Nuffnang Ads

Wednesday, March 6, 2013

Dimitri Petratos buru jaringan sulung

 Penyerang import Kelantan Dimitri Petratos tekad memburu jaringan berdepan Maziya Sports & Recreation (Maziya SRC) dalam saingan Piala AFC di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.
Penggempur berusia 20 tahun itu yang sebelum ini diketepikan dalam saingan Liga M kerana memberi laluan kepada penyerang import dari Guinea, Keita Mandjou akhirnya turun untuk aksi pertamanya.

Petratos berkata, selepas hanya beraksi dalam beberapa perlawanan persahabatan dan menjalani latihan bersama kelab Blackburn Rovers di England tiga minggu lalu, bintang dari Sydney FC itu sudah bersedia membantu The Red Warriors (TRW) dalam saingan AFC.
Katanya, walaupun sebelum ini kecewa tidak dapat beraksi dalam Liga M namun ia tidak mematahkan semangatnya kekal bersama Kelantan selepas mengikat kontrak setahun bersama Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

“Saya mendapat keyakinan selepas menjalani latihan di England dan kini sedia membantu Kelantan. Untuk perlawanan pertama saya akan cuba mencipta jaringan,” tegasnya.

Sementara itu, jurulatih Bojan Hodak berkata, pemain pertahanan, Nik Shahrul Azim Abd Halim dan Shakir Shaari sudah pulih daripada kecederan.
Katanya, kehadiran dua pemain berkenaan memberi ruang kepadanya membuat pilihan pemain selain dibantu empat awang import.

“Mereka akan bermain malam esok (malam ini) dan saya perlu membentuk kesebelasan terbaik. Untuk AFC kita ada Lek Kcira dan Obinna Nwaneri di barisan pertahanan malah Petratos dan Dicson Nwakaeme akan mengetuai jentera serangan,” katanya.

Abe Piya kunci mulut

Khabar gembira buat Ketua Pasukan The Red Warriors, Mohd Badhri Radzi apabila namanya tersenarai untuk menyertai latihan bersama skuad kebangsaan bagi menghadapi pusingan kelayakan Piala Asia 2015 bertemu Yaman di Kuala Lumpur, pada 22 Mac ini.

 
Setelah begitu lama tersisih, akhirnya jeneral padang berusia 31 tahun itu dipilih oleh pengendali skuad Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal untuk kembali menyarung  jersi kebangsaan bagi menghadapi kempen tersebut.

Namun pemain yang lebih mesra dengan panggilan Piya itu sekadar menunjukkan aksi bersahaja dan mengambil sikap untuk ‘mengunci mulut’ apabila diberitahu mengenai perkhabaran tersebut.

 
“Maaf saya tidak mahu mengulas lanjut dan tidak mempunyai jawapan mengenai perkara ini,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada sesi latihan menjelang aksi perlawanan peringkat kumpulan G, Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), semalam.

 
Kali pertama dan terakhir kapten yang membantu Kelantan menjulang tiga piala musim lalu itu menyarung jersi kebangsaan ialah ketika membantu skuad Pilihan Malaysia di bawah bimbingan Ong Kim Swee berdepan Chelsea dalam aksi persahabatan di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

Tuesday, March 5, 2013

Jersi Rasmi Skuad AFC 2013 Kelantan








Tangkap pemekong objek dapat RM1,000 : Azman

Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menawarkan insentif RM1,000 kepada penyokong yang menahan atau membantu pihak berkuasa menangkap individu yang membaling objek terlarang ketika menyaksikan perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.
 
 
Setiausaha Agungnya, Azman Ibrahim berkata, langkah itu diambil bagi mendidik penyokong supaya menghormati dan mengamalkan semangat kesukanan sekali gus menghalang daripada berlaku insiden yang tidak diingini hingga menyebabkan KAFA dikenakan hukuman. 
 
Katanya, selain insentif RM1,000, penyokong juga akan mendapat sagu hati pas bermusim bagi dua orang sekiranya dapat mengesan serta menangkap individu yang membaling objek dan mercun ketika perlawanan berlangsung. 
 
 
Jangan cetus provokasi

“Kami harap dengan cara ini penyokong dapat mengubah sikap dan mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi.

“Kita mengalukan penyokong datang ke stadium untuk tengok perlawanan namun jangan mencetuskan suasana tidak baik. Jika berlaku perkara tidak baik KAFA akan menerima kesan dan menjejaskan pasukan,” katanya ketika dihubungi semalam.
 

Pada 20 Februari lalu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mendenda KAFA RM62,500 atas tiga kesalahan gara-gara tindakan liar penyokong The Red Warriors (TRW) pada perlawanan Liga Super menentang Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Sultan Muhammad IV, 15 Januari lalu.

Petratos, Nwakaeme jadi taruhan TRW gempur Maziya

Penyerang import Kelantan, Keita Mandjou tidak dapat beraksi menentang Maziya Sports & Recreation (Maziya S R) dalam saingan Piala AFC di Stadium Sultan Muhammad IV, malam esok.
Menurut sumber, kokosongan posisi Mandjou memberi ruang bintang muda dari Australia, Dimitri Petratos dan penyerang Nigeria, Dickson Nwakaeme untuk menerajui jentera serangan The Red Warriors.

Selain dua penggempur, Kelantan juga memperkukuhkan pertahanan dengan menggunakan khidmat pemain dari Croatia, Lek Kchira yang bakal bergandingan bersama Obinna Nwaneri.
“Mandjou mungkin tidak beraksi malam esok kerana empat lagi pemain import bakal mendapat tempat dan langkah ini untuk memperkuatkan pasukan.

“Dengan barisan pemain ini diharap pasukan dapat pergi ke peringkat lebih jauh berbanding musim lepas,” katanya ketika ditemui di Kota Bharu, semalam.

Sementara itu, pemain pertahanan, Mohd Daudsu Jamaludin berkata, Kelantan bertekad sekurang-kurangnya layak ke separuh akhir musim ini selepas terkandas di suku akhir tahun lalu.
“Kita mahu kejayaan lebih besar berbanding musim lalu namun ini bukan tugas mudah malah memerlukan semangat yang tinggi.

“Jika dulu kita beraksi untuk menimba pengalaman tetapi kali ini kita sudah matang dan cukup bersedia,” katanya.

Keita Mandjou masih belum pikat TRW

Walaupun Keita Mandjou sudah mula membuktikan ketajaman penyudah, tetapi ia belum memikat Kelantan menyenaraikannya beraksi menentang kelab Maldives, Maziya Sports & Recreation (Maziya S R) dalam aksi sulung Piala AFC di Stadium Sultan Muhammad IV, malam esok. 

 
Sebaliknya, kekosongan posisi penyerang Guinea itu akan diisi bintang muda dari Australia, Dimitri Petratos dan penyerang dari Nigeria, Dickson Nwakaeme bagi mempertajamkan jentera serangan The Red Warriors (TRW). 

Sumber memberitahu , selain dua penggempur terbabit, skuad bimbingan Bojan Hodak turut mengukuhkan benteng dengan menggunakan khidmat pemain dari Croatia, Lek Kchira yang bergandingan bersama Obinna Nwaneri. 
 

“Mandjou mungkin tidak beraksi malam esok kerana empat lagi pemain import bakal mendapat tempat dan langkah ini untuk memperkuatkan pasukan. 

Aksi terbaik ‘kereta kebal’ 

“Dengan barisan pemain yang dimiliki diharap pasukan dapat pergi lebih jauh berbanding musim lalu,” katanya ketika ditemui semalam. 


Sementara itu, pemain pertahanan, Mohd Daudsu Jamaludin yang dikenali dengan jolokan ‘kereta kebal’ berkata, dia tekad membantu TRW mara ke separuh akhir sekali gus mengatasi pencapaian layak ke suku akhir musim lalu.

'Anggota gabungan boleh pinda Artikel 88' : Abe Wa

Anggota gabungan mempunyai kuasa untuk meminda atau menghapus Artikel 88 Statut Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk memajukan sukan bola sepak negara, kata Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa. 

 
Menerusi laman sosial Facebook, Annuar berkata, belum lewat untuk anggota gabungan FAM melakukan perubahan pada artikel itu yang sebelum ini menyekat kebebasan bersuara anggotanya dalam mengkritik badan induk bola sepak kebangsaan itu. 
 
“Ahli gabungan FAM menerusi kuasa kongres boleh melakukan segala perubahan termasuk menukar kepimpinan, meminda statut dan peraturan serta meluluskan apa juga usul,” katanya. 

Beliau berkata, perkara itu hanya dapat dilakukan sekiranya ia mengikut proses dan prosedur yang betul. 
 
 
Annuar berkata, sudah tiba masanya untuk presiden anggota gabungan badan induk itu bermuafakat untuk menentukan hala tuju FAM seterusnya. 

Jangan gentar 

“Tanpa gentar atau pilih kasih, kita masih belum terlambat... biarpun lambat, lebih baik daripada tiada langsung,” katanya. 
 
Beberapa pemimpin bola sepak negeri dan kebangsaan sebelum ini dihukum oleh FAM kerana melanggar Artikel 88, antaranya Annuar sendiri yang dikenakan hukuman gantung selama 30 bulan daripada memegang jawatan timbalan presiden FAM dan presiden KAFA. 
 
 
Berdasar Artikel 88 peraturan 2010-2014 FAM, hanya presiden dan setiausaha agung dibenar membuat kenyataan membabit skuad kebangsaan serta pengurusan FAM.

Friday, March 1, 2013

Gambaran Hari Kiamat

- Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali Izrail & beberapa malaikat yang lain. Selepas itu, Izrail pun mencabut nyawa malaikat yang tinggal dan akhirnya nyawanya sendiri.

- Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman mafhumnya “Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?” Tiada siapa yang menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan keagunganNya “Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa.” Ini menunjukkan kebesaran & keagunganNya sebagai Tuhan yg Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak mati.


- Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s. dihidupkan, seterusnya meniup sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup semula di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi.

- Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam yg disebut “Ajbuz Zanbi” yang berada di hujung tulang belakang mereka. Hiduplah manusia umpama anak pokok yang kembang membesar dari biji benih.

- Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina. Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib & masa depan yang akan mereka hadapi kelak.

- Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar. Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka.

- Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat.

- Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah SWT. Seluruh makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan suaranya yang menakutkan.

- Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda. Hingga dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas kepala mereka. Ulama berkata jika matahari naik di bumi seperti keadaannya naik dihari Kiamat nescaya seluruh bumi terbakar, bukit-bukau hancur dan sungai menjadi kering. Lalu mereka rasai kepanasan dan bermandikan peluh sehingga peluh mereka menjadi lautan. Timbul atau tenggelam mereka bergantung pada amalan masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun.

- Terdapat satu telaga kepunyaan Nabi Muhammad SAW bernama Al-Kausar yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir dari syurga.

- Semua makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah:

ⅰ- Pemimpin yang adil.
ⅱ- Orang muda yang taat kepada perintah Allah.
ⅲ- Lelaki yang terikat hatinya dengan masjid.
ⅳ- Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.
ⅴ- Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan berkata “Aku takut pada Allah”.
ⅵ- Lelaki yg bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang ramai).
ⅶ- Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air matanya kerana takutkan Allah.

- Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka terdengar suara “pergilah berjumpa dengan para Nabi”. Maka mereka pun pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam a.s menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah SWT. Maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah SAW. Jarak masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun perjalanan.

- Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad SAW ke hadrat Allah SWT. Lalu diperkenankan doa baginda.

- Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga menakutkan hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan turun. Lalu terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 orang malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20 ribu tahun) sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga ‘Arasy itu tiba dibumi.

- ‘Arasy ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah (bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa dipikul oleh 4 orang malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa mudah ia seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang sangat kuat.

- Kursi iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul oleh 4 orang malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih kecil dari ‘Arasy umpama cincin ditengah padang . Dalam bahasa mudah ia umpama singgahsana yang terletak dihadapan istana.

- Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu dimulakan timbangan amal. Ketika itu berterbanganlah kitab amalan masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib & ‘Atid / Kiraman Katibin.

- Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing- masing. Orang kafir & munafik beratur bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan.

- Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad SAW, dan amalan yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum yang pertama kali diputuskan adalah perkara pertumpahan darah.

- Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan tangan kiri jika orang bukan mukmin.

- Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk menimbang pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa.

- Acara ini disaksikan oleh Nabi Muhammad SAW dan para imam 4 mazhab untuk menyaksikan pengikut masing-masing dihisab.

- Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap akan ditimbang.

- Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata- kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan di adili oleh Allah Ta’ala dengan Maha Bijaksana.

- Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya menyeberangi titian sirat.

- Syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat :

ⅰ- Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan mempercepatkan hisab.
ⅱ- Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.
ⅲ- Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka.

(Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah SWT.)

Para nabi dan rasul serta golongan khawas juga diberikan izin oleh Tuhan untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70 000 orang yang lain.

Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi jambatan sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang terbentang dibawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.

Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000 tahun. 5000 tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun. Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.

Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang meniti sirat, hanya seorang sahaja yang Berjaya melepasinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam neraka.

Rujukan: Kitab Aqidatun Najin karangan Syeikh Zainal Abidin Muhammad Al- Fathani. Pustaka Nasional Singapura 2004.

Jika sekiranya kalian ingin mengumpul saham akhirat, sampaikanlah ilmu ini kepada sahabat² yang lain. Sepertimana sabda Rasulullah SAW: ❝ Sampaikanlah pesananku walaupun satu ayat. ❞ Sesungguhnya apabila matinya seseorang anak Adam itu, hanya 3 perkara yang akan dibawanya bersama :

① Sedekah/amal jariahnya.

② Doa anak²nya yang soleh.

③ Ilmu yang bermanfaat yang disampaikannya kepada orang lain.