Bojan Hodak
KOTA BAHARU - Ketua jurulatih Kelantan, Bojan Hodak kurang berpuas hati dengan persembahan anak buahnya ketika bertemu Kuala Lumpur dalam saingan Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, malam tadi.
Jurulatih dari Croatia itu berkata walaupun menang 3-2, aksi yang ditunjukkan pemain Kelantan gagal memikat hatinya berikutan pertahanan yang  lemah disebabkan kurang konsentrasi.
 
"Kita melalui minggu yang sukar apabila terpaksa menghadapi tiga perlawanan dalam masa enam hari dan kamu boleh lihat pemain sedikit letih. Saya gembira kita tetap menang.
 
"Bagaimanapun, saya tidak gembira dengan pertahanan malam ini kerana ada beberapa situasi mereka perlu bertindak lebih baik. Sepatutnya kita menang 3-1 malam ini, tapi pada minit terakhir ia menjadi 3-2 disebabkan kurang konsentrasi, dan kita perlu perbaikinya," katanya ketika ditemui selepas perlawanan tersebut.
 
Gol Kelantan dijaringkan Norfarhan Mohamad (minit ke-30), Indra Putra Mahyuddin (min 43) dan ketua pasukan, Mohd Badri Radzi (min 65). Jaringan Kuala Lumpur pula dihasilkan Muhd Afiq Azmi (min 39) dan Fazuan Abdullah pada minit akhir perlawanan.
 
Ketua jurulatih Kuala Lumpur, Mohamed Razip Ismail berkata barisan pemainnya memberi tentangan hebat dalam perlawanan itu namun masih buntu untuk menjaringkan gol walaupun berjaya menembusi pertahanan Kelantan.
 
Menurutnya, mereka memberi banyak peluang kepada penyerang Kelantan untuk menjaringkan gol. - Bernama

sumber : Sinar Harian