Nuffnang Ads

Monday, November 12, 2012

Zairo & Faiz dalam radar terbaru KAFA



Zairo

Orang lama T-Team, Zairo kini jadi pemain buruan terbaru The Red Warriors.
Beberapa nama besar dikaitkan bakal memperkuatkan The Red Warriors bagi mengharungi saingan Liga Malaysia pada musim depan jika usaha Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) itu menjadi kenyataan.
Dua pemain T-Team iaitu Zairo Annuar Zailani dan Mohd Faiz Subri serta pemain sayap Kedah, Mohd Khyril Muhymeen Zambri merupakan tiga pemain yang berada dalam radar Kelantan sekarang.
Menurut sumber dalaman Kafa, rundingan sedang dijalankan untuk membawa masuk dua pemain pasukan berstatus kelab Pantai Timur itu dan Mohd Khyril bagi menyarung jersi The Red Warriors musim depan.
“Ia sebagai usaha untuk menampung kekosongan ditinggalkan beberapa pemain yang mengambil keputusan berhijrah mewakili pasukan lain dalam Liga Malaysia musim depan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
“Memang nama Zairo Annuar (Zailani) dan Mohd Faiz (Subri) berada dalam perhatian Kafa sebelum kempen Piala Malaysia berakhir baru-baru ini. Jika menjadi kenyataan, kehadiran mereka pasti memperkukuhkan jentera serangan pasukan ini.
Menurut sumber itu lagi, pihak Kafa ketika ini sedang meneliti status ketiga-tiga pemain tersebut sebelum mengadakan perbincangan lebih lanjut dengan pasukan asal masing-masing.
Juara treble itu kehilangan beberapa pemain tonggak seperti Mohd Nurul Azwan Roya yang berhijrah ke Johor, Muhammad Ramzul Zahini Adenan (Selangor), Azlan Ismail dan S Chanturu (Perak), selain Norshahrul Idlan Talaha yang juga dikhabarkan berminat mewakili Johor pada musim depan.
Dalam pada itu, sumber tersebut turut mengesahkan pihak Kafa juga sedang berusaha untuk memancing Mohd Khyril Muhymeen, yang mana kontraknya bersama Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) berakhir hujung bulan ini.


“Memang Presiden Kafa (Tan Sri Annuar Musa) ada menghubungi bapa Mohd Khyril Muhymeen, baru-baru ini untuk bertanya khabar mengenai kedudukan pemain tersebut dengan Kedah.
“Namun, ia masih dalam proses rundingan awal memandangkan pemain tersebut sibuk menjalani latihan bersama skuad kebangsaan bagi menghadapi Kejohanan Piala AFF Suzuki, penghujung bulan ini.
“Begitu pun setakat ini, rundingan tersebut menampakkan perkembangan positif. Kalau Mohd Khyril Muhymeen bersetuju dengan tawaran dikemukakan, Insya-ALLAH, mungkin dia bersama Kelantan pada musim depan,” katanya.

No comments:

Post a Comment