KOTA BHARU - Ketua pasukan Kelantan, Mohd. Badri Radzi mahu mengelak perlawanan akhir Piala FA, Sabtu ini ditentukan menerusi penalti.
Ketua jurulatih Kelantan, Bojan Hodak (kiri) mengendalikan latihan anak-anak buahnya di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, semalam. Kelantan akan menentang Sime Darby pada perlawanan akhir Piala FA, esok.
Menurut Mohd. Badri, dia dan rakan sepasukan mahu menamatkan perlawanan tersebut dalam tempoh 90 minit kerana jika berlanjutan dikhuatiri akan memberi kesan kepada pasukan.
"Seboleh-bolehnya saya dan rakan sepasukan akan cuba mengelak situasi tersebut berlaku. Bagaimanapun sekiranya situasi tersebut berlaku kami telah bersiap sedia untuk menghadapinya," katanya ketika ditemui semasa sesi latihan di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, semalam.
Dalam pada itu, Mohd. Badri atau lebih dikenali sebagai Piya memberitahu, dia mahu menjadikan penampilan kali ketiga di pentas akhir Piala FA musim ini dengan membantu Kelantan meraih kejuaraan buat kali pertama.
Katanya, pentas akhir kali ini merupakan peluang terbaik buat dia dan rakan sepasukan menebus kekecewaan setelah tewas kepada seteru tradisi, Terengganu 1-2 tahun lalu.
"Tahun lepas kita gagal melakukannya, jadi peluang yang ada untuk musim ini perlu digunakan sebaik mungkin untuk membawa pulang Piala FA buat kali pertama ke bumi Kelantan.
"Untuk itu, saya dan rakan-rakan akan memberikan persembahan terbaik dalam perlawanan tersebut dan menjulang kejuaraan sebagai hadiah buat seluruh rakyat Kelantan," ujarnya.
Sumber : Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment