SELANGOR tidak mempunyai pilihan selain mencatat kemenangan ke atas juara bertahan, Kelantan dalam pertemuan getir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.
Kekalahan atau keputusan seri hanya menambah tekanan kepada skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim yang dikejutkan dengan kekalahan 0-2 kepada PKNS FC, Sabtu lalu.
“Moral rakan sepasukan menurun selepas perlawanan itu. Namun saya harap ia dapat dilupakan dan memberi tumpuan penuh pada perlawanan ini kerana perjalanan liga masih panjang,” kata kapten pasukan, Mohd Amri Yahyah.
Menurut pemain paling berpengalaman skuad Selangor itu, Kelantan yang mencatat kemenangan 2-1 ke atas Terengganu sememangnya berada dalam prestasi terbaik namun ia tidak bermakna barisan pemain Merah Kuning sudah menyerah kalah.
“Kami akan berusaha membuat kejutan. Bagaimanapun kami perlu menjaringkan gol awal bagi memastikan usaha meraih tiga mata dapat diraih dengan mudah,” katanya.
Selangor dijangka tidak menurunkan K Gurusamy yang mengalami kecederaan ketika menentang PKNS FC namun Irfan Bakti dilihat tidak mempunyai masalah kerana memiliki barisan pemain tengah yang ramai untuk diturunkan.
Hingga petang semalam, penyerang import Selangor dari Croatia, Bosko Balaban tidak tersenarai antara tujuh pemain import yang diluluskan Jawatankuasa Pemeriksaan, Pemantauan dan Ketelusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Namun Balaban yang berdepan masalah Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) mempunyai masa hingga jam 12 malam tadi untuk menyelesaikannya.
Sumber : myMetro
No comments:
Post a Comment