KOTA BHARU – Pemain The Red Warriors menerima suntikan semangat menjelang pertemuan sengit Liga Super menentang musuh ketat, Selangor di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini.
Ganjaran wang tunai RM300,000 yang diterima semalam hasil kejayaan merangkul Piala FA pada 19 Mei lalu, menjadi tonik baharu kepada anak buah Bojan Hodak untuk mencapai misi memburu tiga mata ke atas juara Liga Super musim 2010 itu.
Ketua Pasukan Kelantan, Mohd Badhri Radzi berkata, pemberian bonus tersebut tepat pada masanya dan menjadi pembakar semangat kepada rakan sepasukan lain untuk mempamerkan aksi sebenar setelah dikritik hebat baru-baru ini.
“Malam ini kita akan bertemu Selangor, satu-satunya pasukan yang berjaya mengalahkan Kelantan dalam saingan liga musim ini.
“Saya percaya moral semua pemain berada dalam keadaan cukup baik bagi menghadapi Gergasi Lembah Kelang itu. “Kita tidak mahu tercicir mata seperti mana pada pertemuan dengan Terengganu tempoh hari. “Bukan sahaja turun dengan misi membalas dendam di atas kekalahan lalu tetapi kita juga mahu melengkapkan misi memburu tiga mata buat kali keempat di halaman sendiri.
“Peluang untuk mempertahankan kejuaraan liga terbentang luas. Dengan syarat kita perlu menewaskan Selangor dan Negeri Sembilan selepas ini.
“Jika kita memperoleh tiga mata daripada dua perlawanan tersebut, ia ibarat sudah sebelah tangan kita menjulang piala,” katanya. Namun jeneral padang berusia 30 tahun itu, tidak menyifatkan pertemuan ini sesuatu yang mudah bagi Kelantan apatah lagi Selangor yang dibimbing oleh jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim sudah pasti bertandang ke Kota Bharu dengan misi yang sama untuk meraih tiga mata.
“Irfan Bakti merupakan seorang jurulatih yang penuh dengan tipu muslihat. Kita harus berwaspada dengan percaturan taktikal dan permainan psikologi beliau. “Jadi saya mahu semua rakan sepasukan berwaspada dan tidak memandang mudah pertemuan ini.
“Saya gandingan Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha), Mohammad Ghaddar, Mohd Norfarhan (Muhammad) dan Indra Putra (Mahayuddin) dapat melakukan sesuatu bagi memastikan misi kita tercapai,” katanya.
Malah Mohd Badhri atau dikenali panggilan Piya turut menamakan kelibat tiga tonggak Selangor iaitu Ketua Pasukan, Mohd Amri Yahyah, Shafiq Rahim dan Bosko Balaban antara pemain yang boleh memusnahkan impian Kelantan untuk meraih tiga mata pertemuan ini.
“Jangan beri sepakan percuma (di depan gol Kelantan) kepada Selangor. Itu cukup berbahaya dan menjadi senjata utama mereka menjaringkan gol. “Kelibat ketiga pemain itu harus dirantai oleh benteng pertahanan kita,” katanya.
Sumber : Sinar Harian & theredwarriorscolony.com
No comments:
Post a Comment