Harimau Malaya berdepan tugas berat pada separuh akhir kedua Piala Suzuki AFF 2012 di Stadium Supachalasai, Bangkok Khamis ini apabila membenarkan Thailand bangkit untuk seri 1-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.
Jaringan Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-48 belum cukup buat Malaysia muncul sebagai pemenang apabila penyerang sensasi Thailand, Teerasil Dangda memadamkan kelebihan yang dimiliki skuad Datuk K. Rajagobal pada minit ke-79.
Dengan satu jaringan yang dicuri oleh Thailand di sini, semalam, Harimau Malaya perlu menang atau sekurang-kurangnya seri dengan keputusan melebihi dua gol di Bangkok.
Harimau Malaya seharusnya menyalahkan diri sendiri kerana permainan yang dipamerkan semalam sebenarnya menunjukkan kita mampu menjinakkan Thailand.
Namun penyudah tumpul sekali lagi menyebabkan beberapa peluang gol terbaik terlepas begitu sahaja selain kecekapan penjaga gol Thailand, Kawin Thamsatchanan.
Seperti yang dijanjikan, Rajagobal melakukan rombakan dengan formasi 4-5-1 dengan Norshahrul selaku penyerang tunggal.
Penyokong hampir berpesta apabila menyangka Azamuddin Akil mampu memanfaatkan hantaran silang Bunyamin Umar pada minit ke-19, namun pemain Pahang itu ofsaid.
Penjaga gol Thailand. Kawin Thamsatchanan bertungkus lumus apabila beberapa kali terpaksa menyelamatkan percubaan berbahaya Malaysia khususnya sepakan percuma ketua pasukan, Safiq Rahim.
Gol yang dinanti-nantikan akhirnya menjelma, bermula dengan hantaran lintang Mahalli Jasuli pada minit ke-48 dan ditanduk dengan penuh bergaya oleh Norshahrul, yang merupakan gol peribadi pertama dalam Piala Suzuki AFF 2012.
Namun perubahan oleh Rajagobal pada minit ke-73 dengan membawa masuk S. Kunanlan dan Safee Sali membawa padah apabila Malaysia kehilangan cengkaman pada bahagian tengah untuk Thailand mengambil kesempatan.
Berpunca daripada satu hantaran silang, Teerasil melonjak tinggi menyambut hantaran itu untuk mendiamkan penyokong Harimau Malaya.
Perlawanan kecoh seketika apabila jurulatih Thailand, Winfried Schafer yang sering membantah keputusan pengadil dari Iran, Torki Mohsen Ramezanali diarah meninggalkan tempat duduk pemain pada minit ke-81.
No comments:
Post a Comment