KEMPEN ‘10 sen untuk FAM RM2,124’ yang dilancarkan gabungan beberapa kelab penyokong bola sepak Kelantan minggu lalu berjaya mencapai sasarannya.
Hari ini, mungkin juga pertama kalinya dalam sejarah bola sepak negara, kutipan tersebut akan diserahkan oleh gabungan kelab penyokong tersebut kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi membayar kos perbelanjaan mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib yang bersidang pada 4 April lalu.
Setiausaha Kelab Penyokong Bola Sepak Kelantan (KPBSK), Rozamri Mohd Ali berkata, beliau bersama beberapa wakil kelab penyokong di sekitar Lembah Klang akan hadir sendiri ke Wisma FAM untuk menyampaikan kutipan tersebut.
“Tan Sri Annuar (Musa) lebih daripada berkemampuan untuk membiayai perbelanjaan tersebut. Tetapi apa yang kami lakukan ini merupakan satu simbolik penyatuan penyokong bola sepak Kelantan yang berdiri teguh di belakang beliau,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
“Kalau diikutkan badan induk bola sepak kebangsaan itu sendiri bercanggah mengenai perkara (pembayaran kos mesyuarat) tersebut. Tuanku Presiden (Sultan Ahmad Shah) mengatakan tidak perlu bayar, tetapi Setiausaha Agungnya, Datuk Azzuddin (Ahmad) sudah pun terlebih dahulu mengeluarkan surat arahan pembayaran tersebut.
“Tetapi kami tidak kisah tentang perkara itu. Ini sebahagian daripada pengorbanan yang dilakukan oleh para penyokong. Kami mahu buktikan di dalam bola sepak, kami tetap berdiri teguh dan mengadakan kutipan tersebut sebagai sokongan moral kepada kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan itu,” katanya.
Pada 4 April lalu, Annuar menerima hukuman penggantungan selama dua tahun enam bulan setelah didapati bersalah mengkritik prestasi skuad bola sepak kebangsaan, selain turut diarahkan membayar kos perbelanjaan mesyuarat jawatankuasa tersebut sebanyak RM2,124 dalam tempoh 14 hari.
Sumber : Sinar Harian
No comments:
Post a Comment