Kehadiran pemain baharu Kelantan, Ahmad Fakri Saarani, bakal
mempertingkatkan jentera serangan serta sayap pasukan 'The Red Warriors'
pada perlawanan pusingan kedua Liga Super, April depan.
Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa
berkata Ahmad Fakri, bekas pemain Felda United, kini mempunyai masa
kira-kira tiga minggu untuk mempersiapkan diri menjelang sepak mula
pusingan kedua saingan tersebut menentang Angkatan Tentera Malaysia
(ATM) pada 13 April.
"Saya percaya beliau tidak asing lagi dengan corak permainan pasukan kita.
Sebahagian daripada pemain telah pun bermain bersamanya dalam pasukan kebangsaan.
"Segala urusan, terma-terma telah pun kita persetujui dan kontrak telah
ditandatangani sewaktu Ahmad Fakri berada di Portugal lagi dengan
kerjasama ejen beliau yang menguruskan semua urusan perpindahan Fakri,"
katanya kepada pemberita ketika memperkenalkan pemain tersebut di sini
hari ini.
Persediaan Kelantan pada saingan awal Liga Super musim ini bagaikan
'patah taring' selepas kehilangan beberapa tonggak utamanya seperti
Norshahrul Idlan Talaha, Nurul Azwan Roya dan S.Chanturu yang berpindah
ke pasukan lain, sekali gus memberi cabaran besar kepada Kafa dalam
mencari bakat baharu bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain
tersebut.
Sambil menegaskan tiada rombakan dibuat dalam pasukan tersebut, Annuar
berkata kehadiran Ahmad Fakri bakal mengembalikan kegemilangan Kelantan
yang berjaya merangkul tiga piala pada saingan Liga Malaysia musim lalu.
"Kita buat pengubahsuaian. Kita cuma memperkasakan pasukan dengan kita
tengok pasukan memerlukan "default". Itu tugas ketua jurulatih.
Tugas
saya cuma mencari ramuan.
"Saya hanya cuma mendapatkan pemain, kemudian jurulatih akan buat
pengubahsuaian. Tidak ada pertukaran pemain (mahupun) pertukaran
kedudukan.
Itu biasa dalam mana-mana pasukan bola sepak," katanya.
Annuar bagaimanapun enggan mengulas harga yang dibayar untuk
mendapatkan khidmat pemain tersebut dan berkata: "Pelaburan secara
berhemah, secukup rasa, pakai baju yang berpadanan dengan diri-sendiri."
Sementara itu, Ahmad Fakri berkata beliau akan berusaha memberikan
persembahan terbaik dan kehadiran beliau diharap dapat membantu jentera
serangan serta sayap Kelantan.
"Saya akan gunakan segala kemahiran yang dipelajari ketika berkhidmat
selama tiga bulan bersama pasukan Atletico S.C dan akan kongsi dengan
rakan-rakan dalam pasukan bagi membantu Kelantan untuk bangkit,"
katanya.
No comments:
Post a Comment