Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan menyingkirkan tiga pemain menjelang April bagi memberi ruang kepada tiga muka baru untuk mengatasi krisis ketumpulan jentera serangan.
Penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa berkata, keputusan menyingkirkan tiga pemain yang tidak dinyatakan itu terpaksa dilakukan demi kepentingan pasukan yang kini berdepan kemarau kemenangan sepanjang pusingan pertama Liga Super musim ini.
Katanya, KAFA juga terpaksa menyingkirkan tiga pemain bagi memenuhi kuota 25 pemain seperti ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum mendaftarkan tiga muka baru.
“Tiada masalah lain yang dihadapi kecuali ketiadaan penyerang. Bagi mengatasi masalah ini, kami terpaksa singkirkan tiga pemain bagi membawa masuk tiga pemain lain yang lebih hebat.
“Saya tidak akan sebut nama pemain kerana tidak mahu mereka terganggu. Mereka yang akan disingkirkan bukannya tidak bagus tapi kami terpaksa lakukan demi kepentingan pasukan,” katanya pada sidang media Majlis Penyerahan Penajaan Kereta Oleh Syarikat Secretleaf di Kafe The Red Warriors, di sini, semalam.
Turut hadir, Pengarah Urusan Secretleaf, Amir Ramadzan Ibrahim. Pada majlis itu, KAFA menerima tajaan sebuah kereta Proton Persona bagi kemudahan pengangkutan persatuan induk bola sepak negeri itu.
Ketika ditanya adakah pemain import dari Guinea, Keita Mandjou tersenarai dalam penyingkiran itu, Annuar dalam nada tegas meminta supaya dihentikan khabar angin seperti itu.
Katanya, Mandjou masih berada dalam pasukan dan berhak bermain. “Keita memang berhak bermain. Khabar angin seperti itu hanya menjatuhkan moralnya.
“Yang penting, pemain perlu bermain bersungguh-sungguh dan masalah ketiadaan penyerang ini akan diselesaikan pengurusan KAFA.” Sementara itu, Amir Ramadzan berkata, pihaknya teruja dapat menaja Kelantan kerana pasukan itu mempunyai kelebihan tersendiri berbanding pasukan lain.
“Kami juga akan membawa dua penyokong yang memenangi peraduan ‘Beli Dan Bola’ untuk menyaksikan perlawanan Piala AFC di Vietnam pada 10 April.
“Peraduan ini bermula 15 Februari hingga 15 Mac. Kami menyediakan tiket penerbangan dan kemudahan penginapan tiga hari dua malam kepada dua pemenang itu,” katanya.
No comments:
Post a Comment