Nuffnang Ads

Wednesday, February 20, 2013

Kelantan dapat semangat, Keita mula serasi.

Kelantan menamatkan badi lima perlawanan tanpa kemenangan apabila berjaya mengalahkan Terengganu 2-0 di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, semalam.

Kemenangan The Red Warriors bertambah manis apabila penyerang import mereka, Keita Manjou akhirnya menamatkan kemarau jaringan dengan menyumbat kedua-dua gol untuk juara treble musim lalu itu.

Pemain dari Guinea itu yang berdepan dengan kritikan kerana tumpul di depan gawang berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-32 melalui tandukan selepas rembatan awalnya terkena palang gol.

Sorakan nama Keita Manjou bergema di stadium pada minit ke-63 separuh masa kedua apabila dia memanfaatkan hantaran jauh rakan sepasukan, Indra Putra Mahyuddin untuk menghasilkan gol kedua.

Keyakinan pemain berusia 36 tahun itu semakin terserlah apabila hampir menjaringkan hatrik, namun jaringannya pada minit ke-69 itu dibatalkan kerana dia berada dalam kedudukan ofsaid.

Pertembungan antara seteru utama Pantai Timur itu bermula dengan skuad Penyu terlebih dahulu mengasak ke gawang The Red Warriors seawal minit ketiga, namun kecekapan penjaga gol tuan rumah, Khairul Fahmi Che Mat menafikan banyak percubaan pelawat.

Kerancakan jentera serangan Terengganu terencat pada minit ke-12 apabila penyerang utama mereka, Effa Owona terpaksa dikeluarkan dipercayai mengalami kecederaan otot paha.

Terengganu yang cuba menggandakan serangan pada separuh masa kedua bagaimanapun terpaksa akur bermain 10 pemain selepas ketua pasukan, Faizal Mohamad dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan.

No comments:

Post a Comment