Nuffnang Ads

Tuesday, February 26, 2013

Tamatkan 90 minit : Bojan

Penyandang juara, Kelantan mahu menamatkan aksi menentang PKNS FC dalam tempoh 90 minit apabila kedua-dua pasukan turun berentap pada pusingan kedua Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.

Menyedari tentangan sengit bakal diberikan pasukan berstatus kelab itu, Ketua Jurulatih Kelantan, Bojan Hodak mengarahkan barisan pemain memanfaatkan segala peluang dalam tempoh tersebut untuk mengesahkan slot ke suku akhir.

 

“Saya mahu perlawanan berakhir dalam tempoh itu. Penentuan pemenang tak perlu berakhir dalam masa tambahan atau sepakan penalti. Kita bermain di tempat sendiri dan secara automatik kelebihan ada pada kita.

“Kita tiada pilihan selain perlu kalahkan mereka. Pemain tak boleh alpa, sebarang kesilapan hanya akan menunjukkan jalan keluar," katanya.

Menurutnya, ranjau berduri menanti anak buahnya kerana skuad bimbingan bekas jurulatih kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim sentiasa bekerja keras bagi menewaskan Kelantan setiap kali bertemu.


“Meletakkan sembilan pemain di barisan belakang sememangnya menyukarkan kita. Itulah percaturan PKNS FC. Kita pernah mengalaminya sehingga terpaksa menunggu jaringan saat akhir sebelum menewaskan mereka dalam aksi Liga Super bulan lalu,” katanya.

Hodak sekali lagi bakal mempertaruhkan rangkaian penyerang import, Keita Mandjou dan Mohd Norfarhan Muhammad.

Selain itu, Hodak berkemungkinan membariskan Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid atau Azizi Matt Rose dibenteng pertahanan dan menggantikan Mohd Shakir dengan K Nanthakumar di posisi tengah.

Perubahan perlu dilakukan memandangkan Mohd Shakir Shaari dan Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim diketepikan akibat kecederaan.

No comments:

Post a Comment