Nuffnang Ads

Monday, April 9, 2012

Sultan Ahmad Shah tak setuju




PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Sultan Ahmad Shah (gambar) tidak bersetuju Tengku Abdullah menjadi orang tengah bagi menangani krisis badan induk bola sepak negara itu dengan Tan Sri Annuar Musa.
Sultan Ahmad Shah semasa ditemui di Pekan, Pahang semalam bertitah, tawaran Tengku Abdullah yang juga Timbalan Presiden FAM itu tidak seharusnya berlaku kerana keputusan FAM untuk menggantung dua setengah tahun terhadap Annuar telah dibuat pada 4 April lalu.
“Sebagai presiden, saya mesti menyokong apa sahaja keputusan yang telah dilaksanakan kerana keputusan tersebut dibuat berdasarkan ketetapan undang-undang dan peraturan.
“Annuar telah dijatuhi hukuman. Kita tunggu sahaja (tempoh penggantungan) dua tahun dan enam bulan itu. Bagaimanapun, saya tidak campur apa (kenyataan) yang Tengku Abdullah cakap,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Penghijauan Pahang di Pulau Beram dekat Pekan semalam.
Pada 4 April lalu, Annuar yang juga Timbalan Presiden FAM digantung selama dua setengah tahun selepas dihadap ke Jawatankuasa Tatatertib FAM kerana mengkritik pasukan kebangsaan secara terbuka.
Jelas Sultan Ahmad Shah lagi, penggantungan yang dikenakan terhadap Annuar adalah berdasarkan perlembagaan yang telah ditetapkan.
“Apa yang dilakukannya adalah bertentangan (melanggar peraturan FAM) dan saya mesti menyokong persatuan bola sepak saya.
“Bukan Annuar seorang sahaja yang mengalaminya (penggantungan) kerana sebelum ini bekas Naib Presiden FAM, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar digantung tiga tahun pada 1991.
“Allahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri Mohd. Akil pula dua kali digantung pada 2001 (selama empat tahun) dan 2006 (selama setahun) kerana mengkritik FAM,” titah baginda.
Titah baginda lagi, setiap tingkah laku atau kenyataan yang dikeluarkan perlu dibuat berlandaskan undang-undang dan perlembagaan serta tidak terlalu bebas kerana wajar mematuhi peraturan.
“Kalau kita rakyat Malaysia tidak mematuhi perlembagaan, siapa lagi? Kalau nak suruh orang luar, mungkin tidak. Justeru, saya mengikut segala peraturan dan perlembagaan FAM,” jelas baginda.
Sumber : Kosmo

No comments:

Post a Comment