KAPTEN Kelantan, Md Badhri Md Radzi (kiri) cuba melepasi halangan pemain Perak pada saingan Liga Super di Stadium Perak, malam tadi.
Masih 3 mata di depan Terengganu, Lions XII
KELANTAN kekal selaku pendahulu Liga Super selepas menewaskan Perak 2-0 di Stadium Perak, Ipoh manakala Terengganu kembali ke tangga kedua, mengekori rapat hasil kemenangan 6-3 di gelanggang sendiri ke atas Sabah, malam tadi.
The Red Warriors kendalian Bojan Hodak yang hanya dibezakan tiga mata dengan Terengganu dan Lions XII, meledak dua gol pada babak pertama menerusi Daudsu Jamaluddin (m-12) dan Zairul Fitree Ishak (m-29) untuk memastikan kelebihan tiga mata di persada liga dikekalkan.
Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu memintas Lions XII dengan kelebihan jaringan selepas bersaing sengit dengan Sabah yang bangkit daripada ketinggalan empat gol pada babak pertama untuk merapatkan jurang kepada 4-3.
Ashari Shamsudin membuka jaringan Penyu pada minit keempat, disusuli dua gol Francis Forkey (m-11 dan 13) tetapi Sabah tidak patah semangat dan mendapat gol pertama menerusi Zainizam Marjan (m-33).
Abdul Manaf Mamat menanduk masuk gol keempat Terengganu (m-42) tetapi pelawat pantas merapatkan jurang sebelum rehat menerusi Brendan Gan. Pada babak kedua, Terengganu menambah dua lagi gol manakala sekadar mampu meledak satu.
Di Stadium Negeri, Kuching, harapan skuad Ngap Sayot mengutip mata selepas beraksi cemerlang mengekang asakan Lions XII, tidak kesampaian apabila penalti minit ke-72 mudah disempurnakan kapten pelawat, Shahril Ishak.
Di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selangor kembali ke landasan kemenangan selepas menewaskan Kuala Lumpur 3-0 tetapi anak buah Irfan Bakti Abu Salim terpaksa menunggu hingga minit ke-56 sebelum Bosko Balaban memecah kebuntuan dan P Gunalan (m-60) serta Amirulhadi Zainal melengkapkan kemenangan.
Di Stadium Pasir Gudang, T-Team turut mengorak langkah kanan apabila menang tipis 2-1 ke atas Johor FC sekalipun tuan rumah hanya memerlukan 33 saat untuk membuka tirai jaringan menerusi Arthuro Henrique.
Pelawat menyamakan kedudukan menerusi gol Mohd Faiz Subri (m-17) sebelum Khairul Izwan Khalid dan Azrul Hazran Amiluddin memastikan tiga mata dibawa pulang.
Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan terus memanjat tangga liga dengan kemenangan 2-1 ke atas Kedah, hasil jaringan Effa Owona dan S Kunanlan pada minit ke-24 dan 42 manakala Baddrol Bakhtiar (m-60) memberikan gol sagu hati Kenari.
Sumber : Berita Harian
No comments:
Post a Comment