Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) tidak akan berpatah arang,
sebaliknya tetap dengan pendirian untuk mendapatkan khidmat Norshahrul
Idlan Talaha atau Mat Yo beraksi bersama skuad Johor dalam kempen Liga
Malaysia (Liga M) musim depan.
Setiausaha Kehormat PBNJ, Suhairi Hashim berkata, Presiden PBNJ, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan mempengerusikan mesyuarat Isnin ini bagi memutuskan kemelut perpindahan Pemain Paling Bernilai Liga M tiga tahun berturut-turut itu.
"Saya mahu tekankan betapa kita serius mendapatkan Mat Yo. Namun, saya
tidak dapat beri komen lanjut kerana tidak mahu ada percanggahan
pandangan... tunggu saja keputusan mesyuarat Isnin ini.
"Apa yang penting, kita mahu proses perpindahan Mat Yo dari Kelantan ke Johor nanti dijalankan tanpa sebarang kekalutan dan ia perlu dilakukan secara profesional," kata Suhairi ketika dihubungi, semalam.
Pengurus merangkap ketua jurulatih skuad Harimau Selatan, Fandi Ahmad turut berharap semua urusan berhubung perpindahan penyerang kebangsaan itu diselesaikan secepat mungkin ketika pasukan sedang giat membuat persiapan pra-musim.
"Apa saja keputusan yang bakal dicapai antara PBNJ dan KAFA diharap positif kerana kita perlu rancang bagi membuat persiapan menghadapi saingan Liga M. Buat masa ini saya sudah mengadakan latihan pra musim dengan pemain sedia ada, katanya selepas sesi latihan di Padang Seri Gelam.
No comments:
Post a Comment