KOTA BHARU – Naib juara Piala FA musim lalu, Kelantan mara ke peringkat separuh akhir meski pun hanya mampu mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas KL SPA FC dalam aksi perlawanan suku akhir kedua yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.
Kemenangan malam tadi menyaksikan The Red Warriors layak menerusi agregat 5-0 dan akan bertemu Kedah yang turut mara setelah menewaskan T-Team 2-1 dalam satu lagi perlawanan suku akhir yang dilangsungkan serentak malam tadi.
Keghairahan Kelantan untuk memburu gol hadir seawal minit pertama perlawanan menerusi rembatan kaki kiri Mohd Nurul Azwan Roya namun diselamatkan penjaga gol KL SPA FC, Mohd Nuraizat Abdul Aziz.
Lapan minit berselang, Mohd Norfarhan Muhammad mempunyai peluang terbaik untuk meletakkan Kelantan di depan namun gagal apabila tampanannya berpunca hantaran lintang Onyekachi Nwoha tinggi meski pun pintu gol sudah pun ternganga.
Penjaga gawang KL SPA FC, Mohd Nuraizat sekali lagi dipaksa bekerja keras di pintu golnya apabila menyelamatkan rembatan deras Zairul Fitree Ishak hasil sepakan percuma pendek yang dilakukan oleh Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-14 perlawanan.
Begitu pun, KL SPA FC hampir mengejutkan tuan rumah dua minit kemudian apabila pemain sayapnya, Mohd Syafiq Azwad Zulkiflie bijak memperdayakan pemain pertahanan, Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim namun rembatannya sempat ditepis keluar Mohd Shahrizan Ismail.
Seminit kemudian, sorakan hampir 15,000 penyokong setia The Red Warriors bergema apabila Mohd Norfarhan menjaringkan gol pertama untuk Kelantan dalam perlawanan malam tadi.
Segalanya berpunca apabila rembatan kencang Nwoha dari penjuru sebelah kanan padang terkena tiang gol KL SPA FC sebelum Mohd Norfarhan yang tidak dikawal mudah menolak masuk untuk menewaskan Mohd Nuraizat.
Ternyata gol tersebut kembali menyemarakkan semangat anak buah Bojan Hodak untuk terus menambah jaringan memaksa barisan pertahanan pasukan pelawat yang diketuai Ketua Pasukannya, Sazali Suwandi bekerja lebih keras sepanjang babak pertama perlawanan malam tadi.
Usaha berterusan Kelantan untuk menambah jaringan terhasil pada minit ke-23 perlawanan namun rembatan leret Mohd Nurul Azwan Roya terlalu lemah sementara percubaan S Chanturu seminit kemudian setelah memperdayakan dua pemain pertahanan KL SPA FC terus ke dakapan Mohd Nuraizat.
Pemain yang terkenal dengan jolokan ‘Kelantan Ekspres’, Chanturu gagal menterjemahkan percubaannya dalam bentuk jaringan apabila rembatannya hasil situasi kelam-kabut di depan pintu pasukan pelawat tersasar pada minit ke-40 perlawanan. Dua minit sebelum babak pertama berakhir, pasukan KL SPA FC kembali menghidupkan cabaran kepada Kelantan menerusi percubaan Mohd Syafiq Azwad di dalam kotak penalti memaksa Mohd Shahrizan menepis keluar bagi menyelamatkan pintu golnya.
Permulaan babak kedua menyaksikan pengendali KL SPA FC, Nidzam Jamil masih lagi terus memberikan kepercayaan kepada kesebelasan pemain yang sama bagi memberi saingan kepada Kelantan.
Tidak banyak gerakan menarik dicetuskan oleh barisan penyerang pasukan lawan sebaliknya The Red Warriors tampil lebih bersemangat menerusi rembatan Nik Mohd Shahrul Azim pada minit ke-61 sementara gerakan solo Mohd Nurul Azwan lima minit kemudian mudah dipatahkan oleh Mohd Nuraizat.
Tindakan Ketua Pasukannya, Sazali mengasari Nwoha di dalam kotak penalti mengundang padah apabila pengadil tidak teragak-agak memberikan sepakan penalti kepada Kelantan pada minit ke-67 perlawanan.
Namun Nwoha yang diberi tugas menyempurnakan sepakan tersebut gagal menghadiahkan gol kedua untuk Kelantan apabila rembatannya terkena tiang gol kiri psaukan KL SPA FC.
Empat minit kemudian, Nwoha yang kemarau jaringan sejak lima perlawanan lalu menebuskan kekecewaannya apabila meledakkan gol kedua untuk Kelantan. Berpunca hantaran pendek Mohd Norfarhan di dalam kotak penalti, pemain import kelahiran Nigeria itu merembat kencang ke penjuru sebelah kanan pintu gol KL SPA FC untuk gol kedua Kelantan.
Ketinggalan dua gol tidak mematahkan semangat pemain KL SPA FC apabila turut mempunyai peluang pada minit ke-84 perlawanan untuk merapatkan jurang menerusi percubaan pemain gantian, Khairol Azry Abdul Rahman namun ditepis Mohd Shahrizan manakala rembatan susulan Mohd Faizul Abdullah yang tinggi melewati pintu gol Kelantan mengakhiri perjuangan pasukan tersebut dalam kempen Piala FA musim ini.
Sumber : Sinar Harian
No comments:
Post a Comment