GAYA hidup mewah pemain bola sepak bakal menjadi perhatian pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam usaha menjejaki dan membendung gejala mengatur perlawanan yang dikatakan kembali cuba ‘mengotori’ arena bola sepak tempatan.
Menurut Ketua Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan (gambar), gerak-geri pemain bola sepak sentiasa dipantau pihak polis di setiap negeri yang kini bekerjasama rapat dengan semua persatuan bola sepak negeri (FA) sejak tahun lalu.
“Kami akan memantau gaya hidup pemain dan akan merujuk kepada FA untuk memberikan maklumat mengenai pemain kerana mereka lebih mengenali seseorang pemain itu. Jika ada yang mengamalkan gaya hidup mewah, tak setimpal dengan gaji, kami akan menyiasat bersama SPRM.
“Semua aspek akan diambil kira, mungkin ada pemain yang hidup mewah kerana berasal dari keluarga yang kaya tapi jika ada maklumat kami akan tetap menyiasat,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.
Skandal rasuah kembali mencuri tumpuan di awal kempen Liga Malaysia musim ini berikutan dakwaan pengurusan Perlis FA mengenai kehadiran bookie yang cuba menawarkan ganjaran hingga RM100,000 kepada pemain bagi mengatur perlawanan Liga Perdana.
Malah Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah kelmarin mengaku wujudnya gerakan menghidupkan semula sindiket mengatur perlawanan dan bersedia memerangi masalah itu dengan pendekatan 3E, Pendidikan (Education), Pembabitan (Engagement) dan Enforcement (Penguatkuasaan).
sumber : metro
No comments:
Post a Comment