Harimau Malaya boleh melakukan lebih baik walaupun persembahan ketika mengikat Thailand 1-1 pada separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin dianggap yang terbaik oleh pengendalinya, Datuk K Rajagobal.
Ia kerana aksi terbaik itu bukan datang dari skuad utama Rajagobal apabila lima pemain tonggaknya terpaksa diketepikan akibat kecederaan.
Kini misi ke final terletak pada pertemuan timbal balik Khamis ini di Stadium Supachalasai, Bangkok, yang mana Rajagobal merasakan pilihannya lebih luas berbanding perlawanan pertama di Kuala Lumpur, kelmarin.
Jurulatih berusia 56 tahun itu kini mempunyai senjata sulit yang masih dirahsiakan bagi membenam Gajah Perang sekali gus mara ke akhir.
“Hanya Shakir (Shaari) dan Wan Zack (Haikal Wan Nor) masih cedera dan kemungkinan besar tidak dapat diturunkan. Khyrill (Muhymeen Zambri) masih dalam penilaian, manakala Safee (Sali) dan (S) Kunanlan belum pulih sepenuhnya walaupun diturunkan bertemu Thailand.
“Saya perlu melihat keadaan pemain lain juga yang mengalami kecederaan ringan selepas berjuang habis-habisan malam tadi (kelmarin), kemudian baru saya akan fikirkan apa strategi untuk perlawanan kedua nanti,” katanya semalam.
Walaupun kehilangan dua tonggak penting - Shakir dan Wan Zack - yang menjadi pencetus kepada kebangkitan Harimau Malaya selepas tewas 3-0 kepada Singapura pada perlawanan pertama - tidak bermakna skuad negara kehilangan taringnya.
No comments:
Post a Comment