Nuffnang Ads

Wednesday, April 4, 2012

Lagenda bola sepak Kelantan pertahan Annuar



KOTA BHARU - "Apa yang disuarakan Tan Sri Annuar Musa itu ada rasionalnya. Mungkin kesalahan beliau ialah bercakap pada masa dan tempat yang salah." Itu pandangan dilontarkan lagenda bola sepak Kelantan, Dali Omar ketika diminta mengulas mengenai kritikan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa terhadap prestasi pasukan bola sepak kebangsaan baru-baru ini
Sambil bersetuju dengan prestasi pasukan kebangsaan ketika ini bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan, Dali berkata, tidak ada silapnya bagi orang nombor tiga dalam badan induk bola sepak kebangsaan itu mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Semuanya berkisar soal ‘spirit of the moment’ dan apa-apa sahaja pun boleh berlaku. Beliau mungkin boleh menyesal di atas kenyataan tersebut tetapi apa yang diperkatakan itu merupakan sesuatu yang benar dan kita harus menerimanya dengan terbuka.
“Kesilapan beliau mungkin tidak bercakap di dalam mesyuarat sebagai mematuhi peraturan FAM. Tetapi kita kena ingat itu merupakan pandangan peribadinya. Itu sahaja dan kita harus realistik dengan pandangan beliau.
“Kita sudah menghabiskan wang berjuta-juta ringgit, masa dan tenaga tetapi apa yang kita dapat. Tiada hasilnya dan saya bersetuju kita bukanlah ‘power house’ dalam sukan bola sepak sejak dulu lagi,” katanya.
Nasib supremo bola sepak Kelantan itu sama ada bakal berdepan hukuman penggantungan hanya dapat diketahui apabila Jawatankuasa Disiplin yang dipengerusikan Datuk Taufiq Abdul Razak bersidang di Wisma FAM, Kelana Jaya petang ini.
Bekas pemain negeri era 1970’an yang pernah bermastautin di Australia itu menganggap badan induk bola sepak kebangsaan itu seharusnya lebih terbuka dalam menerima kritikan daripada mana-mana pihak pada masa akan datang.

“Di sini lain dan di Australia lain. Di sana semua orang bermain bola sepak. Semua orang yang menjaga persatuan sukan adalah profesional. Tidak ada orang yang berpangkat sebaliknya hanya orang biasa yang menjaga persatuan.
“Semua persatuan sukan di sana boleh dikritik. Mereka boleh menerima kritikan, berbincang dan mengambil tindakan bagi memperbaiki sebarang kelemahan. Kita kena akui masih belum mencapai tahap profesionalisme sepenuhnya.
“Dulu kita boleh kalahkan Australia tetapi tengoklah sekarang mereka pula yang membelasah kita. Sekarang mereka layak bermain di Piala Dunia tetapi di mana kedudukan kita sekarang,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

No comments:

Post a Comment