Nuffnang Ads

Saturday, December 15, 2012

Alasan King of gobal


Jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal memberi alasan kegagalan Malaysia dalam Piala Suzuki AFF disebabkan persiapan skuad kebangsaan terganggu sebaik sahaja memasuki saingan separuh akhir kedua di Bangkok.


Menurutnya, selepas bermain dengan baik pada separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, persiapan pasukan untuk separuh akhir kedua dibebani masalah kecederaan dan keracunan makanan yang menimpa pemain.

"Sebagai jurulatih saya tidak jangka dengan kekalahan ini, memang saya beritahu ada keyakinan terhadap pemain sambil mengharapkan mereka melakukan sesuatu selepas memberikan persembahan terbaik pada separuh akhir pertama, namun kita kena terima hakikat inilah bola sepak," katanya ketika tiba di Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT), semalam.

Skuad kebangsaan dihimpit masalah kecederaan yang melibatkan beberapa pemain tonggak sebelum separuh akhir seperti S. Kunanlan, Safee Sali, Wan Zack Haikal Wan Nor, Shakir Shaari dan Khyril Muhymeen Zambri.

"Pagi semalam sebelum perlawanan Gary Steven Robbat mengalami keracunan makanan selepas muntah berulang kali. Saya terpaksa membuat pertukaran, saya bukan hendak memberi alasan tetapi ketiadaan pemain tonggak ternyata memberi kesan.

"Sebelum ini kita tidak dapat menurunkan Kunanlan dan Safee, selepas itu Shakir dan Wan Zack pula. Itu yang menyebabkan saya terpaksa melakukan beberapa pertukaran termasuk meletakan Baddrol Bakhtiar dalam kesebelasan utama," katanya.

Bagaimanapun, Rajagobal tetap memuji pemain kerana memberikan komitmen yang bagus, tatkala jaringan gol Thailand pula bukanlah disebabkan mereka mempamerkan permainan terpuji sebaliknya berlaku di atas kesilapan pemainnya sendiri kerana faktor padang yang tidak memuaskan.

"Gol pertama sentuhan bola yang dilakukan Amar Rohidan tidak seimbang kerana faktor padang, gol kedua pula atas kesilapan kita sendiri namun semua senario bertukar selepas pengadil perlawanan Lee Minhu, melayangkan kad merah kepada Fadhli Shas.

"Saya tengok balik video ternyata dia (Fadhli) tidak bersalah, pengadil tidak ada dekat situ dan tidak nampak apa yang berlaku. Ketika pemain Thailand mengasari Norshahrul Idlan Talaha, dia tidak pula melayangkan kad kuning, sedangkan kita pada awal saingan sudah menerima tiga kad kuning," katanya.

Rajagobal berkata, keputusan pengadil melayangkan kad merah kepada Fadhli memang pelik dan bukan mudah bermain dengan 10 pemain apabila menentang Thailand.

Katanya, insiden itu menukar rentak permainan Malaysia.

"Jika tidak berlaku mungkin kita sudah mara ke final. Tetapi apa yang positif pemain memberikan komitmen yang baik, peminat Thailand juga mengakui Malaysia bermain dengan baik kecuali mutu pengadilan.

"Kami kecewa dan sedih tidak layak ke akhir tetapi perlu kekal positif, terima kasih kepada penyokong yang sentiasa bersama dan berdoa untuk kami," katanya.

Tambahnya, perancangan selepas ini ialah kelayakan Piala Asia 2015 Februari ini di Qatar.


"Saya akan fikir kembali tentang pemain yang akan dipanggil, mungkin ada pertukaran dan kita tengok posisi mana yang perlu dirombak semula," katanya.

No comments:

Post a Comment