Nuffnang Ads

Saturday, November 10, 2012

Bonus hak ambo’ : Mat Yo


Kemelut penyerang Harimau Malaya, Norshahrul Idlan Talaha dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) memasuki babak baru ekoran pengumuman bahawa tiada bonus buat pemain yang meninggalkan Kelantan tanpa restu persatuan.



Mengakui kesal kerana belum mendapat lampu hijau untuk menyertai Johor, Norshahrul lebih terkejut apabila mengetahui kenyataan Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa bahawa tiada pemberian bonus menang tiga kejuaraan kepada pemain yang meninggalkan Kelantan tanpa kebenaran KAFA.

Menurutnya, perkara itu sepatutnya tidak timbul kerana janji pemberian bonus merupakan hasil penat lelah yang dicapai pada musim lalu bersama Kelantan.

“Saya harap KAFA memikirkan kembali keputusan tidak memberikan bonus kepada para pemain yang mahu berhijrah.

“Itu (bonus) adalah hak saya selaku pemain yang membantu Kelantan meraih tiga kejuaraan dan telah bersama mereka sejak tiga musim.

“Bagi saya dia (Annuar) sebagai presiden boleh menilai situasi ini dan tahu hak saya, " katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang semalam.

Kelmarin, Annuar memberitahu mungkin tiada bonus kejuaraan tiga piala kepada mana-mana pemain yang tetap mahu berhijrah ke pasukan lain.

Tambah Annuar, bonus tersebut hanya layak diberikan kepada pemain yang setia dan tidak semestinya berjasa semata-mata.

Norshahrul juga tetap dengan pendiriannya untuk berhijrah ke Johor dan merayu agar KAFA merestui pemergiannya ke Johor pada musim depan.

Malahan, dia mengakui telah menghantar surat kepada pihak pengurusan KAFA mahu dilepaskan tetapi difahamkan permohonannya telah ditolak.

“Saya mahu KAFA melepaskan saya berhijrah ke Johor dan melihat perkara ini dari sudut positif.



“Saya telah menghantar surat tunjuk sebab mengapa saya mahu berhijrah dan salah satunya adalah faktor keluarga, KAFA tahu segala isi kandungan berkenaan.

“Saya semakin berusia dan tidak mampu untuk bermain bola dalam tempoh yang panjang dan berharap mereka dapat melihat dari sudut ini dengan memahami situasi saya," katanya.

No comments:

Post a Comment