Nuffnang Ads

Sunday, October 21, 2012

Aura Piala FA, Liga Super faktor kejayaan Piala Malaysia : Bojan



Juara Piala Malaysia

Pasukan Kelantan meraikan kejayaan dengan menjulang Piala Malaysia 2012 selepas menewaskan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Shah Alam - Foto Bernama
JURULATIH Kelantan, Bojan Hodak menyifatkan keyakinan tinggi serta aura menjulang Piala FA dan Liga Super lebih awal adalah antara faktor barisan pemainnya berjaya meraih misi treble musim ini dengan kemenangan bergaya.

"Ia begitu membanggakan. Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan corak permainan pemain.
"Pujian harus diberikan kepada semua pemain kerana mereka begitu komited mengawal pergerakan pemain lawan selain mampu mencipta beberapa peluang," kata Bojan ketika ditemui selepas berakhirnya perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM), semalam.

Semalam, Kelantan membuktikan kehebatan sebagai gergasi Pantai Timur apabila mencatat kejuaraan treble musim ini dengan merangkul Piala Malaysia 2012 setelah menewaskan ATM 3-2 di Stadium Shah Alam.

Sebelum ini, Kelantan menjuarai Liga Super dan Piala FA.

Tambahnya: "Bermula dari penjaga gol sehinggalah bahagian serangan, mereka telah membuktikan tahap kualiti yang ada pada mereka dan ini memang tidak dapat disangkal lagi."

Selain itu, Bojan turut menyifatkan keseluruhan perlawanan semalam membuktikan kedua-dua pasukan antara pasukan yang terbaik.

"Bagi saya perlawanan agak seimbang. Keseluruhan kedua-dua pasukan sama hebat.

"Malah ia perlawanan menarik yang dipamerkan kepada semua penyokong," katanya lagi.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai masa depannya di Kelantan, Bojan bagaimanapun menyerahkan semuanya kepada pengurusan.

"Terpulang kepada pihak pengurusan. Tapi sekiranya saya masih kekal sebagai jurulatih musim depan, saya tidak bercadang untuk membawa masuk ramai pemain baru.

"Ini kerana sekiranya banyak perubahan di dalam pasukan, ia akan memberikan banyak masalah.

"Jadi, saya tidak akan membuat perubahan dari segi pemain," katanya yang turut menegaskan, tiada pemain Kelantan akan berhijrah ke pasukan lain musim depan.


The Red Warriors tunjuk taring




  • Foto
    Norshahrul Idlan Talaha menerima replika cek daripada Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah selepas dinobat Pemain Terbaik Perlawanan Akhir, malam tadi.
  • Foto
    Pemain Tentera, Amiridzwan Taj (kanan) berentap dengan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat dalam perlawanan akhir Piala Malaysia, malam tadi.
  • Foto
    Pemain dan pegawai Kelantan meraikan kejayaan muncul juara Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Indra muncul wira dengan gol kemenangan masa tambahan di Shah Alam

Ledakan Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-95 masa tambahan memastikan kejuaraan trebel buat Kelantan musim ini selepas menewaskan Tentera 3-2 pada aksi final Piala Malaysia penuh dramatik di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Ia menggamatkan lebih 70,000 penyokong setia The Red Warriors yang membentuk 'Gelombang Merah' untuk meraikan musim paling cemerlang Kelantan yang turut menjuarai Liga Super dan Piala FA. 
Kejayaan itu sekali gus meranapkan impian Tentera menjulang Piala Malaysia buat kali pertama. 




Kelantan mendahului 1-0 pada minit ke-43 selepas percubaan leret Norshahrul Idlan Talaha dari sebelah kanan gagal diselamatkan penjaga gol Tentera, Farizal Harun meskipun ia kelihatan tidak begitu berbahaya.

Dua minit selepas babak kedua bersambung, jurulatih Kelantan, Bojan Hodak terpaksa melakukan pertukaran awal memasukkan Rizal Fahmi Rosid menggantikan S Subramaniam yang cedera.

Norshahrul mudah perdaya pertahanan Tentera

Ia seolah-olah membuka ruang buat Tentera untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-48 menerusi rembatan kencang Rezal Zambery Yahya dari luar kotak penalti yang terbias pertahanan Kelantan seterusnya mengelirukan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

Namun hanya seminit diperlukan Kelantan untuk kembali mendahului 2-1 sekali lagi menerusi kelincahan Norshahrul Idlan yang mudah memperdayakan pertahanan Tentera untuk menewaskan Farizal buat kali kedua. 
Bagi memberi nafas baru dalam usaha memburu gol penyamaan, jurulatih Tentera, B Sathianathan melakukan dua pertukaran serentak pada minit ke-60, memasukkan Venice Elphi Danny Kaya dan Fitri Omar menggantikan Christie Jayaselan dan Azmi Muslim.

Hasilnya seminit kemudian, Tentera berjaya menyamakan kedudukan 2-2 apabila Marlon mudah menanduk masuk bola sepakan percuma Rezal Zambery dari sebelah kanan untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Saturday, October 20, 2012

KAFA didenda RM40,000


HAMPA tanpa tiket - Penyokong setia The Red Warriors beratur membeli tiket final Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad ke-IV tapi ramai yang pulang kecewa, semalam.HAMPA tanpa tiket - Penyokong setia The Red Warriors beratur membeli tiket final Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad ke-IV tapi ramai yang pulang kecewa, semalam.
Kelantan dihukum sebelum final

Petaling Jaya: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) didenda RM40,000 semalam - dua hari sebelum final Piala Malaysia, gara-gara tindakan penyokongnya membaling botol minuman ke padang ketika perlawana Kumpulan B menentang Tentera di Stadium Selayang, 28 Ogos lalu.



Hukuman denda tinggi dikenakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu umpama amaran awal kepada ribuan penyokong The Red Warriors supaya tidak mengulangi perbuatan itu pada aksi final di Stadium Shah Alam, malam esok. 


Jika terus berdegil, mereka pasti sukar melarikan diri kerana setiap kelakuan dan tindakan pada aksi final itu nanti diperhatikan dengan pemasangan kamera di setiap sudut stadium berkenaan sebagai langkah awal mengelakkan kejadian tidak diingini.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufik Abdul Razak, berkata tuan rumah perlawanan terbabit, Tentera tidak dihukum kerana insiden itu yang disiarkan secara langsung di televisyen jelas menunjukkan kejadian baling botol dilakukan penyokong Kelantan.

“Kita ada garis panduan dalam Kod Tatatertib FAM 2011 yang menyatakan kelakuan penyokong mana-mana pasukan tertakluk kepada persatuan negeri masing-masing, tidak kiralah siapa yang menjadi tuan rumah.



“Memang jelas nampak seperti hujan botol minuman itu dibaling ke arah padang sehingga menyebabkan perlawanan tertangguh selama 17 minit,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tatatertib FAM di Kelana Jaya, semalam. 

Taufik berkata, KAFA turut ingkar apabila menghantar Borang B (mengaku tidak bersalah) dua hari lewat daripada tarikh ditetapkan.

“Walaupun hukuman maksimum ke atas kesalahan itu ialah RM100,000, jawatankuasa hanya mengenakan denda RM40,000 dan KAFA boleh merayu dalam tempoh 30 hari,” katanya.

Beliau berkata, jawatankuasa juga mendenda Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) RM15,000 kerana penyokongnya membakar mercun roket selepas lagu Negaraku dan membaling mercun ‘air-bomb’ ke arah trek dan penjaga garisan.

“Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) pula didenda RM10,000 kerana penyokongnya membaling mercun 'air-bomb' dengan serpihannya terkena penjaga garisan,” katanya.

Katanya, jawatankuasa turut mendenda Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) RM5,000 kerana penyokongnya membaling botol minuman dan bungkusan cili boh ke arah pengadil dan penjaga garisan.

“Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) didenda RM1,000 kerana penyokongnya membakar suar (flare) dan mercun,” katanya.



Rabu lalu BH Sukan melaporkan setiap kelakuan dan tindakan penyokong pada final Piala Malaysia antara Kelantan dan Tentera, malam esok akan diperhatikan.

Itu adalah peringatan FAM yang bertindak memasang kamera di setiap sudut stadium berkenaan sebagai langkah berjaga-jaga.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan FAM, Datuk Salleh Md Rashid dilaporkan berkata semua kamera tersembunyi itu dipasang di dalam dan luar stadium bagi mengawal penyokong daripada bertindak negatif dan membawa bahan yang dilarang seperti mercun dan vuvuzela.

Apex bersemangat cipta sejarah baharu bola sepak Kelantan



Khairul Fahmi Che Mat

Khairul Fahmi Che Mat
KOTA BHARU – Penjaga gol utama, Khairul Fahmi Che Mat begitu bersemangat untuk membawa The Red Warriors mencipta satu lagi sejarah baharu dengan meraih kejuaraan treble pertama dalam pentas bola sepak negara.

Khairul Fahmi Che Mat berkata, selepas menjulang Piala FA dan Liga Super, Kelantan kini berada di landasan tepat untuk merangkul kejuaraan Piala Malaysia buat kali kedua dalam tempoh empat tahun.

“Kami begitu semangat untuk mencipta sejarah baharu ini. Kami akan cuba memenuhi impian rakyat Kelantan. Kini kami tinggal selangkah untuk merealisasikan hasrat tersebut,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, hari ini.

“Boleh dikatakan hampir kesemua pemain mempunyai pengalaman beraksi dalam pentas final. Jadi, saya percaya Kelantan mempunyai kelebihan berbanding ATM.

"Paling penting ialah kami kena lebih fokus dalam tempoh 90 minit perlawanan ini," katanya.

Menurut Khairul Fahmi, yang turut dikenali sebagai Apex, beliau berharap rakan sepasukannya di benteng pertahanan dalam menjalankan tugas dengan baik bagi menyekat kelincahan penyerang ATM.

“Kalau mereka dapat membentuk gandingan mantap, saya rasa sukar bagi mana-mana pemain ATM untuk menembusi pintu gol kita. Saya harap dapat berkomunikasi dengan baik dengan rakan-rakan di posisi tersebut.

“Kita kena akui rangkaian penyerang ATM yang diketuai Marlon (Alex James), Hai-O (Hairuddin Omar), sambil dibantu Mohd Zakuan Adha (Abd Radzak) dan Christie (Jayaseelan) cukup berbisa.

"Jadi pemain pertahanan kita perlu bekerja lebih keras mengekang serangan mereka itu,” katanya.

Dalam pada itu, penjaga gol berusia 23 tahun itu tetap berwaspada dengan ancaman pemain-pemain ATM meskipun mereka pernah menjalani latihan bersama ketika menyertai skuad kebangsaan.

“Semua pemain tahu kelebihan dan kekurangan masing-masing. Jadi kita perlu buat kerja rumah lebih banyak lagi. Kalau kita buat kesilapan, kita kena pantas menutup ruang agar pihak lawan tidak mudah menjaringkan gol.

“Kalau itu kita mampu lakukan, saya percaya Kelantan boleh menewaskan ATM sebagaimana ditunjukkan ketika kita mengatasi mereka 4-3 dalam aksi peringkat kumpulan di Kota Bharu bulan lalu,” katanya.

Datuk K pilih Kelantan juara



Piala Malaysia: Karathu pilih Kelantan juara

Karathu pilih Kelantan juara
Bekas pengendali The Red Warriors musim lalu, Datuk M Karathu meramalkan Kelantan mampu menumbangkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-1 seterusnya meraih kejuaraan Piala Malaysia buat kali kedua, malam ini.
Berdasarkan prestasi terkini, Karathu berkata, beliau tidak nampak bekas pasukan bimbingannya tidak berupaya menundukkan skuad kendalian B Sathianathan dalam perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, malam esok.
“Saya pilih Kelantan sebagai juara Piala Malaysia 2012. Anda kena terima hakikat Kelantan merupakan sebuah pasukan bola sepak terhebat di negara kita sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
“Bila saya menyaksikan siaran langsung pertemuan ATM dengan Kelantan dalam peringkat kumpulan di Selayang yang berkesudahan seri 1-1 tidak lama dulu, saya memang jangka kedua-dua pasukan pasti akan bertemu dalam perlawanan akhir.
“Ternyata tekaan saya tepat, apabila ATM dan Kelantan sekali lagi berentap dan menjadikan pentas final sebagai medan untuk membuktikan kehebatan tersendiri. Sudah pasti aksi perlawanan akhir malam ini akan menyajikan satu kualiti bola sepak tersendiri daripada kedua-dua pasukan,” katanya.
Bekas jurulatih berusia 70 tahun itu bagaimanapun tidak menolak Kelantan bakal berdepan laluan sukar memandangkan gagal menurunkan barisan terkuat mereka pada perlawanan ini.
“Sedikit malang kerana Kelantan turun tanpa Mohamad Ghaddar dan Mohd Norfarhan (Muhammad) tetapi saya tidak nampak itu satu kecacatan bagi skuad kendalian Bojan Hodak.
“Kelantan banyak bergantung kepada Matyo (Norshahrul Idlan Talaha) namun prestasinya kurang menonjol sepanjang tahun ini. Dia perlu digandingkan dengan Indra Putra (Mahayuddin) jika jentera serangan mahu tampil lebih agresif malam ini,” katanya.
Mengulas mengenai kekuatan ATM, Karathu berkata, skuad yang terkenal dengan jolokan The Gladiators itu turut mempunyai kelebihan sendiri menewaskan Kelantan jika rangkaian pemain sayap mereka dibiarkan bergerak bebas.
“Kita tahu larian pantas Christie (Jayaseelan) dan Mohamad Zaquan Adha (Abd Radzak) menjadi senjata sulit bagi pasukan ATM. Hai-O (Hairuddin Omar) dan Marlon (Alex James) hanya menunggu masa sesuai menjaringkan gol jika mendapat hantaran tinggi daripada kedua-dua pemain sayap itu.
“Jadi Kelantan perlu sekat hantaran tinggi mereka. Jika itu berjaya dilakukan, saya percaya Kelantan mampu mengalahkan ATM sebagaimana mereka buktikan ketika menang 4-3 dalam perlawanan peringkat kumpulan di Kota Bharu awal September lalu,” katanya.

Peluang Kelantan cipta trebel



FINAL Piala Malaysia, Sabtu ini merupakan peluang terbaik buat pemain Kelantan (jersi putih) untuk mencipta kejayaan trebel.


KELANTAN kini berada di landasan yang cukup baik untuk merangkul piala ketiga dalam misi mereka mencipta sejarah sukan bola sepak negeri itu, sekali gus melengkapkan gelaran trebel musim ini.
Skuad yang mendapat jolokan The Red Warriors itu akan turun menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada final Piala Malaysia 2012 di Stadium Shah Alam malam esok.
Bagi ketua jurulatihnya, Bojan Hodak, pasukannya kini berada dalam keadaan bersedia tanpa sebarang kecederaan mahupun masalah fizikal dan mental kecuali penggantungan dua tonggak utamanya, Norfarhan Muhammad dan Mohammed Ghaddar.
Menurutnya, semua pemainnya kini bekerja keras dan mempamerkan aksi yang cukup menakjubkan dalam sesi latihan bagi mencuri tempat dalam kesebelasan utama namun, beliau hanya mampu untuk memilih 11 pemain sahaja.
"Semuanya memeningkan saya tetapi saya gembira apabila mereka memperlihatkan kesungguhan untuk beraksi. Sudah tentu semua pemain mahu dipilih untuk beraksi pada pentas perlawanan akhir ini dan ia begitu mengujakan saya.
"Bagi dua pemain yang akan menggantikan Norfarhan dan Mohammed Ghaddar, salah seorang daripadanya mungkin Piya (Badri Radzi) tetapi seorang lagi masih belum ada dalam kepala saya.
"Bergantung kepada ilham yang saya akan dapat ataupun persembahan pemain yang memikat hati saya nanti. Mungkin anda boleh tanya saya pukul 12 tengah hari Sabtu ini," katanya berseloroh.
Mengulas lanjut mengenai ketiadaan dua tonggak utamanya, Hodak tanpa berselindung menjelaskan, beliau agak terasa kehilangan Norfarhan yang menjadi penjaring terbanyak Kelantan dengan lima gol pada kempen Piala Malaysia musim ini berbanding Mohammed Ghaddar.
"Dalam dua pertemuan peringkat kumpulan sebelum ini, kita seri dan menang. Ghaddar hanya beraksi 45 minit sahaja dan kita berjaya bermain tanpa sebarang kekurangan. Cuma kehilangan Norfarhan agak dirasai kerana dia penjaring terbanyak kita pada kempen Piala Malaysia," ujarnya.
Hodak bagaimanapun sedar, keyakinan yang melampau hanya akan memakan diri sambil menyedari bahawa kekuatan ATM tidak boleh dipandang remeh terutama ketika pasukan tersebut kini sedang ghairah untuk memburu kejuaraan bagi menambah reputasi mereka yang akan beraksi pada Liga Super musim depan.
"Saya selalu beritahu, ATM mempunyai jurulatih yang hebat, skuad yang mantap, lima pemain kebangsaan dan dua pemain import yang menakjubkan. Anda boleh lihat dalam saingan peringkat kumpulan, selain ATM kita berada dalam 'kumpulan maut' bersama Kedah dan Terengganu.
"Seperti juga Terengganu dan Selangor, mereka adalah pasukan yang hebat, memiliki pemain yang mempunyai teknik yang baik tetapi akhirnya ATM dan Kelantan beraksi pada perlawanan akhir. Peluang 50-50 buat masa ini dan kita mengharapkan sokongan peminat membantu menaikkan semangat," jelasnya.
Ditanya mengenai ketajaman gandingan Marlon Alex James dan Hairuddin Omar, Hodak tidak menafikan yang kedua-dua mereka bakal menjadi pemusnah sekiranya dibiarkan bebas bergerak di kawasan kotak penalti.
"Marlon menjaringkan banyak gol, sudah tentu dia memberikan masalah dan Hairuddin merupakan pemain yang saya minati. Ketika bersama UPB-MyTeam lagi saya cuba mendapatkannya tetapi dia sering mempunyai kontrak dengan pasukan lain.
"Bagi saya pemain yang bahaya dan orang tidak menyedarinya adalah Bruno Martelotto kerana jika anda ingat ketika kita menang 4-3 di Kota Bharu, Bruno terlibat dalam menghasilkan ketiga-tiga gol.
Dia akan memberikan masalah besar kepada kita. Zaquan Adha (Abdul Radzak) juga pemain yang baik. Keempat-empat mereka berbahaya," katanya.

Thursday, October 18, 2012

Sejarah Piala Malaysia



Piala Malaysia merupakan satu kejohanan bola sepak yang berprestij di negara Malaysia dan antara kejohanan yang tertua di rantau Asia. Ia dipertandingkan pada setiap tahun mengikut format yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan perlawanan akhir Piala Malaysia akan menutup tirai musim tahunan bola sepak negara.

Piala Malaysia bermula pada tahun 1921 pada ketika itu Piala Malaya yang merupakan kejohanan bola sepak antara negeri-negeri yang membentuk Tanah Melayu. Kini setelah hampir mencecah 90 tahun, Piala Malaysia masih lagi menjadi rebutan pasukan-pasukan bola sepak tanah air.

Sejarah Piala dan Kejohanan

Sejarah Piala Malaysia bermula dengan Piala Malaya yang dipertandingkan pada awal 1920-an dimana kejohanan tersebut disertai oleh negeri-negeri di Tanah Melayu. Ketika itu perlawanan akhir melibatkan juara utara dan juara selatan yang melalui kejohanan dibahagian masing-masing. 

Pada tahun 1933, Piala Malaya telah ditukar nama kepada Piala HMS Malaya yang diambil semperna nama kapal perang HMS Malaya. Pegawai memerintah kapal tersebut ketika itu kapten Ion Beauchamp Butler telah menyumbangkan sebuah piala dan seterusnya menamakan ia Piala HMS Malaya.

Perang dunia kedua memaksa pertandingan ini diberhentikan dari 1942 hingga 1947 dan Piala HMS Malaya dimulakan semula pada 1948. Pada tahun 1967 piala tersebut telah digantikan dengan piala yang baru iaitu Piala Malaysia. Tidak lama kemudian, pasukan dari borneo iaitu Sabah, Sarawak dan Brunei mula menyertai Piala Malaysia.

Bermula tahun 1982, satu liga kejohanan diperkenalkan bagi menentukan siapa layak keperlawanan akhir. Ia akan dipertandingkan selepas liga bola sepak Malaysia tamat dan hanya pasukan yang menunjukkan pencapaian terbaik dalam liga sahaja layak bertanding untuk Piala Malaysia. Namun pada tahun 1995 Singapura tidak lagi beraksi pada Liga Malaysia dan sekaligus tidak beraksi pada Piala Malysia. Ini kerana Persatuan Bolasepak Singapura menghadapi masalah dengan Persatuan Bolasepak Malaysia dan akhirnya menarik diri dalam dunia bola sepak Malaysia.

Namun sebelum berundur, Singapura sempat menjuarai Piala Malaysia 1994 buat kali terakhir. Pada tahun 1999, bilangan pasukan yang memasuki Piala Malaysia bertambah sebanyak 12 pasukan. setahun selepas itu, bilangan pasukan meningkat kepada 16 pasukan dan buat pertama kalinya pasukan berstatus kelab berjaya menyertai Piala Malaysia iaitu Johor FC.

Kelab pertama yang menjuarai Piala Malaysia dan setakat ini adalah MPPJ Selangor pada tahun 2003. Selangor merupakan pasukan yang mempunyai pencapaian paling tinggi dalam kancah Piala Malaysia dengan memenangi sebanyak 32 gelaran dan 16 kali naib juara.

Perlawanan akhir Piala Malaysia 2012 paling sukar - Daudsu


Pertahanan Kelantan, Daudsu Jamaludin menyifatkan perlawanan akhir Piala Malaysia menentang ATM Sabtu ini lebih sukar berbanding dua edisi final yang pernah dilalui Kelantan pada 2009 dan 2010.

Menurutnya, ini kerana ATM dibarisi pemain yang kerap tersenarai mewakili skuad negara, ditambah pula dengan sentuhan berbisa penyerang import mereka, Marlon Alex James dan Bruno Martelotto.

Katanya, Kelantan juga terpaksa berhempas pulas dalam dua perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia ketika menentang ATM sebelum berjaya mengalahkan skuad B. Sathianathan itu.



"ATM memang sebuah pasukan yang hebat dan kami bakal berdepan tentangan sengit daripada mereka pada perlawanan akhir nanti.

"Untuk itu saya berazam untuk menyekat ATM dan bersungguh-sungguh untuk memastikan Kelantan mencipta kejuaraan treble.

"Peluang menjulang tiga kejuaraan semusim tidak datang selalu dan kesempatan itu akan digunakan sebaik mungkin," katanya ketika dihubungi semalam.


Kelantan tewas kepada Negeri Sembilan dalam perlawanan akhir 2009 namun menebus kehampaan ke atas lawan yang sama pada pentas akhir 2010.

Dalam pada itu, mengulas imbuhan lumayan yang dijanjikan Persatuan Bola Sepak Kelantan ( KAFA ) sekiranya berjaya merangkul Piala Malaysia, Daudsu berkata, imbuhan itu memberi motivasi tambahan kepada pemain.

"Imbuhan tersebut juga membuktikan KAFA sangat menghargai jasa pemain dan peluang tersebut tidak akan dipersiakan-siakan," katanya.