Selepas tumbang 0-2 kepada Selangor tempoh hari, Kelantan tidak rela berputih mata apabila melayan kunjungan seteru tradisi Terengganu dalam aksi perlawanan keenam Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, malam ini.
Jurulatih Kelantan, Bojan Hodak berkata, kemenangan ke atas Terengganu adalah cukup penting buat The Red Warriors bagi mengembalikan semula prestasi pasukan selepas mempamerkan aksi hambar dalam beberapa perlawanan sebelum ini termasuk tumpas kepada Selangor dan beberapa keputusan seri sebelum ini.
Justeru, beliau menuntut barisan pemain memberikan aksi yang terbaik termasuk cuba mendapatkan jaringan awal sebagai motivasi buat pasukan dalam perlawanan tersebut.
"Saya akui perlawanan ini sangat penting buat Kelantan dan tiga mata perlu diraih. Ini kerana jurang mata dengan pasukan yang berada di bawah Kelantan tidak begitu jauh dan bila-bila masa mereka boleh memintas kita dan ini adalah satu perkhabaran yang tidak enak.
"Secara jujur, saya mahukan kemenangan dalam perlawanan ini dan kita akan cuba mendapatkan jaringan awal. Selain itu, beberapa rombakan akan dilakukan selepas kita melakukan beberapa kesilapan mudah di benteng pertahanan" pada perlawanan menentang Selangor tempoh hari.
Tambah Hodak, beliau tidak akan mengambil mudah perlawanan tersebut meskipun lawannya itu kehilangan perancang tengah berbisanya Ismail Faruqi yang digantung akibat layangan kad merah ketika bertemu dengan Perak, Sabtu lalu.
Ditanya mengenai siapakah yang akan mengetuai jentera serangan Kelantan pada perlawanan tersebut, Hodak mengambil keputusan dengan merahsiakan perkara tersebut daripada pengetahuan umum.
"Saya belum putuskan sama ada akan menggandingkan pemain tempatan atau pemain tempatan dengan import pada perlawanan tersebut.
"Jika Keita Mandjou memberikan aksi terbaik ketika sesi latihan, dia berhak berada dalam senarai kesebelasan utama pasukan kerana pintu perpindahan pemain hanya akan dibuka pada April nanti," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Hodak memberitahu, dia belum pasti lagi sama ada boleh menurunkan kaptennya, Mohd. Badhri Radzi yang mengalami demam berpanjangan sejak beberapa hari lalu.
"Saya syorkan dia ke hospital untuk mendapatkan tindakan susulan bagi mengelak sebarang jangkitan dan kedudukannya dalam senarai kesebelasan utama masih belum dapat dipastikan," katanya.
No comments:
Post a Comment