Nuffnang Ads

Wednesday, February 15, 2012

Harimau Muda merendah diri



KIM SWEE (kanan) menuntut barisan pemainnya bersedia sepenuhnya bagi menghadapi kempen kelayakan Piala Asia Bawah 22 tahun bermula Jun depan.


"JANGAN terlalu yakin."Demikian respon ringkas Ong Kim Swee selepas skuad negara diundi dalam Kumpulan G bersama Korea Selatan, Vietnam, Myanmar, Taiwan dan Filipina pada kempen kelayakan Piala Asia Bawah 22 tahun.
Justeru, jurulatih Harimau Muda itu menuntut barisan pemainnya agar lebih bersedia dan tidak memandang rendah keupayaan mana-mana pasukan meskipun skuad negara dilihat berpeluang mara ke pusingan akhir Piala Asia 2013.
Bagi Kim Swee, beliau menganggap kesemua pasukan yang bertanding memiliki kekuatan tersendiri dan bersedia memberikan aksi terbaik.
Biarpun mengakui lega kerana tidak diundi bersama pasukan gergasi Asia - Jepun dan Australia, beliau tidak mahu barisan kendaliannya bermegah dengan reputasi selaku juara ASEAN.
"Selain Korea Selatan, kami perlu awasi ancaman dari Taiwan, Vietnam, Myanmar mahupun Filipina. Saya yakin pembangunan bola sepak pasukan-pasukan terbabit pasti meningkat.
"Kejayaan menjulang pingat emas Sukan SEA sudah berlalu. Bagi saya, kami perlu mencipta atau menjulang satu rekod baharu untuk negara.
"Saya khuatir sekiranya kami terlalu yakin, ia memakan diri sendiri. Jadi saya menuntut fokus dan persiapan pemain dengan lebih tinggi menjelang kempen kelayakan tersebut," katanya semalam.
Dalam masa yang sama, Kim Swee berharap pasukannya mendapat pendedahan yang lebih sebelum menghadapi kempen kelayakan tersebut.
Tambahnya, dengan berbekalkan perlawanan persahabatan Gred A, skuad negara dijangka mampu melakukan persiapan lebih baik.
"Saya berharap kami dapat mengisi beberapa perlawanan persahabatan Gred A apabila Liga Singapura (Liga-S) berhenti pada 13 Mei depan," ujarnya.
Mengenai barisan pemain, Kim Swee berkata, 22 daripada 28 pemain dalam skuad Harimau Muda A masih boleh bermain pada kejohanan itu nanti berdasarkan usia masing-masing.
Skuad Harimau Muda akan memulakan aksi kelayakan tersebut dengan menentang Korea Selatan pada 23 Jun sebelum menentang Filipina dua hari kemudian.
Kedua-dua perlawanan itu dijangka berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Kejohanan sulung Piala AFC Bawah 22 tahun 2013 melibatkan 41 negara yang diundi dalam tujuh kumpulan.
Format pertandingan dijalankan secara liga dan dua pasukan dari setiap kumpulan yang mengumpul mata tertinggi akan melayakkan diri ke pusingan akhir yang akan bermula tahun depan.

sumber : Kosmo Online

Rekod bersih The Red Warriror's akhirnya lebur


Pemain Selangor, Fitri Shazwan berjaya melepasi asakan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Wan dalam aksi Liga Super di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam. - UTUSAN


KUALA LUMPUR - Rekod tanpa kalah pendahulu Liga Super, Kelantan akhirnya lebur di tangan musuh ketat, Selangor dengan kekalahan 1-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.
Skuad Red Giants berjaya menurunkan penyerang import baru, Bosko Balaban setelah memperoleh sijil perpindahan antarabangsa (ITC) pada tengah hari semalam dan bekas penyerang antarabangsa Croatia itu ternyata berjaya menunjukkan impak kepada jentera serangan Selangor.
Selepas terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama, Selangor tidak perlu menunggu lama sebaik bermula babak kedua melalui sepakan kencang Safiq Rahim pada minit ke-46.
Ketika Kelantan sedang leka mengasak dalam usaha mencari gol penyamaan, tuan rumah menghukum kealpaan pertahanan Red Warriors dengan Balaban bijak melepasi perangkap ofsaid setelah menerima lambungan cantik dari Safiq sebelum melepaskan rembatan leret menewaskan Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-76.
Skuad bimbingan Peter Butler akhirnya mendapat gol saguhati pada minit ke-90 menerusi pertahanan, S. Subramaniam ketika situasi kelam kabut di depan pintu gol Selangor tetapi ia sudah terlambat buat Kelantan dalam usaha meraih sekurang-kurangnya keputusan seri dalam perlawanan berkenaan.

sumber : Utusan Malaysia

Rekod lebur, Balaban benam Kelantan


Selangor
PENAMPILAN sulung pemain import Selangor dari Croatia, Bosko Balaban nyata menjadi apabila menjaringkan satu gol membantu menewaskan Kelantan 2-1 pada saingan Liga Super di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Dua gol Selangor dijaringkan Mohd Shafiq Rahim pada minit ke-46 sebelum Selangor melebarkan cengkaman gol melalui Bosko Balaban pada minit ke-61 yang bijak melepasi perangkap offside sebelum melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol pelawat, Khairul Fahmi Che Mat.

Gol sagu hati pelawat diperolehi pada minit ke-91 melalui Subramaniam yang menolak masuk bola dalam keadaan kelam kabut di depan gawang gol tuan rumah.

Selangor memulakan gerakan untuk mencari gol pendahuluan melalui beberapa serangan dijelmakan oleh Safiq yang melorongkan bola kepada jentera pemusnah baru mereka yang berjaya mengawal bola dan membuat hantaran, namun gagal di sudah rakan.

Kelantan turut mencipta beberapa peluang melalui Norshahrul Idlan Talaha bersama gandingannya Indra Putra Mahyudin namun hampa apabila benteng pertahanan dikawal Ramez Dayoub bijak membaca hantaran.

Selepas seminit babak kedua bermula, Selangor akhirnya memperolehi jaringan pendahuluan melalui rembatan Shafiq di luar kotak penalti yang terus menerjah jaring kiri gol pelawat menewaskan Khairul Fahmi.

Tersentak dengan jaringan berkenaan Kelantan melakukan serangan bertali arus dan mempunyai beberapa peluang terhidang namun sekali lagi gagal memecah kebuntuan mendapatkan gol penyamaan.

Ketika Kelantan ghairah melancarkan serangan memburu gol penyamaan, tindakan Shafiq yang melambungkan bola pada minit ke-61 kepada Bosko yang berjaya melepasi perangkap offside melebarkan jaringan selepas Bosko melepaskan rembatan menewaskan Khairul Fahmi.

Kelantan akhirnya mendapat gol sagu hati pada minit ke-91 apabila Subramaniam menolak masuk bola bola ketika situasi kelam kabut di hadapan gawang Selangor.

Usaha pelawat untuk mendapatkan gol penyamaan nyata tidak kesampaian apabila terpaksa berpuas hati dan menerima kekalahan pertama dalam Liga Super 2012.

sumber : SINAR HARIAN

Tuesday, February 14, 2012

Irfan waspada helah Kelantan



KREATIVITI Safiq Rahim amat ditagih dalam usaha Selangor menyekat kemaraan Kelantan.




HELAH peneraju Liga Super, Kelantan pastinya sentiasa tersimpan utuh di dalam 'kocek' pengendali Selangor, Irfan Bakti Abu Salim.
Irfan pula pastinya tidak duduk diam menjelang pertemuan kedua-dua pasukan pada aksi Liga Super di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini kerana beliau sedang memikirkan strategi terbaik untuk menyekat kemaraan Kelantan.
Biarpun bersedia untuk 'direhatkan' gara-gara prestasi hambar Selangor setakat ini, keputusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang masih mempercayai kredibiliti Irfan pastinya mahu dibalas pengendali kelahiran Perak itu dengan kemenangan.
Duka dimalukan 'adik', Selangor PKNS dengan keputusan 0-2, Sabtu lepas juga sukar diterimanya.
Justeru, Irfan serta seluruh anak didiknya pastinya tahu apa yang perlu mereka lakukan malam ini jika berhasrat mengejar The Red Warriors yang ketika ini cukup selesa di persada liga dengan 17 mata, lapan mata meninggalkan Selangor.
Kehadiran semula bek kiri kental, P. Gunalan yang sebelum ini tersisih dalam dua perlawanan terdahulu gara-gara kecederaan juga pastinya menjadi aset yang paling bernilai buat Gergasi Merah untuk mengutip tiga mata berharga.
Larian deras Gunalan di sebelah kiri serta kemampuannya melakukan hantaran tepat ke kubu lawan dilihat sebagai senjata sulit Merah Kuning, tambahan pula 'malapetaka' ketumpulan penyudah dilihat masih menghantui pasukan itu apabila sekadar meledak enam gol dalam tujuh perlawanan setakat ini.
"Kepulangan Gunalan sememangnya cukup melegakan kami terutamanya ketika cuba mengekang asakan Kelantan menerusi 'ayam tambatan' mereka, Norshahrul Idlan Talaha.
"Pada masa sama, saya juga berharap supaya barisan serangan kami dapat menamatkan kemarau jaringan, sekali gus mencatatkan kemenangan ke atas Kelantan," kata Irfan kepada Kosmo! semalam.
Untuk rekod, Selangor tewas dalam kedua-dua pertemuan kepada Kelantan pada saingan Liga Super musim lepas, selain turut kecewa ditunjukkan jalan keluar oleh Sang Kijang pada peringkat separuh akhir Piala FA 2011 apabila tewas dengan agregat 2-5.
Irfan memberitahu, beliau tidak akan membuat rombakan besar-besaran dan yakin dengan kemampuan kesebelasan utama yang sering diturunkan sebelum ini termasuk kapten, Amri Yahyah, Safiq Rahim, K. Soley, Nasriq Baharom, Fitri Shazwan dan Azidan Sarudin.
"Pada masa sama, saya juga harap pemain tidak mengulangi kesilapan seperti mana ketika menentang PKNS tempoh hari apabila akhirnya dihukum akibat terlalu ghairah menyerang," katanya.

Sumber : Kosmo Online

Atur perlawanan, tiga pasukan senior Liga M kini disiasat


PETALING JAYA - Tiga pasukan senior Liga Malaysia bakal berdepan tindakan drastik Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sekiranya siasatan ke atas mereka sekarang berjaya membuktikan berlakunya kegiatan mengatur keputusan atau rasuah bola sepak.
Malah, yang menyedihkan Pengerusi Jawatankuasa Pemantauan, Ketelusan dan Penyelarasan FAM, Tan Sri Aseh Che Mat (gambar) ialah salah satu daripada ketiga-tiganya yang mungkin mengikut jejak skuad Piala Presiden Negeri Sembilan, T-Team dan MP Muar yang didedahkan, baru-baru ini ialah pasukan yang pernah diasaskannya.
"Kami sedang menjalankan siasatan lanjut ke atas kesemua pemain dan pegawai ketiga-tiga pasukan berkenaan. Jika terbukti (berlakunya jual perlawanan), jawatankuasa ini akan menyerahkan kepada Jawatankuasa Tatatertib untuk memutuskan tindakan.
"Kami juga mengesan sindiket mengatur keputusan perlawanan tempatan ini mempunyai rangkaian dengan sebuah negara jiran dan pihak Jabatan Imigresen bakal membantu menyekat pergerakan keluar masuk mereka dari dan ke negara ini yang jumlahnya didapati agak besar," katanya selepas mesyuarat hampir tiga jam itu di sini, semalam.

Ekoran keseriusan rasuah bola sepak negara, katanya, mesyuarat semalam turut mengenal pasti seorang calon bekas pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk dilantik mengetuai Unit Ketelusan dan Penyelarasan secara sepenuh masa manakala seorang lagi pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diundang menganggotai jawatankuasa berkenaan.
"Pegawai pesara PDRM ini pernah aktif dengan bola sepak dan FAM satu ketika dulu tetapi namanya akan diumumkan kemudian setelah dia bersetuju dengan syarat dan terma pelantikannya," katanya yang bagaimanapun enggan mengesahkan sama ada calonnya ialah bekas Setiausaha Agung FAM yang juga bek kanan negara era 70-an, Datuk Dell Akbar Khan Hyder Khan.
Turut dikatakan menjadi calon penyandangnya ialah bekas Ketua Pengarah Penjara, Tan Sri Zaman Khan yang pernah mempengerusikan Jawatankuasa Tatatertib FAM, malah mengendalikan skandal rasuah bola sepak 'bersejarah' dan melibatkan lebih 120 pemain negara pada 1994 hingga 1995.
"Ia selaras hasrat Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dalam mesyuarat di ibu negara, baru-baru ini yang mahukan seorang bekas pegawai kanan kerajaan mengetuai unit secara sepenuh masa untuk memerangi sindiket rasuah bola sepak yang turut bergerak secara 'profesional'," katanya.
Jawatankuasa ini katanya, bakal kerap bermesyuarat secara bulanan pada setiap Selasa minggu kedua bagi memastikan integriti bola sepak negara dapat dipelihara biarpun mereka tetap mempertahankan bahawa isu rasuah masih tidak seteruk skandal 1994 atau hanya kurang daripada separuh daripada mereka yang pernah dikenakan pelbagai hukuman itu.

Sumber : Utusan Malaysia

Apek tidak tergugat


PENJAGA gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat mengakui tidak tergugat dengan pelbagai kontroversi dikaitkan dengan dirinya baru-baru ini dan akan memastikan gawang The Red Warrios tidak dibolosi ketika berdepan Selangor dalam saingan Liga Super di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.
Khairul Fahmi atau lebih dikenali sebagai Apek berkata, dia sudah lali dengan kontroversi dan tidak pernah membawa masalah peribadi ke padang ketika beraksi dalam kejohanan antarabangsa mahupun liga tempatan.


“Saya akan pastikan segala perkara yang tiada kaitan dengan bola sepak ditinggalkan di luar padang sebelum perlawanan bermula dan sentiasa berdoa supaya berjaya membantu pasukan.

“Untuk perlawanan dengan Selangor, saya harap Kelantan berjaya mengutip tiga mata di tempat lawan,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, semalam.



Menurut Khairul Fahmi, kontroversi itu tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus berjaya dalam kerjaya sebagai penjaga gol nombor satu negara, malah menganggap apa yang berlaku itu membantu mematangkannya.



“Walaupun ada kalanya terkilan, saya kuatkan semangat untuk memberi persembahan terbaik kepada pasukan kebangsaan dan negeri,” katanya.


Sementara itu, ketua jurulatih Kelantan, Peter James Butler berharap anak buahnya mampu mengulangi kejayaan menewaskan Terengganu di Kota Bharu, Sabtu lalu selain optimis Kelantan, mampu meraih kemenangan.


“Saya harap kemenangan ke atas Terengganu akan menyuntik semangat pemain mengekalkan rentak permainan dan yakin pemain mampu melakukan yang terbaik,” katanya.


Sumber : myMetro

Selangor tak ada pilihan


SELANGOR tidak mempunyai pilihan selain mencatat kemenangan ke atas juara bertahan, Kelantan dalam pertemuan getir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.
Kekalahan atau keputusan seri hanya menambah tekanan kepada skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim yang dikejutkan dengan kekalahan 0-2 kepada PKNS FC, Sabtu lalu.


“Moral rakan sepasukan menurun selepas perlawanan itu. Namun saya harap ia dapat dilupakan dan memberi tumpuan penuh pada perlawanan ini kerana perjalanan liga masih panjang,” kata kapten pasukan, Mohd Amri Yahyah.

Menurut pemain paling berpengalaman skuad Selangor itu, Kelantan yang mencatat kemenangan 2-1 ke atas Terengganu sememangnya berada dalam prestasi terbaik namun ia tidak bermakna barisan pemain Merah Kuning sudah menyerah kalah.

 
“Kami akan berusaha membuat kejutan. Bagaimanapun kami perlu menjaringkan gol awal bagi memastikan usaha meraih tiga mata dapat diraih dengan mudah,” katanya.



Selangor dijangka tidak menurunkan K Gurusamy yang mengalami kecederaan ketika menentang PKNS FC namun Irfan Bakti dilihat tidak mempunyai masalah kerana memiliki barisan pemain tengah yang ramai untuk diturunkan.


Hingga petang semalam, penyerang import Selangor dari Croatia, Bosko Balaban tidak tersenarai antara tujuh pemain import yang diluluskan Jawatankuasa Pemeriksaan, Pemantauan dan Ketelusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).


Namun Balaban yang berdepan masalah Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) mempunyai masa hingga jam 12 malam tadi untuk menyelesaikannya.


Sumber : myMetro

Monday, February 13, 2012

Kafa beri kata dua kepada pemain import


KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) memberi tempoh sehingga hujung Mac ini kepada dua tonggak importnya, Mohammad Ghaddar dan Obinna Nwaneiri untuk meningkatkan prestasi jika mahu kekal dalam pasukan tersebut.
Presidennya, Tan Sri Annuar Musa menegaskan, pihaknya masih memberi ruang kepada kedua-dua pemain untuk membuktikan kemampuan sebelum mengambil tindakan berhubung masa depan mereka bersama The Red Warriors.
"Sekiranya kedua-dua pemain ini masih gagal membuktikan kemampuan mereka bersamaThe Red Warriors, kita akan bawa masuk pemain yang lebih baik untuk sesi pendaftaran baru pemain import, April nanti.
"Kita sedang menguji beberapa pemain import dalam usaha untuk memantapkan pasukan. Kelantan memerlukan pemain yang berkualiti kerana mereka mampu menjadi penentu kekuatan pasukan di masa akan datang," katanya ketika sidang akhbar di sini kelmarin.
Tambahnya lagi, selepas ini pihaknya akan membuat penilai sewajarnya sebelum mengambil pemain import baru.

"Kita akan pergi tengok pemain yang sedang beraksi dalam kelab sebelum diambil untuk beraksi bersama The Red Warriors. Selain itu, kita tidak mahu mengambil risiko mendapatkan pemain daripada ejen.
"Hal ini kerana, apa yang diberitahu ejen dengan aksi yang dipamer di atas padang berbeza dengan kehendak pihak pengurusan," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Annuar memberitahu, Kafa akan menganjurkan karnival bola sepak sempena ulang tahun pertama penubuhan Akademi Al - Hambra Red Warriors (Army).
Menurutnya, karnival tersebut dijangka berlangsung pada 25 Febuari ini bertempat di perkarangan Stadium Sultan Muhammed IV.
"Kita akan adakan perlawanan bola sepak antara pasukan Army bawah 14 dan bawah 16 untuk memilih juara karnival. Melalui perlawanan ini kita akan memilih pemain terbaik keseluruhan akademi bagi semua posisi.
"Apa yang lebih penting untuk tahun ini kita bercadang untuk menubuhkan pasukan di bawah kelolaan Kafa. Kita akan tubuhkan pasukan belia bawah 19 dan melalui karnival kita akan tubuhkan pasukan bawah 16 dan 14,'' katanya.

sumber : utusan malaysia