Ketua jurulatih Kelantan, Bojan Hodak mahu anak buahnya melupakan segera kekecewaan tewas 0-1 kepada Lions XII pada saingan Liga Super Sabtu lalu bagi mengelakkan tekanan apabila berdepan kelab Myanmar, Ayeyawady United dalam saingan peringkat kumpulan Piala AFC, di Stadium Thuwunna YTC, Yangon, hari ini.
Jurulatih berusia 41 tahun dari Croatia itu turut meminta semua pemain The Red Warriors (TRW) memberi fokus penuh dan melupakan segala kritikan dilontarkan ke atas pasukan ketika ini.
“Menang dan kalah sudah menjadi adat dalam bola sepak, namun kemenangan dan kekalahan lalu tidak boleh dijadikan sandaran untuk perlawanan seterusnya. Semua pemain perlu melupakan segala kekecewaan bagi mengelakkan daripada tekanan dalam perlawanan ini.
Cabaran besar bagi musim ini
“Kami terima banyak kritikan mengenai soal prestasi pasukan, namun semua itu kami anggap sebagai cabaran besar bagi musim ini.
“Saya akan menurunkan kesebelasan terbaik esok (hari ini) dan tiada yang mustahil untuk kami menewaskan Ayeyawady atau pun sekurang-kurangnya mendapatkan satu mata,” katanya, semalam.
Dalam perlawanan pertama peringkat kumpulan G saingan Piala AFC dengan Maziya SRC di Stadium Sultan Muhammad IV 6 Mac lalu, Kelantan gagal menggunakan kelebihan beraksi di tempat sendiri apabila hanya mampu mencatat keputusan seri 1-1 dengan pasukan dari Maldives itu.
No comments:
Post a Comment