Jurulatih Kelantan Bojan Hodak menegaskan faktor keletihan menyebabkan skuad kendaliannya dibelasah juara Liga Iraq, Al-Arbil 5-1 dalam pusingan pertama perlawanan suku akhir Piala AFC, malam kelmarin.
"Secara jujur, kami tidak layak menerima kekalahan teruk ini dan kami mungkin dapat menjaringkan lebih daripada satu gol tetapi kami gagal merebut peluang yang ada," kata Hodak.
"Semua pemain keletihan dan terjejas dengan perjalanan jauh yang mengambil masa lebih da- ripada 30 jam. Kami juga kehilangan lima pemain utama yang tidak datang bersama kami ke Iraq atas pelbagai sebab," kata Hodak.
Tidak mustahil
Berikutan perjalanan jauh dan memenatkan dari Kota Bharu, The Red Warriors terpaksa berhempas pulas dalam perlawanan di Stadium Francouse Al Hareeri itu.
Halkard Mulla Mohammed membuka jaringan tuan rumah pada minit ke-38 sebelum kapten Kelantan Mohd Badri Radzi menyamakan kedudukan pada minit ke-41.
Amjed Radhi kemudian menambah jaringan Al-Arbil menerusi sepakan penalti minit ke-51 sebelum Luay Salah menjaringkan gol ketiga (m-66) dan pemain gantian Salih Sadeer melengkapkan kemenangan bergaya tuan rumah dengan dua gol m-72 dan akhir permainan.
Walaupun lawan mempunyai bekalan selesa, tetapi dalam bola sepak tiada yang mustahil dan kami akan cuba menebus kekalahan ini, kata jurulatih kelahiran Croatia itu.
Kelantan akan bertemu kelab Iraq itu dalam perlawanan pusingan kedua Selasa ini di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu. Pemenang perlawanan akan bertemu sama ada Chonburi FC dari Thailand atau Al-Shorta dari Syria pada pertemuan separuh akhir.
No comments:
Post a Comment