Nuffnang Ads

Tuesday, May 28, 2013

Idam ke final jumpa Johor DT : Abe Wa




Kelantan memasang impian untuk bertemu pasukan berstatus bintang dari selatan tanah air, Johor Darul Takzim pada akhir Piala FA musim ini.

Hasrat itu diluahkan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa selepas The Red Warriors mempamerkan kebangkitan yang menakjubkan menumbangkan Terengganu 4-1 pada separuh akhir pertama di Stadium Sultan Muhammad IV, kelmarin.

Annuar berkata, pada aksi Liga Super minggu lalu, pasukannya tidak berkesempatan mempertaruhkan barisan terbaik, yang menyaksikan mereka tumbang 0-2 kepada Johor DT.

Menurut beliau, sekiranya Kelantan layak ke final, beliau mahu The Red Warriors mempertaruhkan barisan terkuat.
"Kita harap dapat bertemu Johor DT di pentas akhir kerana kita tidak berpuas hati dengan keputusan baru-baru ini disebabkan kita beraksi tanpa skuad utama.

"Jadi kita nak main dengan skuad penuh dan mahu uji kekuatan dengan Johor, di gelanggang berkecuali," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau mengingatkan pemainnya supaya tidak berada di zon selesa meskipun berkelebihan tiga jaringan sebelum bertandang ke gelanggang lawan esok.

"Perlawanan masih berbaki 90 minit dan kita tidak boleh mengambil mudah kemampuan Terengganu. Pemain perlu meneruskan rentak konsisten pada perlawanan itu nanti," ujarnya.



Annuar juga memuji barisan pemain yang bangkit pada sepuluh minit terakhir yang mengubah keputusan perlawanan.

Annuar yang sebelum ini mengkritik keras percaturan taktikal Bojan Hodak yang merehatkan beberapa pemain tonggak ketika tumbang kepada Johor DT sebelum ini bersetuju dengan pendekatan jurulatih berkenaan pada perlawanan dengan Terengganu semalam.

"Malam ini kita setujulah (dengan percaturan Bojan) yang meletakkan pemain-pemain utama. Yang saya tidak setuju ialah dia simpan pemain dulu. 

Tetapi lepas mendapat penjelasan darinya, kita terima pendekatan yang digunakan," jelasnya.

Akhbar sebelum ini melaporkan Annuar mengecam tindakan jurulatih kelahiran Croatia itu di laman sosial Facebook miliknya selepas perlawanan dengan Johor DT.

Bagaimanapun, Hodak mempertahankan tindakannya tidak memasukkan beberapa pemain utama dengan alasan mahu memastikan pemain terbabit mendapat rehat yang secukupnya bagi menghadapi perlawanan separuh akhir piala FA.

Annuar berkata, teguran yang beliau di dalam Facebook bertujuan untuk 'menyedarkan' pemain supaya bangkit, selain turut membayangkan mereka bakal menikmati 'durian runtuh' jika berjaya melangkah ke final Piala FA.