Nuffnang Ads

Tuesday, October 23, 2012

Nasib Bojan: 'Biar Kafa tentukan'



 Bojan Hodak

Bojan Hodak
BIARPUN cemerlang membawa Kelantan menjulang tiga trofi kejuaraan musim ini, namun masa depan pengendalinya Bojan Hodak masih jadi tanda tanya.

Di bawah bimbingan Bojan, The Red Warriors muncul pasukan paling berbahaya sepanjang kempen Liga Malaysia. Ini terbukti dengan kejayaan mereka merangkul Piala FA, Liga Super dan terkini Piala Malaysia 2012.

Bojan turut membawa skuad Kijang melangkah ke suku akhir saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Namun, sama ada khidmat beliau bersama pasukan itu diteruskan atau tidak bagi musim depan, masih belum diputuskan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).



“Saya tidak tahu, kita tunggu dan lihat apa juga keputusan Kafa kerana perkara ini masih dalam perbincangan pihak pengurusan,” katanya selepas perlawanan final Piala Malaysia, kelmarin.

Bagaimanapun, sekiranya Bojan terus diberi kepercayaan membimbing gergasi Pantai Timur itu musim depan, sudah pasti banyak perancangan yang mahu dilakukan jurulatih dari Croatia itu.

“Akan ada beberapa perubahan tetapi ia tidaklah secara besar-besaran kerana perubahan ketara hanya mendatangkan banyak masalah lain kepada pasukan.

“Kita mempunyai ramai pemain terbaik dan sebahagiannya mengikat kontrak sehingga dua tahun dan hanya beberapa pemain yang akan tamat kontrak bersama Kelantan.

“Mungkin kita akan ambil satu atau dua orang pemain baru,” katanya setakat ini tiada pemain Kelantan meninggalkan pasukan itu.

Sementara itu, mengulas mengenai perlawanan akhir menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Bojan akui beliau tidak pernah berpuas hati dengan setiap taktikal digunakan setiap kali beraksi.

“Namun saya sentiasa yakin dengan kemampuan pemain dan hasilnya, kami menang Piala Malaysia,” katanya.

Sunday, October 21, 2012

Hodak mahu TRW kekal momentum, Sathia yakin ATM muncul pasukan disegani


JURULATIH Kelantan Bojan Hodak menyatakan rasa gembiranya selepas anak didiknya berjaya melengkapkan kejuaraan trebel pada saingan Liga Malaysia musim ini.



Beliau berkata, kejayaan pasukan tersebut itu berdasarkan faktor kecekapan pengurusan Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) selain semangat berpasukan yang tinggi di kalangan pemain skuad The Red Warriors.

"Saya gembira kerana kita telah berjaya memenangi tiga piala dan saya berharap momentum tersebut dapat diteruskan pada musim depan," katanya selepas final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Kelantan, yang sudah memiliki gelaran juara Liga Super dan Piala FA, melengkapkan kejuaraan treble apabila menjulang Piala Malaysia buat kali kedua selepas 2010 dengan mengetepikan ATM 3-2 selepas masa tambahan.

Mengulas mengenai perlawanan itu, Hodak berpuashati dengan persembahan anak buahnya walaupun terpaksa bertarung sehingga ke masa tambahan.

'Saya gembira kerana bahagian pertahanan berjaya menyekat kemaraan jentera serangan pasukan ATM pada separuh masa kedua.

"Walaupun ATM berjaya menyamakan kedudukan pada akhir babak kedua, saya menasihatkan pemain saya supaya tidak mudah mengalah dan hasilnya, pasukan kita (Kelantan) berjaya memenangi perlawanan ini," katanya.

Sementara itu, jurulatih ATM, B. Sathianathan berkata kegagalan pasukan itu untuk menjulang Piala Malaysia buat pertama kali adalah disebabkan oleh nasib yang tidak menyebelahi mereka.



"Saya bangga dengan aksi yang ditunjukkan oleh para pemain saya walaupun terpaksa menghadapi pasukan yang dibarisi oleh ramai pemain berpengalaman seperti Indra Putra Mahayuddin dan Norshahrul Idlan Talaha," katanya.

Jurulatih berusia 54 tahun itu berkata, kegagalan pasukan bimbingannya tidak akan mematahkan semangat beliau untuk terus membawa skuad yang digelar 'The Gladiators' menjadi pasukan yang lebih disegani pada musim depan.

ATM muncul juara Liga Perdana musim ini dan akan bersaing dalam Liga Super musim depan.

Kejayaan bersejarah dan manis yang tidak akan dilupakan : Azman Ibrahim


"KEJAYAAN yang akan diingati sampai bila-bila." itulah kata-kata pengurus Kelantan, Azman Ibrahim selepas pasukan bimbingan Bojan Hodak berjaya meraih kejuaraan treble musim ini setelah menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), 3-2 dalam aksi final Piala Malaysia 2012 di Stadium Shah Alam, malam tadi.



Jelasnya, pencapaian yang dilakukan oleh semua pemain amat membanggakan seluruh rakyat Kelantan.

"Saya sangat bangga melihat komitmen yang ditunjukkan oleh semua pemain.

"Mereka berjuang berhabis-habisan meskipun keadaan padang sedikit lecak.

"Namun, pemain tetap berusaha untuk mencatat kemenangan dan akhirnya kami dinobatkan juara," kata Azman.



Dalam pada itu, Azman turut menyifatkan perlawanan menentang ATM adalah satu pertemuan penuh dramatik.

"Satu perlawanan yang hebat. Kedua-dua pasukan mempamerkan aksi bertenaga meskipun telah beraksi 120 minit perlawanan.

"Saya ucapkan terima kasih kepada pemain dan saya amat menghargai semangat dan usaha mereka," katanya yang gembira dengan semangat juang dijelmakan oleh barisan pemain Bojan sebaik sahaja wisel permulaan dibunyikan.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai jaringan gol yang dijelmakan oleh Indra Putra untuk memberi kemenangan buat pasukan Kelantan, Azman bagaimanapun menyifatkan itu satu jaringan yang menakjubkan.



"Sangat menakjubkan. Indra beraksi dengan cemerlang. Jaringan gol Indra bukan sahaja hadiah buat kami, tetapi juga buat isterinya.

"Semalam adalah hari jadi isterinya, jadi ini bermakna buat Indra dan juga isterinya," jelasnya lagi.

Mengulas mengenai habuan yang akan diterima oleh anak buah Bojan selain tanah, Azman bagaimanapun menyerahkan urusan itu kepada mana-mana pihak sekiranya sudi memberikan imbuhan.

"Sekiranya mereka merasakan The Red Warriors patut diberi imbuhan, kami akan menerima dengan hati terbuka.

"Tapi, buat masa sekarang hanya tanah antara imbuhan untuk pemain, yang lain masih belum ada," jelas beliau lagi.



Kejayaan hasil usaha bersama : Mat Yo



 Norsharul Idlan Talaha

Norsharul Idlan Talaha
PEMAIN terbaik Piala Malaysia, Norsharul Idlan Talaha menyifatkan kejayaannya menjaringkan dua gol dalam aksi menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memberi keyakinan menjelang perlawanan Piala AFC Suzuki, November ini.
Jelasnya, beberapa penyudah di bahagian hadapan yang sebelum ini sedikit tumpul akhirnya berhasil namun ia juga adalah kerjasama dari rakan sepasukan.
“Kejayaan meledak dua gol tidak hanya datang dari saya, tetapi ia hasil usaha berterusan rakan sepasukan yang memberi sokongan setiap masa.

“Dua gol ini nyata memberi semangat dan keyakinan dalam menghadapi Piala AFC Suzuki,” katanya.

Norshahrul yang dikenali Mat Yo di kalangan peminat Kelantan turut memuji persembahan bertenaga dari ATM bermula wisel perlawanan ditiupkan pengadil.

“ATM satu pasukan yang hebat, mereka memberikan saingan di setiap ruang namun kita berjaya memperolehi kemenangan pada malam ini.



“Beraksi dalam pentas final seumpama ini memanglah mendebarkan, namun semangat berpasukan yang ditunjukkan dan fokus selepas mendahului ATM buat kali ketiga ternyata membuahkan hasil,” katanya.

Dua gol jaringan Mat Yo di setiap babak perlawanan minit 44 dan 50 membantu Kelantan mengesahkan juara Treble buat kali pertama.

Kelantan cipta sejarah, Annuar sujud syukur di Makkah



Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa yang kini berada di Makkah untuk menunaikan ibadah haji melahirkan kesyukuran tidak terhingga atas kejayaan pasukan The Red Warriors yang mencipta sejarah - kejuaraan 'treble' dengan menewaskan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-2 malam tadi.


"Alhamdulillah... Ku sujud syukur di Masjidil Haram malam ini atas doa yang dimakbul ALLAH SWT! Alllahhuakbar!! Tahniah Bojan dan seluruh TRW (The Red Warriors).

"Terima kasih pada penyokong dan set (kawan-kawan) kita yang setia bersama.. Tiga piala disembah pada (Sultan Kelantan) Duli Yang Maha Mulia Alsultan Muhamad V dan seluruh rakyat Kelantan serta penyokong setia TRW. Saya ucapkan terima kasih pada semua!! Dari Makkarratul Mukkarramah," tulis beliau menerusi laman sosial Facebook.



Minggu lalu beliau mengumumkan hadiah sebidang tanah jika Kelantan menang Piala Malaysia 2012. Kemenangan itu menjadi kenyataan malam tadi.

Kemenangan semalam dilihat penganalisis dan pemerhati sebagai amat bermakna buat Annuar yang kini digantung oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selama dua tahun enam bulan.

Ekoran penggantungan itu, beliau dilarang sama sekali terbabit dalam aktiviti sukan bola sepak di negara ini sama ada di peringkat kebangsaan mahu pun di peringkat negeri.

Skuad Kijang menjadi perhatian dan menonjolkan prestasi pada tahap tertinggi setelah Kafa diterajui oleh Annuar pada 2007.

Mutu permainan gergasi Pantai Timur itu menyerlah apabila mencapai satu demi satu kejayaan termasuk buat pertama kalinya menjuarai Piala Malaysia pada 2010.

Tahun ini, The Red Warrriors melengkapkan misi treble setelah merangkul Piala Malaysia 2012 yang diadakan di Stadium Shah Alam, malam tadi. 
Pasukan kendalian Bojan Hodak itu sebelum ini meraih kemenangan dalam Liga Super dan Piala FA.

Piala Malaysia dibawa ke Kota Bharu petang ini



Piala Malaysia dibawa ke KB petang ini
Pengurus pasukan, Azman Ibrahim berkata, pemain, jurulatih dan pegawai The Red Warriors dijangka tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra  Kota Bharu kira-kira jam 5.30 petang.

Juara Piala Malaysia 2012, Kelantan dijangka pulang ke Kota Bharu petang ini dengan membawa trofi berprestij itu.
Pasukan Pantai Timur itu dijadual menaiki penerbangan jam 4.25 petang.
Kelantan muncul juara Piala Malaysia 2012 selepas menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-2, sekali gus mencipta rekod kejuaraan treble.
Kelantan pernah menang Piala Malaysia pada 2010 dan tewas tahun lalu.


Analisis Final Piala Malaysia 2012 | Jentera The Red Warriors kekal konsisten



KELANTAN melabuhkan musim cemerlang mereka dalam saingan Liga Malaysia dengan kejuaraan treble selepas menewaskan juara Liga Perdana 2012, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-2 pada aksi final di Stadium Shah Alam, malam tadi


Sebelum ini pasukan kendalian Bojan Hodak telah mengisi kabinet trofi gergasi Pantai Timur itu dengan kejuaraan Piala FA menewaskan Sime Darby 1-0 diikuti kejayaan mengekalkan kejuaraan Piala Liga Super di negeri Cik Siti Wan Kembang.



Penjaga Gol

ATM  (6), Kelantan (9)

Dua gol masing-masing jaringan pemain tengah ATM, Rezal Zambery Yahya dan pemain import Marlon Alex James nyata ujian sebenar kepada Khairul Fahmi Che Mat, namun pengalaman beraksi di peringkat domestik dan antarabangsa aset terbaik penjaga gol muda ini. Manakala Mohd Farizal Harun mengekalkan tahap konsisten apabila menghalang cubaan berbahaya  peledak The Red Warriors, namun melepaskan dua gol mudah jaringan Norshahrul Talaha sesuatu yang pastinya akan diingat penyokong The Gladiators.


Pertahanan

ATM (6), Kelantan (9)



TANPA kelibat S Subramaniam yang cedera kemudian digantikan Rizal Fahmi, benteng Kelantan dikemudi Obinna Nwaneri  tetap kukuh mengekang asakan diketuai Marlon, Hairuddin Omar dan Bruno Martelotto.

Manakala ATM jentera pertahanan gagal mengunci kelincahan Norshahrul dan Indra Putra Mahiyudin menyebabkan kedua-dua pemain ini bebas bergerak dalam kawasan pertahanan sehingga mengundang padah.


Tengah

ATM (6), Kelantan (9)



Tanpa Norfarhan, hasil percaturan taktikal The Red Warriors lebih berbisa menerusi beberapa percubaan berbahaya hasil gerakan  Indra Putra hingga mengancam kubu ATM.



Manakala jentera tengah ATM  dikemudi  Bruno kurang menyengat apabila dikunci pertahanan lawan sehingga menyukarkan mereka melakukan gerakan membantu jentera serangan menghasilkan jaringan.




Serangan

ATM (8), Kelantan (9)



Sememangnya malam final Piala Malaysia 2012 musim ini untuk Norshahrul apabila penyerang yang kurang menyengat kembali menyengat dengan dua gol tanpa kehadiran Ghaddar .



Manakala jentera penyudah ATM, gandingan Marlon dan Hairuddin lebih menyengat pada aksi final ini, namun kehebatan Khairul Fahmi memastikan benteng terakhir Kelantan hanya bolos dua gol malam kelmarin.






Nasir: Pencapaian luar biasa The Red Warriors



Mohd Nasir Hamzah

Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Mohd Nasir Hamzah
TIMBALAN Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Nasir Hamzah berkata, kejayaan Kelantan memenangi tiga gelaran utama dalam satu musim adalah satu pencapaian "luar biasa."



Tahun ini, The Red Warrriors melengkapkan misi treble setelah merangkul Piala Malaysia 2012 dengan menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-2 di Stadium Shah Alam, malam tadi. 

Pasukan kendalian Bojan Hodak itu sebelum ini meraih kemenangan dalam Liga Super dan Piala FA.

Jelasnya, pujian harus diberikan kepada semua pemain dan juga pihak pengurusan kerana bertungkus lumus mencipta sejarah dalam dunia bola sepak.

"Alhamdulillah... kemenangan ini menjadi kebanggaan rakyat Kelantan. Saya mengucapkan tahniah kepada pemain dan juga pihak pengurusan kerana berjaya mencipta sejarah.

"Kejayaan ini adalah hasil titik peluh semua, perjuangan mereka selama ini membuahkan hasil, sekali lagi saya mengucapkan tahniah dan syabas, saya betul-betul gembira dan berbangga," kata Nasir ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.

Pada masa sama, beliau yang juga Penolong Bendahari Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) turut melahirkan rasa tidak puas hati dengan kenyataan jurulatih ATM, B.Sathianathan dengan menyifatkan pasukannya lebih hebat berbanding Kelantan.



Ujarnya, kemenangan sesebuah pasukan bukan hanya bergantung pada stamina, tetapi jaringan gol yang menentukan juara.

"Saya tidak bersetuju apabila Sathianathan berkata pasukan Kelantan tiada stamina. Mereka lebih hebat.

"Tidak dinafikan dalam permainan, stamina itu amat penting, tapi dengan adanya stamina ia tidak menjamin kemenangan.

"Kalau ada stamina, tapi tidak sumbat gol tiada gunanya juga, jadi apa yang penting adalah menjaringkan gol, siapa yang sumbat gol, pasukan itu akan menang," jelas beliau.

Selain itu, selaku penaja The Red Warriors, Nasir menjelaskan bahawa Sinar Harian akan terus merangka pelbagai program lebih menarik bagi memberi sokongan kepada kemajuan bola sepak Kelantan khususnya.

"Insya-ALLAH,  kita akan buat lebih baik lagi, program-program yang lebih baik pada musim akan datang.

"Ini kerana, kami ingin menjadikan Kelantan sebuah pasukan yang hebat di mata dunia," katanya lagi.