KUALA LUMPUR - Ekoran sambutan hangat penyokong Kelantan untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala FA, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersedia mempertimbangkan tiket tambahan 10,000, itu pun jika Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) membuat permohonan.
Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Pertandingan Akhir Piala FA, Datuk Hamidin Mohd. Amin, berkata, pihaknya tiada masalah untuk berbuat demikian asalkan mengikut prosedur.
"Jika KAFA memohon tiket tambahan, ia boleh dipertimbangkan kerana kita tahu jumlah 30,000 mungkin tidak mencukupi untuk penyokong mereka.
"10,000 lagi tiket tambahan boleh diberikan kepada penyokong Kelantan yang mahu menyaksikan perlawanan akhir Piala FA sekiranya tiket yang diperuntukkan sebelum ini habis dijual, " katanya selepas mengadakan lawatan ke venue final Piala FA Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.
Bagaimanapun, Hamidin menegaskan, FAM tidak bersedia memberikan semua lebihan tiket kepada penyokong Kelantan kerana sekurang-kurangnya 10,000 tiket tetap akan dijual di pekarangan Stadium Nasional, seperti mana yang dijanjikan.
"FAM perlu adil kepada peminat bola sepak di Lembah Klang, tidak kira peminat Kelantan, Sime Darby atau peminat biasa yang mahu membeli tiket di sini.
"Tiket akan dijual seperti biasa pada hari Jumaat mulai 10 pagi hingga 7 petang dan FAM tidak akan menjual melebihi kapasiti 80,000, " katanya.
Beliau yang juga Naib Presiden FAM bersama Penolong Setiausaha Agung FAM, Ahmad Fuad Daud meninjau keadaan permukaan padang dan kemudahan di Stadium Nasional menjelang tiga hari pertandingan akhir Piala FA antara Sime Darby dan Kelantan.
Sumber : Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment