Nuffnang Ads

Monday, November 12, 2012

Jamuan rai penyokong The Red Warriors ditunda kepada 24 November - Datuk Fattah



Abdul Fattah Mahmood

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood
Kerajaan Negeri Kelantan mengumumkan jamuan rakyat meraikan penyokong setia pasukan bola sepak Kelantan yang sepatutnya diadakan Selasa ini dipinda kepada 24 November.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, perubahan tarikh tersebut dilakukan memandangkan ramai pemain bola sepak Kelantan sedang bercuti ketika ini.

“Setelah mengambil kira pandangan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Afandi Hamzah dalam mesyuarat 6 November lalu, kita bersetuju meminda sambutan tersebut pada 24 November ini,” katanya.



Menurutnya, pemain dijangka bercuti sehingga 15 November ini.

"Malah, lebih manis sambutan tersebut diadakan selepas ketiga-tiga trofi dimenangi The Red Warriors dipersembahkan terlebih dahulu kepada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V pada satu majlis tertutup pada 20 November ini.



“Jamuan ini adalah bagi meraikan peminat setia The Red Warriors yang sentiasa menyokong pasukan Kelantan sehingga meraih kejuaraan treble pertama pada musim ini,” katanya.

Abdul Fattah berkata, beliau menjangkakan hampir 30,000 peminat terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat negeri ini menghadiri majlis julung kali diadakan di Dataran Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu itu.

Menurutnya, Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut memberi pengesahan untuk hadir sama bagi meraikan barisan pemain The Red Warriors dalam majlis yang bermula jam 10 pagi itu.



“Tok Guru (Nik Abdul Aziz) sendiri akan mengimamkan solat Zuhur berjemaah di dataran stadium disusuli jamuan makan terbuka untuk semua peminat yang hadir,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Abdul Fattah menjelaskan perarakan tiga piala tersebut dijadualkan bermula dari Istana Telipot, di sini menuju ke perkarangan stadium bermula jam 12 tengah hari.

“Perarakan tersebut akan melalui beberapa jalan utama di sekitar Kota Bharu seperti Jalan Maju, Jalan Sultan Yahya Petra, Jalan Sultan Ibrahim, Jalan Temenggong, Jalan Tok Hakim sebelum berakhir di dataran stadium sekitar jam 12.15 tengah hari,” katanya.

No comments:

Post a Comment