Nuffnang Ads

Tuesday, December 11, 2012

Skuad Piala Presiden Kelantan turun 90% muka baru



Piala Presiden: Kelantan turun 90% muka baru

Mohamad Yusri (tiga, kanan) menyatakan sesuatu kepada pemain Liga Piala Presiden yang turun menjalani latihan pertama semalam. Turut kelihatan ialah Mohd Sideek (lima, kanan).
Skuad Piala Presiden Kelantan mempertaruhkan hampir 90 peratus muka baru yang bakal memikul cabaran pasukan tersebut pada saingan Liga Piala Presiden musim depan.

Semalam, seramai 27 pemain skuad yang terkenal dengan jolokan The Presiden Warriors itu memulakan latihan pertama mereka di bawah bimbingan Ketua Jurulatih, Mohd Sideek Samsudin dan pembantunya, Mohd Nafuzi Mahamad Zain di Padang Mardi, Pasir Tumbuh, di sini.

Pengurus Pasukan, Mohamad Yusri Ismail berkata, pihaknya melakukan rombakan besar-besaran apabila menggugurkan hampir kesemua pemain musim lalu atas beberapa faktor.

“Rata-ratanya semua pemain baharu. Pemain lama ada yang kita gugurkan atas faktor lebih umur, tak konsisten selain beberapa pemain diserap masuk bermain dengan skuad Liga Super Kelantan.

“Hanya lapan muka lama dikekalkan. Empat pemain muda daripada skuad Piala Belia turut dipanggil menjalani latihan bersama kita ketika ini.


Musim depan, Kelantan hanya mengekalkan lapan pemain iaitu Ketua Pasukan, Faizol Nazlin Sayuti, Muhammad Syazwan Yusoff, Mohammad Asif Mohd Azman, Mohammad Azyu Ikmal Che Mat Nor, Muhammad Akid Ramli, Mohammad Qayyum Marjono Sabil, Irwan Jasman Azhar dan Mohd Faiz Suhaimi.

Menurut Mohamad Yusri, pihaknya akan mengaturkan siri perlawanan persahabatan dengan bertemu beberapa kelab tempatan, termasuk Tumpat FA selain menjalani latihan pra musim di ibu negara, bulan depan.

Sementara itu, Mohd Sideek berkata, beliau bersama pembantunya akan memberi tumpuan terhadap usaha meningkatkan tahap kecergasan dalam kalangan pemain, memandangkan pasukan itu dibarisi ramai muka baharu musim depan.

“Untuk tempoh tiga minggu ini, fokus saya ialah memastikan pemain benar-benar cergas ketika menjalani latihan. Lepas ini baru kita fikir soal untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan tempatan.

“Ramai pemain baharu, mereka mungkin masih terikut-ikut dengan cara kampung, kita cuba terapkan latihan secara sistematik.

“Ia mungkin mengambil sedikit masa tetapi saya percaya mereka dapat menyesuaikan diri dengan corak latihan pasukan selepas ini,” katanya.


1 comment: