SELEPAS berjaya menjaringkan hatrik minggu lalu dengan membenam Arema FC, 3-0, di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, penyerang Kelantan, Muhammad Ghaddar semalam, menjaringkan dua gol bagi membantu Red Warriors menewaskan pasukan sama, 3-1, dalam pertemuan ulangan peringkat kumpulan H kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang berlangsung di Stadium Gajayana, semalam.
Dalam perlawanan ulangan itu, Kelantan menjaringkan gol pembukaan melalui sepakan penalti pada minit ke-16 yang disempurnakan Ghaddar. Bagaimanapun, Arema FC berjaya menyamakan kedudukan melalui jaringan Roman Camelo pada minit ke-35 perlawanan dan kedudukan 1-1 kekal sehingga taman separuh masa pertama.
Pada babak kedua, Ghaddar membuktikan kehebatannya mengendalikan jentera serangan Kelantan apabila berjaya menjaringkan gol kedua pada minit ke-60 sebelum pemain pertahanan, Mohd Zamri Ramli meledak gol ketiga Kijang pada minit akhir permainan.
Tanpa dibarisi empat tonggak utama iaitu Mohd Badhri Radzi, Mohd Daudsu Jamaluddin, Indra Putra Mahayuddin dan Mohd Norfarhan Muhammad, rombakan besar yang dilakukan ketua jurulatih Red Warriors, Bojan Hodak ternyata memperlihatkan hasil yang sangat positif serta membuka peluang Red Warriors untuk melangkah ke pusingan kedua Piala AFC dengan mengumpul tujuh mata daripada empat perlawanan.
Perlawanan seterusnya, Kelantan akan bertandang ke Vietnam untuk menentang Navibank Saigon pada 24 April depan.
Sumber : Sinar Harian
No comments:
Post a Comment