KOTA BHARU – Kehadiran tiga tonggak ibarat menyuntik kekuatan baru buat barisan pemain The Red Warriors bagi menghadapi musuh tradisinya, Terengganu dalam pertemuan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.
Kelibat Mohd Daudsu Jamaluddin serta dua awang import, Obinna Nwaneri dan Mohammad Ghaddar pasti ditagih setelah barisan pemain Kelantan dikecam hebat ekoran mempamerkan aksi longlai dalam tiga perlawanan sebelum ini.
Pengendali Kelantan, Bojan Hodak menyifatkan kehadiran tiga pemain tersebut mampu mengimbangi kekuatan pasukan bagi memburu tiga mata penting meski pun sedar tentangan sengit daripada pasukan yang bergelar Sang Penyu dalam pertemuan ini.
“Saya gembira apabila ketiga-tiga pemain kembali berada di dalam kesebelasan utama. “Sudah pasti ia menjadi tonik baharu bagi kita menghadapi Terengganu di tempat mereka malam ini.
“Saya tahu penyokong kurang senang dengan aksi hambar kita tempoh hari. “Tetapi percayalah, bermula menentang Terengganu diikuti Selangor Jumaat ini, kita akan mempamerkan corak permainan sebenar. “Kita pergi ke sana untuk menang. Semua orang tahu tentang perkara ini.
Penting bagi kita untuk meraih tiga mata. “Menang bererti kita menyamai mata dengan Lions XII dan sudah pasti menjadi pembakar semangat sebelum membuat perhitungan dengan Selangor nanti,” katanya.
Hodak bagaimanapun tidak dapat menurunkan Mohd Shakir Shaari dan S Chanturu dalam perlawanan ini, setelah kedua-dua mereka terpaksa diketepikan kerana menjalani pergantungan perlawanan dan kecederaan pangkal paha. Mengulas mengenai lawan yang pernah ditewaskan dalam pusingan kedua kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Mei lalu,
Hodak tetap menghormati keupayaan Terengganu yang disifatkan antara pasukan yang terkuat dalam saingan liga musim ini.
“Terengganu merupakan pasukan yang bagus kerana ramai pemain mereka mempunyai kemahiran individu tersendiri. “Saya tidak tahu apa masalah mereka (tewas dan seri dalam dua perlawanan terakhir) namun kita perlu berwaspada. “Saya lihat ancaman mereka hadir menerusi dua pemain tengah mereka iaitu Mohamad Ashaari (Samsudin) dan Joseph (Kalang Tie).
“Begitu pun kita tidak boleh melupakan Francis Forkey Doe yang mungkin boleh meragut perjuangan kita untuk memburu tiga mata,” katanya.
Sumber : Sinar Harian
No comments:
Post a Comment