Nuffnang Ads

Monday, February 18, 2013

Keita Mandjou hampiri penghujung bersama Kelantan

Khidmat Keita Mandjou bersama Kelantan mungkin sampai ke penghujungnya jika aksinya ketika Red Warriors kalah 0-2 kepada Selangor di Stadium Shah Alam baru-baru ini dijadikan panduan.


Ini ditambah dengan luahan kecewa terhadap aksi Keita daripada pengendali Kelantan sendiri, Bojan Hodak.

Bojan mengakui prestasi pemain antarabangsa Guinea itu sudah berada pada tahap yang sukar untuk diterima sehingga memberikan kesukaran buat Kelantan.

"Saya memang tidak berpuas hati dengan persembahan Keita pada perlawanan ini (menentang Selangor) kerana gagal berfungsi pada bahagian serangan.

"Dia tidak lagi pantas untuk menandingi pertahanan lawan dan tidak banyak pergerakan berbahaya dapat dilakukan.

"Saya faham dia mengalami tekanan dari segi mental kerana penyokong mengharapkan sesuatu yang lebih daripadanya kerana dia pemain import. 


Dia sendiri perlu bangkit mengatasi masalah berkenaan, " katanya.

Pada perlawanan tempoh hari, Keita dimasukkan pada separuh masa kedua menggantikan Mohd. Haris Safwan Kamal namun kehadirannya tidak ubah sebagai 'penumpang' sahaja.

Kata Bojan, dia tidak perlu memberikan amaran lisan kepada Keita supaya mempertingkatkan tempo persembahannya kerana sebagai pemain profesional, dia sendiri tahu akan kelemahannya.

"Tidak guna memberikan sebarang amaran kerana dia sendiri yang perlu sedar terhadap prestasinya yang tidak begitu bagus.

"Jika dia mahu kekal lama dalam pasukan, dia sendiri perlu tunjukkan kualiti yang ada pada dirinya, " katanya.

Khidmat pemain berusia 33 tahun itu dijangka berakhir tidak lama lagi selepas namanya tidak lagi berada antara empat pemain import Kelantan yang akan membawa cabaran ke Piala AFC.


Dickson Nwakemi bakal menjadi pengganti Keita selain Dimi Petratos, Lek Kcira dan Obinna Nwaneri yang sememangnya berada dalam senarai pendaftaran pemain.

 

No comments:

Post a Comment