Nuffnang Ads

Monday, January 30, 2012

Ferguson tak puas hati



JI-SUNG (kanan) menjaringkan gol tunggal United ketika tewas 1-2 kepada Liverpool kelmarin.


LIVERPOOL - Alex Ferguson melabel kekalahan 2-1 Manchester United kepada Liverpool pada aksi pusingan keempat Piala FA kelmarin sebagai sesuatu yang 'menyakitkan.'
Pada aksi di Anfield itu, juara Liga Perdana England itu, United lebih banyak menguasai permainan sebelum dikejutkan dengan gol kemenangan Liverpool yang diperoleh menerusi Dirk Kuyt pada minit ke-88.
Jaringan dramatik Kuyt itu telah meleburkan impian juara 11 kali Piala FA itu, sekali gus mencerahkan peluang Liverpool untuk mengulangi kejayaan merangkul gelaran berganda, Piala Liga dan Piala FA pada tahun 2001.
Pertemuan ini adalah yang pertama buat kedua-dua pasukan selepas penyerang skuad The Reds, Luis Suarez digantung lapan perlawanan selepas didapati bersalah menghemburkan kata-kata berbaur perkauman kepada pemain pertahanan United, Patrice Evra pada 15 Oktober lalu.
Bagaimanapun, aksi tersebut berakhir tanpa mencetuskan insiden yang tidak diingini selepas Dalglish dan Ferguson kelihatan tenang sepanjang perlawanan itu.
Meskipun para peminat Liverpool mengejek Evra, pertemuan itu bebas daripada kontroversi dan hanya satu kad kuning dilayangkan.
"Para pemain saling menghormati antara satu sama lain," kata Ferguson.
"Tidak ada terjahan keras yang dilakukan dalam perlawanan itu. Mereka bermain dengan semangat yang baik. Kami gembira dengan situasi itu.
"Kekalahan ini adalah sesuatu yang menyakitkan. Kami lebih banyak menguasai permainan. Kami bermain dengan baik tetapi tewas pada perlawanan ini sukar untuk dipercayai.
"Kami lebih banyak mengawal permainan. Pergerakan bola kami juga baik. Saya fikir, kami akan memenangi perlawanan ini."
Pada perlawanan tersebut, Daniel Agger meletakkan Liverpool di depan pada minit ke-21 sebelum United mengikat kedudukan menerusi Park Ji-Sung (ke-38). - AFP

No comments:

Post a Comment