Penyerang import Kelantan Dimitri Petratos tekad memburu jaringan berdepan Maziya Sports & Recreation (Maziya SRC) dalam saingan Piala AFC di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.
Penggempur berusia 20 tahun itu yang sebelum ini diketepikan dalam saingan Liga M kerana memberi laluan kepada penyerang import dari Guinea, Keita Mandjou akhirnya turun untuk aksi pertamanya.
Petratos berkata, selepas hanya beraksi dalam beberapa perlawanan persahabatan dan menjalani latihan bersama kelab Blackburn Rovers di England tiga minggu lalu, bintang dari Sydney FC itu sudah bersedia membantu The Red Warriors (TRW) dalam saingan AFC.
Katanya, walaupun sebelum ini kecewa tidak dapat beraksi dalam Liga M namun ia tidak mematahkan semangatnya kekal bersama Kelantan selepas mengikat kontrak setahun bersama Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).
“Saya mendapat keyakinan selepas menjalani latihan di England dan kini sedia membantu Kelantan. Untuk perlawanan pertama saya akan cuba mencipta jaringan,” tegasnya.
Sementara itu, jurulatih Bojan Hodak berkata, pemain pertahanan, Nik Shahrul Azim Abd Halim dan Shakir Shaari sudah pulih daripada kecederan.
Katanya, kehadiran dua pemain berkenaan memberi ruang kepadanya membuat pilihan pemain selain dibantu empat awang import.
“Mereka akan bermain malam esok (malam ini) dan saya perlu membentuk kesebelasan terbaik. Untuk AFC kita ada Lek Kcira dan Obinna Nwaneri di barisan pertahanan malah Petratos dan Dicson Nwakaeme akan mengetuai jentera serangan,” katanya.
No comments:
Post a Comment