Nuffnang Ads

Wednesday, February 20, 2013

Abe Wa sangkal dakwaan karut

"JANGAN buat cerita yang bukan-bukan." Itu amaran yang dikeluarkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa (gambar) ketika diminta mengulas prestasi hambar The Red Warriors dalam kempen Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
 Menurut Annuar, ada sesetengah pihak cuba mengaitkan masalah yang melanda Kelantan ketika ini adalah disebabkan kegagalan pihak pengurusan KAFA membayar bonus dan melunaskan janji-janji yang ditabur sebelum mereka menjulang kejuaraan trebel musim lalu.
"Tiada masalah bonus. Inilah penyakit di Kelantan, tiada cerita buat cerita. Semua (bonus) sudah dibayar. Pemain sudah cuba habis-habisan. Jangan lari daripada masalah sebenar.
"Kalau kita bagi bonus banyak mana pun kalau pasukan tak bagus, ia tetap tak bagus.
"Saya tahu ada orang nak tengok kita kalah kerana ini musim pilihan raya tetapi kita tak akan masuk dalam perangkap mereka," kata Annuar ketika ditemui semalam.
Beliau memberitahu, tindakan beberapa pemain meninggalkan pasukan dengan tidak melalui saluran yang biasa menyebabkan The Red Warriors berdepan masalah.
Annuar tanpa ragu menyifatkan masalah yang dilalui Kelantan adalah berpunca daripada masalah ketiadaan penyerang yang mampu menggantikan pemain sebelum ini.
"Masalah sebenarnya adalah pasukan Kelantan tidak mempunyai penyerang. Kita tidak mempunyai pengganti yang setimpal seperti Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha), Muhammad Ghaddar, S. Chanturu dan Nurul Azwan Roya.
 
"Pemain pergi tiada masalah, tetapi pergi di saat-saat akhir menyebabkan pengurusan tidak berkesempatan untuk membuat gantian sehingga menjejaskan pasukan dan tindakan berkenaan boleh ditafsirkan sebagai sabotaj yang kesannya sangat besar.
"Saya hanya mampu menukar pemain atau membuat pelaburan tambahan. Sebab itu saya kata kalau setakat Mat Yo bayar RM299,000, itu tidak boleh buat apa-apa. Kita memerlukan RM1 juta mengubati masalah yang ada," ujarnya.
Annuar turut mengumumkan bahawa tiga lagi muka baharu akan membuat penampilan bersama The Red Warriors sebaik jendela perpindahan dibuka pada 8 April nanti dan ketiga-tiga mereka bukan lagi sekadar pemain 'tangkap muat', malah dipilih dengan kriteria yang cukup ketat.
"Tiga pemain yang ada sekarang terpaksa dikeluarkan kerana mengikut syarat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), hanya 25 pemain sahaja boleh didaftarkan. Ini bukan kerana mereka tidak bagus tetapi kerana kepentingan pasukan.
"Masa masih ada. Pemain yang ada sekarang ini akan kekal sehingga 8 April. Saya tidak mahu bayangkan siapa yang akan keluar.
"Semua pemain masih ada 10 perlawanan, lima perlawanan liga, tiga untuk Piala FA dan dua lagi untuk Piala AFC untuk mereka buktikan keupayaan," jelasnya.

Tuesday, February 19, 2013

Abe Wa nasihat The Red Warriors jangan berputus asa


Tatkala Kelantan semakin tertekan mempertahankan gelaran treble musim ini, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa tetap yakin bahawa anak buah Bojan Hodak akan bangkit perlawanan akan datang dan kembali mempamerkan prestasi yang sebenar pasukan.

Annuar berkata, keyakinan itu berdasarkan pengalaman lama di mana pernah Kelantan bangkit walaupun ketinggalan.



“Tugas yang berat perlu dipikul, ikhtiar perlu dicari dan kelemahan pasukan perlu diperbaiki serta sokongan para peminat terus ditagih.

Jumaat lepas, Kelantan sekali lagi menghidangkan aksi di bawah keupayaan sebenar apabila tewas 0-2 kepada Selangor sehingga mengundang kritikan penyokong setia mereka.

Keputusan itu membuatkan Kelantan jatuh satu anak tangga dan menghuni tempat kelapan dalam carta kedudukan. Ia mengumpul enam mata dari enam perlawanan.



Mengulas mengenai kritikan peminat yang kecewa prestasi hambar Kelantan, Annuar menganggap kalah dan menang adat perlawanan kerana yang kuat tidak semestinya sentiasa menang.

“Baru-baru ini  Arsenal tewas mengejut kepada Blackburn, adat bersukan tak mungkin kuat selalu.

“Bagi peminat yang terus sokong TRW waktu lemah kita amat menghargai, yang mahu menunggu TRW kuat baru menyokong apa boleh buat,” katanya yang sentiasa mendoakan TRW lakukan yang terbaik untuk lima baki perlawanan akan datang.

The Red Warrior's berdepan misi hidup mati malam ini : Hodak

Misi memburu tiga mata penting menanti barisan pemain The Red Warriors apabila melayan kunjungan musuh tradisi, Terengganu dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.

 
Ketika Terengganu kembali ke landasansebenar setelah mencatatkan kemenangan pertama mengalahkan Perak 2-0 tempoh hari, juara treble itu kini berdepan rintangan getir untuk meraih ‘mata keramat’ meski pun mempunyai kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.

Hakikat tersebut diakui sendiri Ketua Jurulatih Kelantan, Bojan Hodak yang menyifatkan pasukannya tidak mempunyai pilihan selain perlu menewaskan Terengganu dengan apa cara sekali pun jika mahu mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada musim lalu.

“Satu perlawanan yang cukup penting bagi kita. Seperti perlawanan akhir...... mungkin juga misi hidup mati dan kami wajib memperoleh tiga mata dengan menewaskan Terengganu esok (malam ini).



“Jurang mata dengan pasukan di bawah terlalu rapat, bila-bila masa sahaja mereka boleh memintas kita. Peminat mungkin menganggap perlawanan ini satu pertemuan yang ditunggu-tunggu kerana kita akan bertemu negeri berjiran, tetapi misi Kelantan lebih penting kerana mahu mendapatkan tiga mata," katanya.

Hodak yang enggan menekan butang panik meski pun pasukannya tewas mengejut 0-2 kepada Selangor sebaliknya menuntut barisan pemain beraksi lebih agresif dan memburu gol seawal mungkin apabila bertemu Terengganu malam ini.

“Secara jujur tidak ada mana-mana jurulatih yang mahu pasukannya berada dalam situasi (prestasi merudum) seperti ini. Saya pun tidak kecuali, dan saya mengarahkan pemain berjuang mati-matian hingga wisel penamat dibunyikan," katanya.


Malah pengendali dari Croatia itu turut beri amaran kepada anak buahnya terutama dibenteng pertahanan agar tidak melakukan kesilapan mudah dengan membenarkan pemain lawan merobek gawang Kelantan dalam pertemuan malam ini.
 
“Mereka kena belajar daripada kekalahan tempoh hari. Sudah pasti ada rombakan kecil akan dilakukan. Mohd Faiz (Subri) wajar diberi peluang berada dalam kesebelasan utama kerana dia menunjukkan prestasi yang baik dalam perlawanan lalu.

“Tentang siapa yang bakal mengetuai jentera serangan, itu saya tidak boleh dedahkan. Saya ada pilihan untuk menggandingkan penyerang tempatan, tetapi pada masa sama tidak boleh ketepikan sumbangan Kieta Mandjou kerana dia masih pemain Kelantan sehingga April depan,” katanya.

8 Penyakit Yang Boleh Sembuh Dengan Berjalan Kaki

Jika anda selama ini malas untuk berjalan, fikirkanlah kembali. Menurut satu kajian, berjalan boleh mengurangkan lapan jenis penyakit. Malah boleh menyembuhkan penyakit tanpa harus mengeluarkan wang.
Mulai sekarang rajin-rajinlah berjalan dan rasakan manfaatnya. Berikut 8 jenis penyakit yang boleh disembuhkan dengan berjalan :-
1. Serangan Jantung : Berjalan boleh mengurangkan risiko serangan jantung. Otot jantung memerlukan aliran darah lebih deras (dari pembuluh koroner ) agar segar dan berfungsi normal mengepam darah tanpa henti.
Berjalan dengan cepat boleh mengalirkan darah ke dalam jantung. Dengan sering berjalan , kolesterol baik (HDL) yang bekerja sebagai spans penyerap kolesterol (LDL) akan meningkat dengan berjalan kaki tergopoh-gopoh.
Tidak banyak cara di luar dapat mengubati seperti ini. Berjalan dengan cepat boleh menurunkan risiko serangan jantung.
2. Stroke :Satu kajian dilakukan kepada 70 ribu pesakit di Harvard School of Public Health yang bekerja sambil berjalan kaki sebanyak 20 jam dalam seminggu, hasilnya risiko diserang stroke menurun hingga dua pertiga.
3. Membakar Lemak :Rutin berjalan kaki akan meningkatkan metabolisme tubuh. Selain sejumlah kalori terbuang oleh aktiviti berjalan kaki, kelebihan kalori yang tersimpan di dalam tubuh akan ikut terbakar, kemudian kenaikan berat badan tidak terjadi.
4. Melangsingkan Badan : jika anda kelebihan berat badan, mulailah untuk rutin berjalan Pergerakan kaki hingga seluruh tubuh mampu menurunkan berat badan dan lemak yang ada terutama diperut anda akan terkikis. Lakukan berjalan kaki secara rutin selama satu jam.
5. Kanser : Gejala kanser akan lenyap dengan sendirinya jika kita rajin jalan kaki. Kanser yang dimaksudkan adalah jenis kanser usus besar (colorectal carcinoma).
Kita tahu, bergerak badan ikut melancarkan peristaltik usus, sehingga buang air besar lebih lancar. Kanser usus dicetuskan oleh najis tertahan lama dalam saluran pencernaan. Sementara dalam satu kajian lain, berjalan boleh menurunkan risiko terkena kanser payudara.
6. Mencegah Osteoporosis : Sering berjalan bukan hanya menyebabkan otot-otot badan menjadi sihat, rangka atau tulang di dalam tubuh anda juga akan menjadi sihat dan kuat.
Osteoporosis tidak cukup hanya dengan rutin mengambil vitamin D dan kalsium yang banyak, tubuh juga memerlukan gerak badan dan memerlukan waktu paling kurang 15 minit dibawah sinar matahari pagi dan anda akan terhindar dari osteoporosis.
7. Mencegah Kencing Manis : Dengan rutin berjalan kira-kira 6 km per jam, dalam tempuh sekitar 50 minit, mampu mencegah berkembangnya diabetes, khususnya pada mereka yang bertubuh gemuk (National Institute of Diabetes and Gigesive & Kidney Diseases).
Selagi gula darah boleh dikawal hanya dengan cara bergerak badan (brisk walking), ubat tidak diperlukan. Anda hanya memerlukan berjalan secara rutin untuk terus menjaga kesihatan badan dan terhindar dari diabetes.
8. Depresi :Berjalan kaki dengan cepat boleh menggantikan ubat anti depresan yang biasanya diminum secara rutin oleh pesakit depresi. Mulai sekarang, rajinlah berjalan kaki akan menyembuhkan pesakit yang tengah depresi.

Pengurus Harimau 'berbohong': Piya

Kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi hairan dengan dakwaan pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Seri Subahan Kamal bahawa dia pernah menolak tawaran mewakili Harimau Malaya sedangkan dirinya tidak pernah menerima panggilan. 

 
Mohd Badhri atau lebih dikenali sebagai Piya menegaskan dia hanya pernah sekali dipanggil oleh jurulatih Harimau Muda A Ong Kim Swee ketika perlawanan persahabatan dengan kelab Liga Perdana Inggeris, Chelsea, pada Julai 2011. 

“Bagaimana, saya hendak menolak tawaran mewakili negara sedangkan saya tidak pernah dipanggil jurulatih. 

“Cuma sekali saja saya dipanggil untuk menyarung jersi kebangsaan ketika perlawanan persahabatan dengan Chelsea bersama rakan sepasukan lain seperti Daudsu Jamaluddin dan S Subramaniam. Selepas aksi itu, saya tidak lagi mendapat tawaran,” katanya ketika dihubungi, semalam.

 
Sebelum ini, Subahan mendakwa Piya pernah dipanggil untuk mewakili negara, namun menolak tawaran berkenaan menyebabkan pemain berusia 30 tahun itu tidak lagi dipanggil jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal. 

Menurut Subahan, Piya ada dalam senarai 34 pemain bagi kempen kelayakan Piala Asia 2015 menentang Qatar di Doha, 6 Februari lalu, tetapi terpaksa diketepikan untuk memberi laluan kepada Mohd Amri Yahyah yang dipanggil pada saat akhir. 

“Tiada pemain yang akan menolak tawaran beraksi untuk skuad negara. Begitu juga saya yang sentiasa bersedia membantu skuad kebangsaan jika diberi peluang,” kata Piya.

Kelantan tidak rela lagi berputih mata : Bojan

Selepas tumbang 0-2 kepada Selangor tempoh hari, Kelantan tidak rela berputih mata apabila melayan kunjungan seteru tradisi Terengganu dalam aksi perlawanan keenam Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, malam ini.


Jurulatih Kelantan, Bojan Hodak berkata, kemenangan ke atas Terengganu adalah cukup penting buat The Red Warriors bagi mengembalikan semula prestasi pasukan selepas mempamerkan aksi hambar dalam beberapa perlawanan sebelum ini termasuk tumpas kepada Selangor dan beberapa keputusan seri sebelum ini.

Justeru, beliau menuntut barisan pemain memberikan aksi yang terbaik termasuk cuba mendapatkan jaringan awal sebagai motivasi buat pasukan dalam perlawanan tersebut.

"Saya akui perlawanan ini sangat penting buat Kelantan dan tiga mata perlu diraih. Ini kerana jurang mata dengan pasukan yang berada di bawah Kelantan tidak begitu jauh dan bila-bila masa mereka boleh memintas kita dan ini adalah satu perkhabaran yang tidak enak.


"Secara jujur, saya mahukan kemenangan dalam perlawanan ini dan kita akan cuba mendapatkan jaringan awal. Selain itu, beberapa rombakan akan dilakukan selepas kita melakukan beberapa kesilapan mudah di benteng pertahanan" pada perlawanan menentang Selangor tempoh hari.

Tambah Hodak, beliau tidak akan mengambil mudah perlawanan tersebut meskipun lawannya itu kehilangan perancang tengah berbisanya Ismail Faruqi yang digantung akibat layangan kad merah ketika bertemu dengan Perak, Sabtu lalu.


Ditanya mengenai siapakah yang akan mengetuai jentera serangan Kelantan pada perlawanan tersebut, Hodak mengambil keputusan dengan merahsiakan perkara tersebut daripada pengetahuan umum.

"Saya belum putuskan sama ada akan menggandingkan pemain tempatan atau pemain tempatan dengan import pada perlawanan tersebut.

"Jika Keita Mandjou memberikan aksi terbaik ketika sesi latihan, dia berhak berada dalam senarai kesebelasan utama pasukan kerana pintu perpindahan pemain hanya akan dibuka pada April nanti," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Hodak memberitahu, dia belum pasti lagi sama ada boleh menurunkan kaptennya, Mohd. Badhri Radzi yang mengalami demam berpanjangan sejak beberapa hari lalu.


"Saya syorkan dia ke hospital untuk mendapatkan tindakan susulan bagi mengelak sebarang jangkitan dan kedudukannya dalam senarai kesebelasan utama masih belum dapat dipastikan," katanya.

El Clasico Pantai Timur tetap saji debaran : Piya

Tiada siapa lagi berhak mendabik dada apabila Kelantan dan Terengganu bertembung di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini. 

 
Jika sebelum ini, kedua-dua pasukan turun untuk menentukan siapa sebenarnya jaguh Pantai Timur dan bersaing di puncak persada liga, tetapi kini The Red Warriors (TRW) dan Penyu, sama-sama hampir lemas di dasar liga serta tertekan untuk mencari kemenangan kedua dalam saingan liga selepas enam perlawanan. 

Ketua jurulatih Terengganu, E Elavarasan, menyedari perlawanan menentang jiran dan lawan, Kelantan, jauh lebih penting daripada hanya satu perlawanan bola sepak kepada penyokong fanatik kedua-dua pasukan. 

“Saya diberitahu ‘derby’ Pantai Timur antara Terengganu dan Kelantan bagaikan penentuan hidup dengan mati satu masa dulu dan pemenang mendapat hak untuk mendabik dada. 

“Kali ini, ia masih seperti penentuan hidup dan mati, cuma bezanya tiga mata yang bakal diperoleh pemenang lebih penting kerana hak mendabik dada tidak mempunyai erti jika pasukan berada di tangga tercorot liga,” katanya semalam.

Sementara itu, kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi mengakui dia dan rakan sepasukan akan turun dengan misi menamatkan kemarau tanpa kemenangan TRW dalam pertembungan ‘derby’ itu selepas gagal mencipta kemenangan dalam lima perlawanan sebelum ini. 

 
“Kami ada kelebihan beraksi di tempat sendiri dan perlu bermain baik untuk menamatkan kemarau tanpa kemenangan. 

“Memang tidak dinafikan saya masih belum cergas sepenuhnya, namun saya tetap bersemangat membantu pasukan. Badi ketumpulan barisan depan harus diatasi segera dan elak daripada terus ketinggalan dalam liga,” katanya.

Monday, February 18, 2013

The Red Warriors hadapi masalah baru : Bojan

Ketika masalah ketumpulan penyudah jentera serangan Kelantan masih menghantuinya, Bojan Hodak kini berdepan masalah baru - kealpaan benteng.

 
Ketua jurulatih dari Croatia itu mengakui faktor itu menjadi punca The Red Warriors (TRW) kalah kepada Selangor 0-2 Jumaat lalu selain masalah sama - ketumpulan penyudah jentera serangan menjadi tumpuan. 

“Kemelut TRW kini bukan saja membabitkan jentera serangan yang tumpul, tetapi juga benteng pertahanan yang mudah ditembusi hingga memberi peluang kepada lawan menjaringkan gol sebagaimana berlaku ketika menentang Selangor. 

“Namun, saya harap pemain tidak mudah lemah semangat dan tertekan, sebaliknya menumpukan sepenuh perhatian untuk perlawanan menentang Terengganu Selasa ini (esok). Kita perlu lupakan segala kekecewaan dan bangkit membuktikan kemampuan sebenar,” katanya semalam.

Tunggu pendaftaran kedua

Hodak yang mencipta nama dengan membantu Kelantan menjuarai tiga piala musim lalu mengakui selain berharap jentera serangan bangkit meningkatkan ketajaman, dia berharap pendaftaran kedua pemain April ini mampu membantunya mengatasi posisi berkenaan.
 
 
“Sebagai jurulatih, saya bertanggungjawab terhadap segala kelemahan dan berusaha memperbaikinya. Apa saja kritikan akibat kegagalan untuk mempamerkan aksi terbaik, saya terima dan yakin pemain akan bangkit membuktikan kemampuan,” katanya.