Nuffnang Ads

Wednesday, February 15, 2012

Harimau Muda merendah diri



KIM SWEE (kanan) menuntut barisan pemainnya bersedia sepenuhnya bagi menghadapi kempen kelayakan Piala Asia Bawah 22 tahun bermula Jun depan.


"JANGAN terlalu yakin."Demikian respon ringkas Ong Kim Swee selepas skuad negara diundi dalam Kumpulan G bersama Korea Selatan, Vietnam, Myanmar, Taiwan dan Filipina pada kempen kelayakan Piala Asia Bawah 22 tahun.
Justeru, jurulatih Harimau Muda itu menuntut barisan pemainnya agar lebih bersedia dan tidak memandang rendah keupayaan mana-mana pasukan meskipun skuad negara dilihat berpeluang mara ke pusingan akhir Piala Asia 2013.
Bagi Kim Swee, beliau menganggap kesemua pasukan yang bertanding memiliki kekuatan tersendiri dan bersedia memberikan aksi terbaik.
Biarpun mengakui lega kerana tidak diundi bersama pasukan gergasi Asia - Jepun dan Australia, beliau tidak mahu barisan kendaliannya bermegah dengan reputasi selaku juara ASEAN.
"Selain Korea Selatan, kami perlu awasi ancaman dari Taiwan, Vietnam, Myanmar mahupun Filipina. Saya yakin pembangunan bola sepak pasukan-pasukan terbabit pasti meningkat.
"Kejayaan menjulang pingat emas Sukan SEA sudah berlalu. Bagi saya, kami perlu mencipta atau menjulang satu rekod baharu untuk negara.
"Saya khuatir sekiranya kami terlalu yakin, ia memakan diri sendiri. Jadi saya menuntut fokus dan persiapan pemain dengan lebih tinggi menjelang kempen kelayakan tersebut," katanya semalam.
Dalam masa yang sama, Kim Swee berharap pasukannya mendapat pendedahan yang lebih sebelum menghadapi kempen kelayakan tersebut.
Tambahnya, dengan berbekalkan perlawanan persahabatan Gred A, skuad negara dijangka mampu melakukan persiapan lebih baik.
"Saya berharap kami dapat mengisi beberapa perlawanan persahabatan Gred A apabila Liga Singapura (Liga-S) berhenti pada 13 Mei depan," ujarnya.
Mengenai barisan pemain, Kim Swee berkata, 22 daripada 28 pemain dalam skuad Harimau Muda A masih boleh bermain pada kejohanan itu nanti berdasarkan usia masing-masing.
Skuad Harimau Muda akan memulakan aksi kelayakan tersebut dengan menentang Korea Selatan pada 23 Jun sebelum menentang Filipina dua hari kemudian.
Kedua-dua perlawanan itu dijangka berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Kejohanan sulung Piala AFC Bawah 22 tahun 2013 melibatkan 41 negara yang diundi dalam tujuh kumpulan.
Format pertandingan dijalankan secara liga dan dua pasukan dari setiap kumpulan yang mengumpul mata tertinggi akan melayakkan diri ke pusingan akhir yang akan bermula tahun depan.

sumber : Kosmo Online

No comments:

Post a Comment