Jurulatih Bojan Hodak mengharapkan penyerang import, Keita Mandjou terus membuktikan kemampuan dengan menjaringkan gol dalam perlawanan seterusnya selepas membantu Kelantan menewaskan Terengganu, 2-0 pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, malam kelmarin.
Dua jaringan dihasilkan penyerang berusia 33 tahun dari Guinea itu membuktikan sentuhannya masih berbisa selepas gagal menjaringkan sebarang gol dalam enam perlawanan awal.
Hodak gembira pemain import pilihannya itu akhirnya mengakhiri kemarau jaringan.
Katanya, dua gol itu satu permulaan baik bagi Mandjou bagi meneruskan baki empat perlawanan pusingan pertama liga.
“Saya orang paling gembira apabila menyaksikan Keita menjaringkan dua gol dan terbukti dia membalas kepercayaan diberikan terhadapnya.
“Jika seorang penyerang itu sudah yakin, dia tidak akan berhenti menjaringkan gol dan jaringan malam ini (kelmarin) satu permulaan baik buatnya,” katanya.
Berikutan itu, Hodak yakin Mandjou akan bangkit seperti bekas penyerang import Kelantan, Mohd Ghaddar yang beraksi hambar pada permulaan tapi akhirnya menjadi pemusnah pihak lawan selepas menemui sentuhan sebenar.
Jurulatih berusia 41 tahun dari Crotia itu juga mengaku pemain tengah, Mohd Shakir Shaari dan kapten, Mohd Badhri Radzi atau Piya dibantu pemain veteran, Indraputra Mahayuddin begitu kreatif mencorak permainan.
“Mohd Shakir dan Piya gandingan pemain tengah terbaik negara ini, malah mereka berdua mencorak permainan dengan baik bagi mencipta peluang kepada rakan sepasukan. Pengalaman Indraputra juga banyak membantu kami.”
No comments:
Post a Comment