Nuffnang Ads

Tuesday, February 19, 2013

El Clasico Pantai Timur tetap saji debaran : Piya

Tiada siapa lagi berhak mendabik dada apabila Kelantan dan Terengganu bertembung di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini. 

 
Jika sebelum ini, kedua-dua pasukan turun untuk menentukan siapa sebenarnya jaguh Pantai Timur dan bersaing di puncak persada liga, tetapi kini The Red Warriors (TRW) dan Penyu, sama-sama hampir lemas di dasar liga serta tertekan untuk mencari kemenangan kedua dalam saingan liga selepas enam perlawanan. 

Ketua jurulatih Terengganu, E Elavarasan, menyedari perlawanan menentang jiran dan lawan, Kelantan, jauh lebih penting daripada hanya satu perlawanan bola sepak kepada penyokong fanatik kedua-dua pasukan. 

“Saya diberitahu ‘derby’ Pantai Timur antara Terengganu dan Kelantan bagaikan penentuan hidup dengan mati satu masa dulu dan pemenang mendapat hak untuk mendabik dada. 

“Kali ini, ia masih seperti penentuan hidup dan mati, cuma bezanya tiga mata yang bakal diperoleh pemenang lebih penting kerana hak mendabik dada tidak mempunyai erti jika pasukan berada di tangga tercorot liga,” katanya semalam.

Sementara itu, kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi mengakui dia dan rakan sepasukan akan turun dengan misi menamatkan kemarau tanpa kemenangan TRW dalam pertembungan ‘derby’ itu selepas gagal mencipta kemenangan dalam lima perlawanan sebelum ini. 

 
“Kami ada kelebihan beraksi di tempat sendiri dan perlu bermain baik untuk menamatkan kemarau tanpa kemenangan. 

“Memang tidak dinafikan saya masih belum cergas sepenuhnya, namun saya tetap bersemangat membantu pasukan. Badi ketumpulan barisan depan harus diatasi segera dan elak daripada terus ketinggalan dalam liga,” katanya.

No comments:

Post a Comment