangka membawa ramai penyokong tegar mereka. Namun, saya percaya jurulatih, Bojan Hodak mempunyai perancangan rapi untuk berdepan ATM.”

Tuesday, October 8, 2013

ATM, Kelantan berentap di Shah Alam




Gelanggang perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Tentera dan Kelantan pada 18 Oktober ini ditukarkan dari Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) ke Stadium Shah Alam. 

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata penukaran gelanggang itu adalah atas permintaan Tentera sebagai tuan rumah selepas mengambil kira jumlah penonton dan soal keselamatan. 
Sepak mula perlawanan itu kekal jam 8.45 malam, katanya dalam kenyataan di sini semalam. 

Stadium MPS mempunyai kapasiti 16,000 penonton manakala Stadium Shah Alam boleh menampung 80,000 penonton. 

Hamidin berkata perlawanan akhir Piala Presiden 2013 antara Kelantan dan Perak akan diadakan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu, Sabtu ini, mulai 8.45 malam.


Indra diugut bunuh dalam Facebook

TONGGAK Kelantan, Indra Putra Mahayuddin tidak tahu dia diancam bunuh selepas aksi suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Sabtu lalu.

 

 

Bagaimanapun, Indra memberitahu, dia tidak mengambil serius terhadap ugutan itu yang disifatkannya gurauan semata-mata.
"Saya tidak apa-apa. Sejujurnya, saya bersama ahli keluarga masih selamat buat masa ini.
"Saya tidak tahu jika ada ugutan bunuh daripada mana-mana pihak tetapi saya percaya ia lebih kepada gurauan sahaja. Ia tidak begitu serius," kata Indra ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Tinjauan Kosmo! dalam laman sosial Facebook semalam mendapati ada pihak tidak berpuas hati dengan Indra yang didakwa sengaja menyiku penyerang Johor DT, Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo.
Pertembungan antara Indra dan Mat Yo itu menyebabkan bekas penyerang Kelantan itu ditimpa kecederaan hidung berdarah.
Ditanya mengenai insiden itu, Indra berkata: "Saya tidak mahu komen mengenai hal itu buat masa ini. Saya akan tunggu masa yang lebih sesuai."
Kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Razak berkata, Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) boleh mengemukakan aduan terhadap insiden itu yang dikatakan 'terlepas pandang' oleh pengadil perlawanan, Suhaizi Shukri.
Jika PBNJ mengemukakan aduan, FAM sedia mengambil tindakan terhadap Indra jika bekas pemain kebangsaan itu benar-benar didapati bersalah sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Mat Yo.
Selain insiden itu, satu lagi 'babak' yang mencuri tumpuan pada pertemuan di Kota Bharu Sabtu lalu ialah tindakan penyerang import Johor DT, Leonel Nunez menunjukkan isyarat lucah kepada penyokong Kelantan.