KOTA BHARU - Pengendali The Red Warriors, Peter Butler menjadi jurulatih pertama yang menerima nasib malang dalam kancah Liga Malaysia musim ini apabila direhatkan oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) berkuat kuasa serta-merta, semalam.
Tindakan drastik itu diambil setelah Butler sebelum ini dilihat lantang mengeluarkan kenyataan tidak berpuas hati kepada pihak media mengenai campur tangan pihak pengurusan terutamanya dalam menentukan kedudukan pemain import Kelantan sebelum ini.
Setiausaha Agungnya, Azman Ibrahim berkata, keputusan merehatkan Butler diputuskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Kafa yang bermesyuarat pada 18 Februari lalu, namun baru di kuat kuasa semalam memandangkan pihaknya tidak mahu pasukan hilang fokus ketika saingan pusingan pertama Piala FA menentang Sarawak, minggu lalu.
“Kita tidak menggantung Butler tetapi hanya merehatkan sahaja sehingga dia tampil memberikan penjelasan mengenai ketidakpuashatiannya mengenai pelbagai perkara berbangkit terhadap pihak pengurusan sebelum ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.
Pada masa sama katanya, Kafa beranggapan Butler tidak boleh melatih pasukan selagi jurulatih itu sedang menghadapi masalah ini.
Namun, pihak pengurusan memberi peluang kepada Butler untuk tampil memberi penjelasan dan Kafa katanya sedia berbincang secara terperinci
mengenai masalah dihadapi jurulatih itu.
“Butler masih Ketua Jurulatih Kelantan dan kita tidak menetapkan tempoh masa tertentu mengenai keputusan merehatkannya. Tugas melatih
pasukan kini diuruskan kepada dua penolongnya, Zahasmi Ismail dan Sideek Samsuddin,” katanya.
Menurut Azman, soal mencari pengganti Butler tidak timbul sama sekali memandangkan pihaknya tidak pernah berbincang mengenai perkara
tersebut dalam mesyuarat jawatankuasa pengurusan baru-baru ini.
“Pemain Kelantan kembali menjalani latihan bermula hari ini (semalam) dan ia tetap berjalan seperti biasa meskipun tanpa kelibat Butler di atas padang,” katanya.
Sumber : Sinar Harian
No comments:
Post a Comment