Juara trebel musim ini, Kelantan akan menguji dua bintang import baharu mereka, Dimitrios Pertratos dan Lek Kcira selain memastikan pemain-pemain lain berada pada tahap terbaik bagi mengharungi saingan liga musim depan dengan mengadakan perlawanan pramusim menentang Kedah di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam ini.
Penolong jurulatih, Kamaruddin Muhammad berkata, kedua-dua pemain tersebut tetap berada dalam perancangan untuk diturunkan sama ada dalam kesebelasan utama ataupun sebagai pemain gantian pada perlawanan itu kelak.
Menurutnya, selain dua pemain tersebut, seorang lagi bintang import mereka, Keita Mandjou turut diberi peluang untuk mempamerkan aksi bagi memikat pihak pengurusan, sekali gus merebut tempat untuk didaftarkan sebagai pemain import yang beraksi pada Liga Super.
"Ketua jurulatih, Bojan Hodak akan kembali ke Kota Bharu malam ini (malam tadi). Pemain mana yang disenaraikan untuk menentang Kedah akan ditentukan oleh beliau.
"Perlawanan pemanas badan seperti ini amat penting bagi membolehkan kami menilai prestasi semua pemain kerana kita terlibat dalam dua kejohanan besar (Liga Malaysia dan Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia) musim depan.
"Jadi, inilah peluang buat Hodak memikirkan siapa (pemain import) yang layak beraksi untuk Kelantan dalam dua pertandingan itu. Selepas ini kita akan terbang ke Acheh pula bagi menghadapi Kejohanan Piala Gabenor di sana bermula 14 hingga 22 Disember ini," katanya.
Kamaruddin menyifatkan Pertratos dan Kcira mudah menyesuaikan diri dengan corak latihan yang diterapkan oleh skuad Kelantan.
"Pertratos pula kagum apabila melihat stadium kita dibanjiri lebih 20,000 penyokong meski pun pertemuan Kelantan dengan Perlis baru-baru ini merupakan satu perlawanan persahabatan biasa dan dia perlu menyesuaikan diri dalam suasana stadium seperti itu," ujarnya.
No comments:
Post a Comment