Nuffnang Ads

Friday, November 2, 2012

Mat Yo bijak, kreatif - Fandi


Kualiti sebagai pemain bola sepak terbaik yang ada pada Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo membuatkan Johor tidak mahu menyerah daripada usaha 'memikat' penyerang Red Warriors itu.




Pemain yang terkenal dengan jolokan The Linesman dan dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2012 itu juga disifatkan sebagai pemain terbaik di Malaysia buat masa ini.

Bagi pengurus Johor yang juga ketua jurulatih, Fandi Ahmad, Mat Yo adalah seorang pemain bola sepak yang bijak dan kreatif, malah tiada pemain lain di negara ini yang mempunyai kualiti seperti itu.

"Dia (Mat Yo) juga seorang pemain yang dilihat akan meletakkan pasukan terlebih dahulu dan sentiasa memikirkan tentang pasukan. Dia bukannya seorang yang mementingkan diri sendiri.

"Secara teknikal dia adalah yang terbaik di Malaysia. Pada masa ini susah hendak cari pemain yang kreatif dan pada masa sama fikir pasal pasukan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Norshahrul sebelum ini meluahkan hasrat ingin berpindah ke pasukan Johor bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim 2013. Namun, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dilaporkan belum bersedia melepaskannya.



Fandi berkata, sekiranya segala perancangan Johor berjalan lancar, beliau berharap dapat menggandingkan Norshahrul dan pemain Sepanyol, Daniel Gonzales Guiza yang bakal diikat Johor.

"Jika kita berhasil mendapatkan kedua-duanya, ia adalah bonus besar buat Johor," ujarnya.

Johor membuktikan kesungguhan untuk membentuk skuad yang perlu diberi perhatian bagi mengharungi saingan Liga Super musim depan apabila mengikat beberapa pemain ternama bagi pasukan Harimau Selatan itu.

Selain Guiza, Aidil Zafuan Abdul Razak, Zaquan Adha Abdul Razak, Azmi Muslim dan Mohd. Muslim Ahmad sah menjadi milik Johor, manakala Safiq Rahim dan Mohd. Nurul Azwan Roya sudah menyatakan persetujuan.

No comments:

Post a Comment