Nuffnang Ads

Wednesday, February 20, 2013

Abe Wa sangkal dakwaan karut

"JANGAN buat cerita yang bukan-bukan." Itu amaran yang dikeluarkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa (gambar) ketika diminta mengulas prestasi hambar The Red Warriors dalam kempen Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
 Menurut Annuar, ada sesetengah pihak cuba mengaitkan masalah yang melanda Kelantan ketika ini adalah disebabkan kegagalan pihak pengurusan KAFA membayar bonus dan melunaskan janji-janji yang ditabur sebelum mereka menjulang kejuaraan trebel musim lalu.
"Tiada masalah bonus. Inilah penyakit di Kelantan, tiada cerita buat cerita. Semua (bonus) sudah dibayar. Pemain sudah cuba habis-habisan. Jangan lari daripada masalah sebenar.
"Kalau kita bagi bonus banyak mana pun kalau pasukan tak bagus, ia tetap tak bagus.
"Saya tahu ada orang nak tengok kita kalah kerana ini musim pilihan raya tetapi kita tak akan masuk dalam perangkap mereka," kata Annuar ketika ditemui semalam.
Beliau memberitahu, tindakan beberapa pemain meninggalkan pasukan dengan tidak melalui saluran yang biasa menyebabkan The Red Warriors berdepan masalah.
Annuar tanpa ragu menyifatkan masalah yang dilalui Kelantan adalah berpunca daripada masalah ketiadaan penyerang yang mampu menggantikan pemain sebelum ini.
"Masalah sebenarnya adalah pasukan Kelantan tidak mempunyai penyerang. Kita tidak mempunyai pengganti yang setimpal seperti Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha), Muhammad Ghaddar, S. Chanturu dan Nurul Azwan Roya.
 
"Pemain pergi tiada masalah, tetapi pergi di saat-saat akhir menyebabkan pengurusan tidak berkesempatan untuk membuat gantian sehingga menjejaskan pasukan dan tindakan berkenaan boleh ditafsirkan sebagai sabotaj yang kesannya sangat besar.
"Saya hanya mampu menukar pemain atau membuat pelaburan tambahan. Sebab itu saya kata kalau setakat Mat Yo bayar RM299,000, itu tidak boleh buat apa-apa. Kita memerlukan RM1 juta mengubati masalah yang ada," ujarnya.
Annuar turut mengumumkan bahawa tiga lagi muka baharu akan membuat penampilan bersama The Red Warriors sebaik jendela perpindahan dibuka pada 8 April nanti dan ketiga-tiga mereka bukan lagi sekadar pemain 'tangkap muat', malah dipilih dengan kriteria yang cukup ketat.
"Tiga pemain yang ada sekarang terpaksa dikeluarkan kerana mengikut syarat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), hanya 25 pemain sahaja boleh didaftarkan. Ini bukan kerana mereka tidak bagus tetapi kerana kepentingan pasukan.
"Masa masih ada. Pemain yang ada sekarang ini akan kekal sehingga 8 April. Saya tidak mahu bayangkan siapa yang akan keluar.
"Semua pemain masih ada 10 perlawanan, lima perlawanan liga, tiga untuk Piala FA dan dua lagi untuk Piala AFC untuk mereka buktikan keupayaan," jelasnya.

1 comment:

  1. Cayalah Tan Sri!!

    p/s: Nyela molek blog! Sakit mato sapa, hehe... lagu-lagu mano pon, all the best!

    ReplyDelete