Nuffnang Ads

Thursday, February 2, 2012

Artis wanita obses motosikal kuasa tinggi


TIADA istilah takut, bahaya mahupun mengalah bagi lima bintang popular Erra Fazira, Dira Abu Zahar, Lisdawati, Linda Onn dan Datuk Siti Nurhaliza apabila menjadikan aktiviti menunggang motosikal besar sebagai hobi. Bagi mereka aktiviti tersebut memberikan 1001 kepuasan yang tidak dapat diungkap dengan kata-kata.
Sememangnya bukan mudah untuk seorang wanita menunggang motosikal berkuasa tinggi sehingga mencecah 1200 cc. Selain berat, ia juga memerlukan seseorang penunggang itu mempunyai tenaga yang kuat untuk menunggangnya kerana jika silap percaturannya, maka motosikal besar itu boleh terbalik dan menimpa pemiliknya.
Bagi Erra, Dira, Siti, Lisdawati dan Linda mereka mempunyai sebab mengapa memilih aktiviti yang dianggap milik golongan kaya itu sebagai hobi. Mereka juga berkongsi pengalaman manis dan pahit menunggang motosikal berkuasa tinggi sebagai hobi kepada Kosmo!.
Dira sorok motosikal
Jangan anggap pelakon dan pengacara Melodi, Dira Abu Zahar tau Dira, 28, kasar atau ganas apabila menjadi penunggang tegar motosikal berkuasa tinggi.
Baginya, menunggang motosikal besar merupakan hobi yang tidak akan sekali-kali merubah dirinya menjadi kasar atau ganas.
“Siapa yang menganggap wanita yang menunggang motosikal berkuasa tinggi itu kasar atau ganas mereka silap. Kata-kata sebegitu tidak relevan digunakan untuk kami. Mungkin kami sedikit berani dan kasar tapi fizikal tidak semestinya berubah,” ujarnya.
Berkongsi minatnya itu, Dira sudah mendapat pendedahan menunggang motosikal berkuasa tinggi sejak kecil lagi daripada abang kandungnya, Muhd. Idi Iskandar.
Bermula di tingkatan tiga lagi anak bongsu itu sering mengikut abang dan kawan-kawan abangnya ke mana sahaja menunggang motosikal berkuasa besar. Dari situ mula timbul minat Dira untuk memiliki dan menunggang motosikal berkuasa tinggi sendiri.
Kecintaannya pada motosikal berkuasa tinggi direalisasikan ketika usianya mencecah 20 tahun.
Dira membeli motosikal Harley Davidson Sportster hasil daripada titik peluhnya sendiri membuat kerja sampingan sejak di bangku sekolah tanpa bantuan kedua orang tuanya memandangkan minatnya itu tidak pernah diketahui atau diceritakan kepada mereka.
“Berkat kerja sejak di bangku sekolah. Kumpul duit, akhirnya saya mampu memiliki motosikal sendiri. Awal-awal beli motosikal itu, ibu bapa saya tidak tahu dan saya takut memberitahu mereka kerana mereka pasti marah.
“Selama setahun saya menyimpan dan menyorokkan motosikal itu di garaj rumah abang. Selepas itu barulah saya berani untuk berterus-terang dengan ibu bapa saya dan meyakinkan mereka saya tahu menjaga diri,” ujarnya yang merasa puas setiap kali menunggang motosikal berkuasa tinggi.
Sehingga kini, Dira sudah berjaya menunggang motosikal berkuasa tinggi sehingga ke seluruh Malaysia. Malah, sudah beberapa kali membawa anaknya, Tengku Anggun Deandra Tengku Shafiz-Rullah menyertai konvoi motosikal berkuasa tinggi bersama abang dan suaminya.
Tambah Dira, sememangnya Anggun sudah didedahkan dengan aktiviti itu sejak usianya setahun lagi. Malah, anaknya yang berusia empat tahun itu sudah memiliki motosikal jenis Pocket Bike yang dibelikan oleh Dira.
“Saya tidak pernah menghalang jika dia mempunyai minat yang serupa dengan saya.
Malah, jika dia ingin menjadikan aktiviti menunggang motosikal sebagai kerjaya juga saya izinkan asalkan dia perlu mempunyai pengetahuan dan latihan yang betul dan mencukupi tentang menunggang motosikal,” ungkapnya optimis.
Tidak kedekut berkongsi mengenai perbelajaannya kepada minatnya itu, Dira mengaku sudah berhabis hampir RM200,000 semata-mata memiliki dan mengubah suai motosikal jenis Harley Davidson XR1200cc yang baru dibelinya tahun lepas.
Atas minatnya itu juga, Dira mencipta kelainan apabila menunggang motosikal berkuasa tinggi dengan mengenakan busana perkahwinan ketika resepsi perkahwinannya bersama Mohd. Helmi Mohd. Yusof, 33.
Lisdawati tidak pentingkan diri




Bagi pelakon Lisdawati Nazaruddin, 33, dia tidak menganggap aktiviti menunggang motosikal besar sebagai hobi sebaliknya minat semulajadi sejak dulu lagi. Pintalah apa jua jenis motosikal sama ada yang kecil mahupun yang berkuasa tinggi, isteri kepada pelakon Fauzi Nawawi itu mampu menunggangnya.
Bercerita tentang minatnya itu, cerita Lisdawati, sejak umurnya 19 tahun lagi dia sudah mempunyai lesen motosikal. Motosikal pertama yang ditunggang dan dimiliki Lisdawati merupakan        
LISDAWATI aktif menunggang motosikal kuasa tinggi sejak di zaman anak dara lagi.                
Yamaha TZM yang dibeli hasil titik peluhnya sendiri ketika berusia 19 tahun.
“Selama dua tahun saya jadi penunggang jalan raya setia. Bawa motosikal itu pergi dan balik daripada kerja,” ungkapnya ketika ditemui pada sidang media memperkenalkan 16 peserta program Pilih Kasih di Hotel Holiday Villa, Subang.
Itulah satu-satunya motosikal yang dibeli Lisdawati kerana baginya walaupun minatnya ke atas motosikal berkuasa tinggi begitu mendalam namun dia sedar dia bukan daripada keluarga yang kaya untuk memperoleh apa yang diinginkan.
Lisdawati juga bukan jenis pentingkan diri sehingga sanggup berhabis duit untuk merealisasikan minatnya itu sedangkan banyak keperluan lain yang perlu diutamakan dahulu.
Atas sebab itu juga, ibu kepada dua cahaya mata itu tidak lagi begitu aktif menunggang motosikal berkuasa tinggi dan mengikuti konvoi selepas berkahwin dan dikurniakan anak kerana mengutamakan keluarga. Dia juga tidak pernah mempunyai atau membeli motosikal berkuasa tinggi walaupun berkeinginan untuk memiliki motosikal Ducati.
Sebab lain juga, Lisdawati takut minatnya menunggang motosikal besar mempengaruhi anak-anaknya.
“Lisda takut kalau anak-anak terdedah dengan aktiviti menunggang motosikal berkuasa tinggi. Saya tak percaya mereka boleh melakukannya kecuali kalau mereka benar-benar dapat meyakinkan saya,” ujarnya yang pernah berdepan dengan pengalaman pahit apabila terlibat dengan kemalangan ketika menunggang motosikal.
Kongsi Lisdawati, kejadian itu berlaku ketika dia balik dari kerja ketika melalui bulatan Pahang. Akibat bergesel dengan sebuah motosikal, motosikal Lisdawati berpusing melanggar pembahagi jalan.
Mujur ketika itu, Lisdawati dengan segera melepaskan motosikalnya dan tidak ada sebarang kenderaan melanggarnya. Walaupun berdepan dengan pengalaman pahit sebegitu, minat Lisdawati untuk menunggang motosikal berkuasa tinggi tidak pernah pudar sehingga kini.
Berkongsi minatnya itu kepada peminat, Lisdawati memberitahu, dia pernah menunggang motosikal Honda Fireblade berkuasa 1100cc milik sebuah syarikat dan pernah menyertai konvoi seluruh Malaysia seterusnya mencipta rekod Malaysia kerana menunggang dalam tempoh 18 jam pada tahun 2001.
Linda jelajah 1Malaysia
Minat penyampai radio Suria FM, Rozlindah Onn atau Linda Onn, 34, pada motosikal berkuasa tinggi pula bermula sejak dua tahun lalu.
Sebelum ini, Linda tidak pernah memiliki lesen dan minat untuk menunggang motosikal gara-gara dimarahi oleh ibunya kerana jatuh ketika menunggang motosikal curi-curi sewaktu berusia 13 tahun.
Namun, segalanya berubah dua tahun lalu, ketika Linda membelek majalah motokar dan berkenan dengan sebuah rekaan motosikal berkuasa tinggi, Spyder.
Linda memberitahu, minat menunggang motosikal juga timbul disebabkan dia berasa tertekan dengan kerjaya dan bosan di samping menginginkan aktiviti yang boleh memberikan dirinya kepuasan dan keseronokan.
“Selepas itu, saya terus ambil lesen dan berkenalan dengan rakan-rakan yang sama meminati motosikal berkuasa tinggi. Seterusnya membeli sebuah motosikal Ducati Monster pada tahun 2010,” ujarnya yang membeli motosikal berkuasa tinggi itu sempena sambutan ulang tahunnya yang ke-33.
Ujarnya, sewaktu membawa balik motosikal tersebut ke rumah, ibunya terkejut kerana sebelum itu dia tidak pernah menyuarakan hasratnya untuk memiliki motosikal.
“Setelah saya berjanji pada ibu akan menunggang motosikal itu dengan berhati-hati, barulah dia lega dan ibu pun tahu aktiviti saya bersama kawan-kawan,” katanya.
Sejak boleh mengendalikan motosikal berkuasa besar, Linda bersama rakan-rakannya pernah mengikuti konvoi 300 penunggang motosikal ke Cherating, Pahang dan Sepang, Selangor.
Pemilik kedai makan My Mom’s Chicken Rice dan My Asam Pedas itu juga menitipkan pengalaman berharga selepas menyertai aktiviti bermotosikal kerana dilantik sebagai wakil selebriti jelajah 1Malaysia mulai 14 sehingga 21 Mei ini.
Dia turut menyertai kempen penjelajahan bermotor Jelajah 1Malaysia siri ketiga dengan membawa tema Kami Prihatin Membanteras Pembuangan Bayi 2011.
LINDA mengimpikan untuk memiliki motosikal seumpama Harley Davidson suatu hari nanti.


Setelah memiliki motosikal Ducati, Linda menyimpan hasrat untuk memiliki motosikal easy rider seperti Harley Davidson.
Erra sanggup berhabisan
Bagi pelakon jelita Fazira Wan Chek atau Erra Fazira, 38, pula sejak di usia 17 tahun lagi dia sudah mula menunggang motosikal berkuasa tinggi.
Menurut Erra, disebabkan minat yang mendalam, dia sanggup menghabiskan duit simpanan semata-mata mahu membeli sebuah motosikal berkuasa tinggi iaitu Kawasaki ZXR 750.
Motosikal itu juga banyak memberi pengalaman manis dan pahit buat pelakon filem Hingga Hujung Nyawa itu.
“Saya dan rakan-rakan ambil keputusan untuk menyaksikan perlumbaan motosikal bertaraf dunia yang akan diadakan di Batu Tiga, Shah Alam, Selangor. Antara pelumba yang mengambil bahagian ialah Mike Doohan, pelumba berbangsa Australia yang memang saya minati.
“Dek kerana seronok menunggang motosikal dan asyik berkhayal, saya hilang kawalan ketika melalui satu selekoh tajam. Saya lepaskan handle motorsikal sementara motorsikal pula terpelanting masuk ke dalam longkang berhampiran.
“Walaupun cedera saya tetap meneruskan perjalanan menunggang motosikal itu ke perlumbaan tersebut,” tuturnya yang baru-baru ini membeli sebuah motosikal berjenama Harley Davidson VRSCDX Night Rod Special berkapasti 1250cc.
Plat motor Siti KCT1
Selain keempat-empat artis jelita itu, penyanyi tersohor Datuk Siti Nurhaliza Taruddin juga kini menjadikan aktiviti menunggang motosikal berkuasa tinggi bersama suaminya, Datuk Khalid Mohamad Jiwa sebagai hobi baharunya.
Hobi itu dikatakan mula timbul selepas Siti dan suami pulang daripada percutian di Capetown awal Mei lalu.
Khabarnya sejak kecil lagi Siti memang suka menunggang motosikal di kampungnya. Namun, selepas bergelar penyanyi dia tidak berpeluang lagi menunggang motosikal.
Setelah berkahwin dan mengikuti konvoi ketika bercuti di Capetown minat Siti untuk menunggang motosikal kembali timbul. Malah, ia beralih arah pula kepada motosikal berkuasa tinggi.
Minatnya itu juga dikongsi bersama suaminya apabila mereka sering menyertai konvoi menunggang motosikal berkuasa tinggi sejak pulang dari Capetown.
Menariknya, disebabkan minat baharunya itu Siti juga dikatakan sanggup membeli motosikal Harley Davidson dan membida nombor plat KCT1 dengan harga RM65,550 dan didaftarkan untuk motosikal berkuasa tinggi itu.
sumber : kosmo

No comments:

Post a Comment