Pemilik Chelsea, Roman Abramovich memecat pengurus Roberto Di Matteo, pagi semalam selepas beberapa keputusan buruk yang tidak dapat diterimanya.
Abramovich yang berang dengan kempen buruk kelab itu dalam kancah Liga Juara-Juara, memecat pengurus bangsa Itali itu beberapa jam selepas tewas 0-3 kepada Juventus.
Pegawai eksekutif Chelsea bertemu di Stamford Bridge untuk memaklumkan Di Matteo yang khidmatnya ditamatkan selepas enam bulan melonjakkan mereka untuk menjulang trofi Liga Juara-Juara.
Abramovich dikatakan berang selepas pasukan itu yang memulakan kempen musim ini dengan peluang memenangi tujuh piala kini semakin merudum.
Walaupun dikatakan bersedia melupakan kekalahan Perisai Kemasyarakatan kepada Manchester City, Abramovich begitu marah dengan cara mereka tewas 1-4 di tangan Atletico Madrid dalam saingan Piala Super.
Sumber rapat dengan Abramovich berkata, mereka sedar Chelsea terpaksa bermain tujuh perlawanan untuk ‘layak’ merebut Piala Kemasyarakatan itu dan cabaran itu sepatutnya dianggap serius.
Begitu juga dengan kekalahan 1-4 kepada Atletico di Monaco. Mereka dituntut memenanginya selepas menjulang Piala FA menewaskan Liverpool.
Chelsea yang memerlukan keajaiban untuk layak dari Kumpulan E Liga Juara-Juara kini berdepan kemungkinan muncul penyandang juara pertama dalam sejarah kejohanan itu, tersingkir di peringkat kumpulan.
Mereka kini empat mata di belakang pencabar hujung minggu ini, Manchester City dalam saingan Liga Perdana Inggeris dan tidak mampu menerima satu lagi kekalahan selepas tewas 1-2 di West Bromwich. - Agensi
No comments:
Post a Comment