Nuffnang Ads

Monday, March 25, 2013

Mesti beres misi dalam 90 minit: Hodak

“Kelantan harus elak perlawanan diheret ke penentuan sepakan penalti. Mesti menang dalam tempoh 90 minit,” tegas ketua jurulatih Kelantan, Bojan Hodak menjelang perlawanan kalah mati saingan Piala FA antara Kelantan dengan Selangor PKNS di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.


Pengendali berasal dari Croatia itu akur barisan bergelar The Red Warriors (TRW) itu bakal mendapat saingan sengit daripada lawan melihat skuadnya sedikit tempang di barisan depan tanpa penyerang berbisa, Muhammad Norfarhan Mohamad yang masih dibelenggu kecederaan. 


Keadaan itu memaksa Bojan menagih khidmat tiga tonggak yang baru pulang dari bersama skuad kebangsaan dalam perlawanan pusingan kelayakan Piala Asia menentang Yaman Jumaat lalu, iaitu kapten, Mohd Badhri Radzi, pemain tengah, Shakir Shaari dan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat. 


Harap Mandjou menyinar

“Saya rasa lebih selamat kami menang dalam tempoh 90 minit kerana masa tambahan hanya mengundang risiko.

“Saya juga harap Keita Mandjou dapat mempamerkan aksi terbaik esok (malam ini) selain khidmat Piya (Mohd Badhri), Shakir dan Apek (Khairul Fahmi) sangat diperlukan dalam perlawanan penting itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Sementara itu, Piya yang tidak menafikan terada keletihan selepas tugasan bersama skuad Harimau Malaya, baru-baru ini turut memberi pendapat sama seperti Bojan yang mahu TRW menang dalam tempoh 90 minit.

“Segala pengalaman yang saya dapat sepanjang bersama skuad kebangsaan akan saya guna untuk perlawanan malam ini.


“Kami sudah banyak kali kecewa dalam penentuan sepakan penalti termasuk ketika tewas kepada Tentera dalam perlawanan merebut Piala Sumbangsih awal musim ini. Saya tidak mahu perkara sama berulang dan mahu fokus bantu pasukan dalam tempoh 90 minit,” katanya.

Piala FA 2013 : Kelantan yakin ke suku akhir

Penyandang juara, Kelantan yakin mampu menyingkirkan PKNS FC apabila kedua-dua pasukan turun berentap pada aksi tunggal Pusingan Kedua  Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini.

Keyakinan itu disuarakan Ketua Jurulatih, Bojan Hodak yang menyifatkan pasukan kini berada pada prestasi terbaik setelah menewaskan Ayeyawady United 3-1 dalam kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) baru-baru ini, sekali gus mempunyai kelebihan mengisi slot ke suku akhir bertemu Sarawak pada 6 April ini.


“Satu pertemuan sengit setiap kali kami bertemu PKNS FC di Kota Bharu. Mungkin orang cakap peluang 50-50 buat kedua-dua pasukan, tetapi saya sentiasa optimis kita boleh menewaskan mereka malam ini,”.

Malah pengendali dari Croatia itu tampil melancarkan perang psikologi apabila mengesahkan akan menurunkan barisan terkuatnya meskipun kehilangan pemain sayap, Mohd Norfarhan Muhammad yang belum pulih daripada kecederaan ketika ini.

“Kecuali Mohd Norfarhan, yang lain bebas daripada kecederaan dan penggantungan perlawanan. Malah saya akan gunakan khidmat tiga pemain kebangsaan iaitu Apex (Khairul Fahmi Che Mat), Piya (Mohd Badhri Radzi) dan Mohd Shakir (Shaari) meskipun mereka sedikit kepenatan.


Pertemuan Kelantan menentang PKNS FC pada 26 Februari lalu ditangguh setelah gelombang banjir kedua melanda Kelantan.

Menurut Hodak, beliau belum membuat keputusan untuk meletakkan siapa pemain tempatan yang akan digandingkan dengan penyerang import, Keita Mandjou selaku penggempur utama Kelantan pada pertemuan pusingan kedua kalah mati ini.

“Belum lagi (buat keputusan)....mungkin Indra Putra (Mahayuddin) atau Mohd Haris Safwan (Mohd Kamal). Kita tengok dulu dalam latihan terakhir petang ini (semalam). Saya ada banyak opsyen sekarang termasuk Mohd Faiz (Subri) dan juga Mohd Khairul Izuan (Rosli),” katanya.

Friday, March 22, 2013

Piya Mampu Buat Impak Kepada Harimau Malaya : Bojan

Jurulatih Kelantan, Bojan Hodak percaya kaptennya Mohd. Badhri Radzi atau Piya mampu menghadirkan sesuatu kepada skuad kebangsaan dalam aksi kelayakan Piala Asia menentang Yemen di Stadium Shah Alam, malam ini.
Hodak berkata, Piya mempunyai kualiti dan keupayaan tersendiri untuk memberikan nafas baharu buat pasukan kebangsaan.
Menurutnya, beliau percaya Piya tidak berdepan masalah menyesuaikan diri dengan corak latihan Rajagobal meski pun hanya sempat menjalani latihan selama seminggu bersama skuad kebangsaan.
“Bagi saya Piya menunjukkan prestasi baik meski pun hanya bermain 45 minit pada perlawanan persahabatan menentang Arab Saudi tempoh hari.
“Dia sudah menunjukkan peningkatan termasuk membantu Kelantan menewaskan Ayeyawady United 3-1 dalam Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) minggu lalu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan persahabatan menentang Tumpat FA di sini semalam.
Tambahnya, ramai yang tidak mengetahui pemain tersebut sebenarnya keletihan selepas mengharungi banyak perlawanan dalam tempoh singkat tetapi dia cukup bersemangat menyarung jersi kebangsaan.
 Dalam perlawanan tersebut, The Red Warriors nyata bukan tandingan Tumpat FA yang beraksi dalam saingan Liga FAM apabila mudah membenam pasukan lawan 6-0.
Sementara itu, Hodak berharap dapat menggunakan khidmat tiga tonggak yang beraksi bersama skuad kebangsaan untuk memperkuatkan pasukan bagi menghadapi PKNS dalam aksi pusingan kedua Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu 25 Mac ini.
Tiga tonggak tersebut ialah kapten pasukan Mohd. Badhri Radzi, pemain tengah Mohd. Shaakir Shaari serta penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.
Katanya, berkata, ketiga-tiga pemain tersebut amat diperlukan bagi memastikan The Red Warriors mampu melangkah ke pusingan seterusnya dalam saingan Piala FA musim ini.

Wednesday, March 20, 2013

Dato Rajagobal Puji Aksi Piya

MESKIPUN hanya beraksi pada babak pertama, aksi sulung arkitek Kelantan, Mohd. Badhri Radzi atau Piya mendapat pujian pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal.


Menurut beliau, Piya cepat menyesuaikan diri dan beraksi dengan baik ketika mengekang ancaman Arab Saudi dalam aksi persahabatan kelmarin.

Biarpun tidak gemar berbicara mengenai kebolehan individu pemain sebelum ini, Rajagobal percaya Piya dapat memberikan yang terbaik jika diturunkan ketika berdepan Yemen nanti.


“Kebolehan mana-mana pemain tidak boleh diukur dalam satu perlawanan tetapi Piya berjaya beraksi dengan baik biarpun hanya diturunkan selama 45 minit.

Tuesday, March 19, 2013

Kehadiran Ahmad Fakri pertinkat jentera serangan & sayap : Abe Wa

Kehadiran pemain baharu Kelantan, Ahmad Fakri Saarani, bakal mempertingkatkan jentera serangan serta sayap pasukan 'The Red Warriors' pada perlawanan pusingan kedua Liga Super, April depan.

Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata Ahmad Fakri, bekas pemain Felda United, kini mempunyai masa kira-kira tiga minggu untuk mempersiapkan diri menjelang sepak mula pusingan kedua saingan tersebut menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 13 April.

 
"Saya percaya beliau tidak asing lagi dengan corak permainan pasukan kita.
Sebahagian daripada pemain telah pun bermain bersamanya dalam pasukan kebangsaan.

"Segala urusan, terma-terma telah pun kita persetujui dan kontrak telah ditandatangani sewaktu Ahmad Fakri berada di Portugal lagi dengan kerjasama ejen beliau yang menguruskan semua urusan perpindahan Fakri," katanya kepada pemberita ketika memperkenalkan pemain tersebut di sini hari ini.

Persediaan Kelantan pada saingan awal Liga Super musim ini bagaikan 'patah taring' selepas kehilangan beberapa tonggak utamanya seperti Norshahrul Idlan Talaha, Nurul Azwan Roya dan S.Chanturu yang berpindah ke pasukan lain, sekali gus memberi cabaran besar kepada Kafa dalam mencari bakat baharu bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain tersebut.


Sambil menegaskan tiada rombakan dibuat dalam pasukan tersebut, Annuar berkata kehadiran Ahmad Fakri bakal mengembalikan kegemilangan Kelantan yang berjaya merangkul tiga piala pada saingan Liga Malaysia musim lalu.

"Kita buat pengubahsuaian. Kita cuma memperkasakan pasukan dengan kita tengok pasukan memerlukan "default". Itu  tugas ketua jurulatih.

 Tugas saya cuma mencari ramuan.
"Saya hanya cuma mendapatkan pemain, kemudian jurulatih akan buat pengubahsuaian. Tidak ada pertukaran  pemain (mahupun) pertukaran kedudukan.

Itu biasa dalam mana-mana pasukan bola sepak," katanya.

Annuar bagaimanapun enggan mengulas harga yang dibayar untuk mendapatkan khidmat pemain tersebut dan berkata: "Pelaburan secara berhemah, secukup rasa, pakai baju yang berpadanan dengan diri-sendiri."


Sementara itu, Ahmad Fakri berkata beliau akan berusaha memberikan persembahan terbaik dan kehadiran beliau diharap dapat membantu jentera serangan serta sayap Kelantan.

"Saya akan gunakan segala kemahiran yang dipelajari ketika berkhidmat selama tiga bulan bersama pasukan Atletico S.C  dan akan kongsi dengan rakan-rakan dalam pasukan bagi membantu Kelantan untuk bangkit," katanya.

Wednesday, March 13, 2013

Bojan mahu The Red Warriors benam Ayeyawady

Ketua jurulatih Kelantan, Bojan Hodak mahu anak buahnya melupakan segera kekecewaan tewas 0-1 kepada Lions XII pada saingan Liga Super Sabtu lalu bagi mengelakkan tekanan apabila berdepan kelab Myanmar, Ayeyawady United dalam saingan peringkat kumpulan Piala AFC, di Stadium Thuwunna YTC, Yangon, hari ini.



Jurulatih berusia 41 tahun dari Croatia itu turut meminta semua pemain The Red Warriors (TRW) memberi fokus penuh dan melupakan segala kritikan dilontarkan ke atas pasukan ketika ini. 
“Menang dan kalah sudah menjadi adat dalam bola sepak, namun kemenangan dan kekalahan lalu tidak boleh dijadikan sandaran untuk perlawanan seterusnya. Semua pemain perlu melupakan segala kekecewaan bagi mengelakkan daripada tekanan dalam perlawanan ini. 
 

Cabaran besar bagi musim ini

“Kami terima banyak kritikan mengenai soal prestasi pasukan, namun semua itu kami anggap sebagai cabaran besar bagi musim ini.

“Saya akan menurunkan kesebelasan terbaik esok (hari ini) dan tiada yang mustahil untuk kami menewaskan Ayeyawady atau pun sekurang-kurangnya mendapatkan satu mata,” katanya, semalam.


Dalam perlawanan pertama peringkat kumpulan G saingan Piala AFC dengan Maziya SRC di Stadium Sultan Muhammad IV 6 Mac lalu, Kelantan gagal menggunakan kelebihan beraksi di tempat sendiri apabila hanya mampu mencatat keputusan seri 1-1 dengan pasukan dari Maldives itu.

Thursday, March 7, 2013

Ambo gembira dipanggil - Piya

Saya gembira apabila dipanggil untuk menyertai Harimau Malaya," kata ketua pasukan Kelantan, Mohd. Badri Mohd. Radzi atau Piya.

 
Mohd. Badri berkata, penantiannya untuk menyertai kem kebangsaan, tamat apabila diberitahu namanya tersenarai dalam 27 pemain pilihan pengendali skuad kebangsaan, Datuk K. Rajagobal bagi menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa dan pusingan kelayakan Piala Asia 2015 menentang Yemen pada 22 Mac ini.

Bagaimanapun, Mohd. Badri yang berasal dari sini berkata, walaupun dipanggil untuk menjalani latihan, dia bagaimanapun tidak dapat mengesahkan kedudukannya sebagai pemain dalam kesebelasan utama pasukan ataupun simpanan.

Ini kerana pemain yang bakal beraksi didalam kesebelasan utama itu hanya dapat di putuskan oleh ketua jurulatih sendiri.

“Semua pemain mahu menyertai skuad kebangsaan termasuk saya. Ini adalah peluang terbaik untuk saya membuktikan kemampuan selain membalas kepercayaan yang diberikan itu," katanya kepada pemberita di sini, semalam.


Mohd. Badri yang cukup bersedia untuk memberikan persembahan terbaik itu turut menghargai kepercayaan Rajagobal untuk dia beraksi di peringkat antarabangsa.

“Apa yang saya boleh janjikan, hanya persembahan terbaik sekiranya dapat beraksi ketika perlawanan persahabatan menentang Arab Saudi pada 17 Mac ini dan itu adalah ujian pertama saya," katanya.


Akhbar semalam melaporkan arkitek utama Kelantan yang juga merupakan kapten pasukan The Red Warriors itu mendapat berita gembira setelah Rajagobal turut menyenaraikannya antara 27 pemain pilihan dan perlu melaporkan diri di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) 11 Mac ini untuk menjalani latihan.

Kancah bola sepak negara sebelum ini kecoh apabila timbul dakwaan daripada pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Seri Subahan Kamal yang menyatakan bahawa Mohd. Badri pernah menolak tawaran buntuk menyarung jersi bersama skuad kebangsaan.


Dakwaan tersebut bagaimanapun dinafikan Mohd. Badri, sebaliknya menegaskan, dia hanya dipanggil ketika perlawanan persahabatan menentang kelab Liga Perdana Inggeris, Chelsea, dua tahun lepas.

Subahan turut menyatakan, nama Piya ada dalam senarai 34 pemain bagi kempen kelayakan Piala Asia 2015 menentang Qatar di Doha, 6 Februari lalu, namun terpaksa diketepikan untuk memberi laluan kepada Mohd. Amri Yahyah yang dipanggil pada saat akhir.

Wednesday, March 6, 2013

Panggilan 'misteri' Raja kepada 'Piya'

Kapten Kelantan dipanggil sertai skuad Harimau untuk kelayakan Piala Asia 2015

 
Pengendali skuad kebangsaan, Datuk K Rajagobal akhirnya memanggil kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi atau Piya untuk menjalani sesi latihan pusat Harimau Malaya menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa dan pusingan kelayakan Piala Asia 2015 menentang Yaman, 22 Mac ini.

 
Keputusan Rajagobal itu satu kejutan kerana sebelum ini kapten Kelantan itu disisihkan walaupun pemain tengah berkenaan terbukti memainkan peranan penting membantu The Red Warriors (TRW) menjulang tiga kejuaraan musim lalu. 

Malah, tindakan Raja itu mencetuskan persoalan adakah dia tunduk dengan desakan atau sebagai satu ‘permainan’ untuk memuaskan hati peminat yang sebelum ini begitu lantang mengkritik senarai pelatih pilihannya dalam membarisi Harimau Malaya. 


Namun, hujah ketika ini menjurus kepada satu perdebatan apakah Piya akan menyahut panggilan itu? Ia masih menjadi tanda tanya apa lagi pengurus pasukan, Datuk Seri Subahan Kamal menegaskan tempat Piya dalam skuad kebangsaan belum terjamin meskipun dia dipanggil menjalani sesi latihan berkenaan.

Piala AFC 2013 | Kelantan rehatkan tonggak berdepan Maziya Sports : Bojan

Pengendali pasukan, Kelantan Bojan Hodak mahu meraih tiga mata dalam aksi pertama Kumpulan D Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menentang wakil Maldives, Maziya Sports and Recreation Club di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.


Meskipun merehatkan beberapa tonggak utamanya bagi menghadapi pertemuan getir dengan Lion XII dalam saingan Liga Super, Sabtu ini, Hodak tetap tidak mengambil mudah.

Menurutnya, perubahan tersebut terpaksa dilakukan bagi memastikan pasukannya tidak keciciran mata berdepan jaguh Singapura itu.

"Kami bakal berdepan tugas sukar dalam tempoh yang singkat serta terpaksa beraksi atas padang tiruan, ditambah pula dengan masalah kecederaan yang dialami oleh beberapa pemain. Keadaan tersebut memberikan sedikit tekanan buat kami.


"Begitupun saya tidak boleh memperlekehkan kemampuan pasukan lawan mereka pasti mahu mendapatkan mata pada perlawanan ini setidak-tidaknya seri.

"Apa yang pasti, saya kehilangan pemain sayap Mohd. Norfarhan Muhammad yang mengalami kecederaan, begitu juga dengan Obinna Nwaneri. Bagaimanapun tiga tonggak import kita Dickson Nwakaemi, Dimitriors Petrators dan Lec Kecira hampir pasti dapat beraksi dalam perlawanan tersebut," katanya.

 
Beliau berkata pada sidang media sempena perlawanan Piala AFC menentang Maziya Sports and Recreation Club di sini, semalam.

Dimitri Petratos buru jaringan sulung

 Penyerang import Kelantan Dimitri Petratos tekad memburu jaringan berdepan Maziya Sports & Recreation (Maziya SRC) dalam saingan Piala AFC di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.
Penggempur berusia 20 tahun itu yang sebelum ini diketepikan dalam saingan Liga M kerana memberi laluan kepada penyerang import dari Guinea, Keita Mandjou akhirnya turun untuk aksi pertamanya.

Petratos berkata, selepas hanya beraksi dalam beberapa perlawanan persahabatan dan menjalani latihan bersama kelab Blackburn Rovers di England tiga minggu lalu, bintang dari Sydney FC itu sudah bersedia membantu The Red Warriors (TRW) dalam saingan AFC.
Katanya, walaupun sebelum ini kecewa tidak dapat beraksi dalam Liga M namun ia tidak mematahkan semangatnya kekal bersama Kelantan selepas mengikat kontrak setahun bersama Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

“Saya mendapat keyakinan selepas menjalani latihan di England dan kini sedia membantu Kelantan. Untuk perlawanan pertama saya akan cuba mencipta jaringan,” tegasnya.

Sementara itu, jurulatih Bojan Hodak berkata, pemain pertahanan, Nik Shahrul Azim Abd Halim dan Shakir Shaari sudah pulih daripada kecederan.
Katanya, kehadiran dua pemain berkenaan memberi ruang kepadanya membuat pilihan pemain selain dibantu empat awang import.

“Mereka akan bermain malam esok (malam ini) dan saya perlu membentuk kesebelasan terbaik. Untuk AFC kita ada Lek Kcira dan Obinna Nwaneri di barisan pertahanan malah Petratos dan Dicson Nwakaeme akan mengetuai jentera serangan,” katanya.

Abe Piya kunci mulut

Khabar gembira buat Ketua Pasukan The Red Warriors, Mohd Badhri Radzi apabila namanya tersenarai untuk menyertai latihan bersama skuad kebangsaan bagi menghadapi pusingan kelayakan Piala Asia 2015 bertemu Yaman di Kuala Lumpur, pada 22 Mac ini.

 
Setelah begitu lama tersisih, akhirnya jeneral padang berusia 31 tahun itu dipilih oleh pengendali skuad Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal untuk kembali menyarung  jersi kebangsaan bagi menghadapi kempen tersebut.

Namun pemain yang lebih mesra dengan panggilan Piya itu sekadar menunjukkan aksi bersahaja dan mengambil sikap untuk ‘mengunci mulut’ apabila diberitahu mengenai perkhabaran tersebut.

 
“Maaf saya tidak mahu mengulas lanjut dan tidak mempunyai jawapan mengenai perkara ini,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada sesi latihan menjelang aksi perlawanan peringkat kumpulan G, Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), semalam.

 
Kali pertama dan terakhir kapten yang membantu Kelantan menjulang tiga piala musim lalu itu menyarung jersi kebangsaan ialah ketika membantu skuad Pilihan Malaysia di bawah bimbingan Ong Kim Swee berdepan Chelsea dalam aksi persahabatan di Kuala Lumpur dua tahun lalu.